18 December 2014

KM, REHDA rayu yuran penyelenggaraan flat dikecualikan GST

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merayu Putrajaya supaya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan pada pertengahan tahun depan dikecualikan ke atas yuran penyelenggaraan penghuni rumah flat kos rendah dan kos sederhana rendah.

"Kebanyakan rakyat di negeri ini mampu membeli flat disebabkan mereka tidak mampu membeli rumah mampu milik, maka, kebanyakkan daripada 16 peratus populasi rakyat Malaysia di Pulau Pinang pun akan turut menanggung kesan berantai ini.

"Justeru, Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan untuk merayu kepada Kerajaan Pusat (agar) pengecualian ke atas semua penghuni rumah flat di negara ini daripada membayar enam peratus GST (atas yuran penyelenggaraan), bukan di Pulau Pinang sahaja," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Jerry Chan (Pengerusi Persatuan Hartanah dan Perumahan Pulau Pinang, REHDA) turut menyertai sidang media tersebut.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Jerry Chan.

"Jika GST dikenakan ke atas 100 unit umpamanya, tetapi yang berjaya dikutip (yuran penyelenggaraan) meliputi 60 hingga 70 penghuni flat sahaja, maka, penghuni bukan sahaja membayar pada kadar enam peratus (GST), malah, terpaksa membayar lebih daripada itu semata-mata untuk membiayai (GST atas keseluruhan 100 unit rumah pangsa tersebut," ujarnya lagi.

Tambah beliau, pengecualian GST ke atas yuran penyelenggaraan penghuni adalah wajar memandangkan penempatan mereka bukanlah membabitkan jual beli barangan atau perkhidmatan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan berkata, GST dikenakan terhadap syarikat pengurusan flat atas dalih perkhidmatan dan keuntungan yang diperolehi mereka.

"Bayaran yuran penyelenggaraan daripada penduduk dikenakan bagi tujuan perkhidmatan penyelenggaraan kondominium dan mereka mempunyai keuntungan daripada yuran berkenaan," jelas beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus