[Cerpen Ekonomi] Kerosakan Berulang

(Dari kiri) AMIR, Abel dan Man saling berbual kosong di bilik berita Penang Insight dekat Petaling Jaya, Selangor pada pada 28 Oktober 2025. | Gambar ilustrasi dijana Gemini. 


            AMIR seakan menghempas beg komputer ribanya ke meja Man. Mukanya yang putih dan bersih kelihatan kelat dan merah padam. Sambil mengesat keringat yang membasahi dahi dan pipi, mulutnya turut memuncung huduh.


           “Aerotrain ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tergendala lagi, aku terpaksa panjat kereta Grab tadi!” Dia merungut.


          Melihat mulut Amir yang kian memuncung, memaksa Man untuk menarik balik senyumannya. Skrin komputer riba yang terbuka lalu ditutup kerana mahu mendengar rungutan Amin lebih jauh.


         Perasmian penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula pada 28 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Penerbangan dari Lapangan Terbang Antatabangsa Pulau Pinang (LTAPP) lancar dan mengikut jadual. Cuma dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terpaksa tukar mod pengangkutan sebab insiden kerosakan berulang sistem aerotrain.


         “Ingatkan apabila Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dah ‘menghanguskan’ RM456.1 juta untuk projek penggantian aerotrain KLIA, semakin efisien mod pengangkutan awam darat moden itu, akhirnya sistem tergendala juga, aku terpaksa panjat kereta Grab.” Suara Amir semakin lantang. 


          Abel yang sedang mengemas kini fail gambar dalam D-link komputer ribanya, di sebelah meja Man pun, turut memaksa diri untuk tidak senyum apabila melihat leteran Amir yang lantang itu.


          Di Bilik Berita Penang Insight dekat Petaling Jaya, Selangor, sebenarnya Amir lah antara pengamal media paling dedikasi. Beliau selalu awal sampai di lapangan kerja, walaupun terpaksa menghambat trafik sesak. Kerana sikapnya itu, sering kali menyebabkan rakan sekerja yang lain culas dan suka curi tulang. 


          Selain tugas hakikinya sebagai juru gambar, acap kali juga dia terpaksa merakam suara mana-mana Menteri, kerana rakan sekerjanya, Man sampai lewat di lapangan acara rasmi kerajaan.


          Selama Amir berkhidmat lebih empat tahun di Penang Insight, tidak pernah sekali pun dia merungut, sebaliknya dia anggap itu semua sebagai asam garam dalam kerja berpasukan antara seorang jurugambar dan wartawan. 


          Tapi, pada lewat petang itu, berbeza sekali mod Amir ekoran insiden kerosakan berulang sistem aerotrain. Takkan lah sebab terpaksa membayar lebih tambang kereta Grab mengakibatkan sikap dedikasi Amir selama ini kian terhakis? Persoalan itu mengasak Man untuk menyelam lebih jauh. “Aku tengok gambar-gambar yang kau sempat tangkap semasa acara perasmian penutup semua AAA.” Man cuba memancing lunak di sebalik kelantang Amir itu. 


          “Sampai, memang sampai… cuma terpaksa tebal muka sebab sampai lewat.”


          “Alah Amir… dalam kalangan kita ini, kau selalu sebut: nak jadi pengamal media semua benda seperti kamera, telefon pintar dan komputer riba kena galas, dan yang kenal tinggal si rumah hanya perasaan supaya tak cepat ‘koyak’ di lapangan kerja.” Abel mencelah sambil tersenyum.


          Balas Amir, “perasaan aku jadi tidak senang sebab insiden kerosakan berulang sistem aerotrain berlaku semasa Malaysia jadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.”


          Mendengar alasan itu sedikit banyaknya mengubah pandangan Man dan Abel. Amir, bagi mereka berdua bukan sahaja mempunyai semangat dedikasi yang tidak, malah cara dia menumpahkan perasaan kasih kepada negara Malaysia pun agak tebal sebenarnya.


         Aerotrain yang beroperasi pada hari ini berusia kira-kira 25 tahun. Dalam tempoh antara 1 Julai 2025 hingga 30 September 2025 sahaja, 19 kali gangguan teknikal direkodkan. 


         Insiden kerosakan berulang sistem aerotrain yang dialami Amir pada awal pagi 28 Oktober 2025 itu mungkin kali ke-20 ia tergendala di KLIA. 


        Pada bulan Disember 2021, MAHB mengumumkan penganugerahan projek penggantian aerotrain yang bernilai RM742.95 juta. Pestech International Berhad yang mendapat penganugerahan projek itu, selain Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn. Bhd..


         Atas faktor kelewatan pelaksaaan kerja-kerja sampai menjelaskan garis masa projek penggantian, MAHB pada bulan Ogos 2023 menamatkan kontrak Pestech International Berhad.


         Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. kemudiannya dilantik semula oleh MAHB sebagai kontraktor utama pada bulan Januari 2024. Di bawah konsortium yang baru ditubuhkan itu, Alstom bekerjasama dengan IJMC-Pestech JV iaitu usaha sama antara IJM Construction Sdn. Bhd. dan Pestech.


        Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) sendiri aktif memberikan maklum balas mengenai status projek tersebut dengan menyatakan bahawa perkhidmatan aerotrain dijangka beroperasi sepenuhnya pada 31 Mac 2025.


         “Dah hangus RM456.1 juta untuk projek penggantian pun, sistem operasi aerotrain tergendala. Memalukan imej Malaysia.” Bentak Amir.


          Bagi Man, pendapat Amir adalah wajar. Sepatutnya  Anthony Loke Siew Fook diasak dan terus digasak melepaskan jawatan Menteri. 


          Asasnya, kerana dahulu pun semasa Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP masih dalam blok pembangkang, mereka juga mengasak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melepaskan jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad.


          Tajuddin diasak secara politik ekoran insiden kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pada Mei 2021. 


           Semasa itu, Tajuddin masih anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno. Walaupun beliau tidak pernah tunduk pada asakan pembangkang pada waktu itu, Kementerian Kewangan (MOF) mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad berkuat kuasa serta-merta pada 26 Mei 2021.


           Tajuddin telah digugurkan daripada jawatan AMK pada Jun 2022 melalui surat daripada Setiausaha Agung UMNO atas arahan Presiden parti, susulan tekanan yang terlalu kuat daripada orang awam selepas itu. 


           “PMX (Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim) mana berani pecat Anthony Loke sebagai Menteri, walaupun projek penggantian aerotrain telah menghanguskan RM456.1 juta dana berkaitan kerajaan,” respons Amir.


          “Kalau aku berada di kedudukan Anwar pun, baik aku pejam mata sahaja walaupun Anthony Loke gagal melaksanakan tugas hakikinya sebagai Menteri Pengangkutan bagi projek penggantian Aerotrain,” celah Abel.


          “Kenapa?” 


         “Kerajaan Perpaduan memang ada 153 kerusi atau majoriti dua pertiga. Tapi, PKR hanya ada 31 kerusi Ahli Parlimen sahaja berbanding DAP dengan 40 kerusi Parlimen.”


          Pendapat Abel berasas. Secara politik, berasas. Takkan PMx nak memecat seorang Setiausaha Agung DAP sebagai Menteri Pengangkutan. 


         Sedang Amir menghirup kopi o pekat di meja, Man cuba berkongsi pendapat yang berbeza sedikit dengan kenyataan rakan sekerjanya itu. 


        Menurut Man, RM456.1 juta kos projek penggantian aerotrain itu tidak hangus terus sebagaimana disebut oleh Amir. RM456.1 juta itu, menurutnya, patut dilihat sebagai nilai kontrak asal yang dianugerahkan semula kepada Alstom selalu kontraktor utama projek. 


         Menurutnya lagi, wang kerajaan yang telah dibayar kepada kontraktor terdahulu biasanya dilindungi oleh bon pelaksanaan atau ‘performance bond’. Jika kontraktor gagal, MAHB boleh menuntut semula sebahagian wang tersebut melalui jaminan bank, untuk diberikan kepada kontraktor yang baru dilantik. 


          “Walaupun tak hangus sepenuhnya RM456.1 juta atas kegagalan projek penggantian aerotrain di bawah Menteri Anthony Loke, tetapi ia tetap satu kerugian peluang (opportunity cost) kerana melibatkan tambahan kos yang besar akibat kelewatan siap projek,” jelasnya.


          Man sangat yakin dengan insiden insiden kerosakan berulang sistem aerotrain sebagaimana dialami Amir pada awal pagi tadi, 28 Oktober 2025, Kerajaan Persekutuan tidak ada banyak pilihan melainkan terpaksa meningkatkan perbelanjaan berwajib bagi menjamin mutu perkhidmatan mod pengangkutan awam moden darat tersebut pada masa hadapan. 


         Ini kerana, pembiayaan kos projek penggantian aerotrain itu dibiayai oleh MAHB. MAHB memang tidak lagi secara langsung di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, sebaliknya di bawah sebuah konsortium yang dikenali sebagai Gateway Development Alliance (GDA).


         Di bawah konsortium itu, Khazanah Nasional Berhad melalui anak syarikatnya, UEM Group) memegang 40 peratus kepentingan; 30 peratus kepentingan lain dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dan baki 30 peratus lagi dipegang pelabur luar iaitu merujuk kepada ADIA dan GIP. 


         Oleh kerana Khazanah dan KWSP adalah entiti pelaburan milik kerajaan (GLIC), maka secara kolektif, kepentingan Malaysia dalam MAHB yang masih kekal sebanyak 70 peratus itu, maka aerotrain boleh dianggap sebagai monopoli semula jadi Kerajaan Persekutuan kalau dilihat dari sudut ekonomi. 


         Mendengar penjelasan lanjut Man, sedikit banyaknya mengerutkan dahi Amir. Dia yang tadi lantang sebab isu kerosakan sistem aerotrain cuba menumpulkan perbezaan pendapatan. 


          Barang kali kerana sudah lewat petang dan dia mahu mencari makan malam bersama-sama Abel di Kafetaria Kak Eja & Abg Jeff dekat Sesyen 17 PJ.


          Tinggal lah Man sendirian di meja beritanya. Komputer tiba kembali dibuka, tetapi sembang kosong dengan Abel dan Amir mengheret dia pada suatu wacana ekonomi mengenai ‘natural monopoly sector’ anjuran Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) semasa pandemik COVID-19, kira-kira tiga tahun lepas.


         Dalam wacana tertutup di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Man diberitahu bahawa Monopoli Semula jadi atau Natural Monopoly adalah satu keadaan ekonomi yang mana sebuah syarikat tunggal dapat membekalkan barangan atau perkhidmatan kepada seluruh pasaran dengan kos yang jauh lebih murah dan lebih cekap berbanding jika ada dua atau tiga syarikat yang bersaing.


         “Sebab apa dipanggil ‘semula jadi’? Jawapannya, kerana persaingan dalam industri tersebut dianggap tidak logik atau merugikan masyarakat,” kata salah seorang pembentang dalam wacana tertutup tersebut.


         Jelasnya lagi, monopoli semula jadi yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui GLC iaitu Prasarana dapat dilihat dalam pengoperasian Bus RapidKL, LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel. Begitu juga kereta api elektrik (ETS) di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); dan Laluan Rel Pantai Timur yang akan beroperasi pada Januari 2027 adalah milik penuh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).


          Kalau Kerajaan Pusat melalui GLC Khazanah Nasional Berhad pernah selamatkan (bail out) STAR LRT dan PUTRA LRT daripada kroni swasta tertentu pada tahun 2001 dan 2002 daripada jadi ‘besi buruk’. Selepas diselamatkan dikendalikan oleh GLC Pusat, takkan lah Kerajaan Pusat akan membina jajaran baharu sebab jajaran lama dah tak boleh pakai? Maka, biasanya Kerajaan atau GLC berkaitan akan membiayai projek penyelenggaraan dan penggantian supaya semua mod pengangkutan awam di bawah sektor monopoli semula jadi tersebut terus beroperasi.


           Berdasarkan naratif ekonomi yang disampaikan oleh pembentang dalam wacana tertutup anjuran KADER itu lah, Man yakin Kerajaan Persekutuan melalui MAHB  akan mengeluarkan peruntukan tambahan asalkan aerotrain dapat beroperasi dengan lebih efisien kelak, sebab ia berada di bawah natural monopoly sector. 


          Tapi, main dengan politik luar tabiie ini seseorang pemerintah, boleh sahaja memastikan Kerajaan Persekutuan mengamalkan dasar anti natural monopoly sector, dengan menswastakan terus aerotrain kepada mana-mana rentier capitalist swasta, kemudian mengerahkan KWSP membeli saham syarikat swasta itu. 


          Ini kerana, pada 19 Februari 2026, KWSP dilaporkan terus menambah pegangan sahamnya dalam Sunway Berhad selepas syarikat itu mengumumkan tawaran pengambilalihan bersyarat bernilai RM11 bilion terhadap IJM Corporation Berhad.


          Laporan Sinar Harian pada 19 Februari 2026 itu merupakan satu lagi ‘bunga-bunga’ yang pentadbiran PMx mengamalkan dasar yang lebih memihak kepada rentier capitalist swasta berbanding menjaga kepentingan GLC dan Kerajaan sendiri.


          “Mujur Amir dan Abel dah pergi mencari makan malam tadi. Kalau diceritakan padah dasar anti natural monopoly sector yang ini, silap-silap sampai ke tengah malam tak reda amarah Amir berhubung isu kerosakan berulang sistem aerotrain,” bisik Man sendirian sambil tersenyum, lalu sambung mengetuk laporan berita yang terbengkalai.


END 


Comments