Skip to main content

"Melayu nak 'senang', niaga," nasihat Wan Ibrahim Megat Zainol

WAN Ibrahim Megat Zainol (tengah) dan isteri merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Mohd. Rashid Hasnon (kanan) pada Majlis Anugerah Usahawan Berjaya peserta Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) 2014 di sini baru-baru ini.

BELiAU diiktiraf sebagai salah seorang daripada lapan usahawan yang berjaya pada Majlis Anugerah Usahawan Berjaya peserta Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) 2014 baru-baru ini.

Berbekalkan modal tambahan daripada pinjaman mikrokredit PTSR di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), kini, beliau berjaya mengembangkan potensi perniagaannya pada tahap sekarang.

WAN Ibrahim Megat Zainol.
Wan Ibrahim Megat Zainol, 42 tahun mula-mula menolak hasrat untuk diinterbiu atas alasan kejayaannya itu 'kecil sahaja' dalam dunia usahawan kecil di negeri ini

Tetapi, selepas dipujuk isteri, Norharfizah Razali, 35, tahun, akhirnya Wan Ibrahim bersetuju untuk berkongsi pengalaman berjaya dengan  fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB.

"Sebenarnya saya datang (dibesarkan) dalam keluarga yang hidup berniaga.

Seingat saya, abang sulung saya sahaja bekerja makan gaji dengan kerajaan, adik-beradik yang lain berniaga seperti saya," ujar beliau pada majlis penyampaian anugerah di Hotel Royale Bintang dekat Pengkalan Weld, Pengakalan Kota baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang diiringi oleh Timbalan Pengurus Besar PDC, Datuk Abdul Rahim Isahak yang menyempurnakan majlis penyerahan insentif sebanyak RM1,500 beserta sijil penyertaan penerima.

"Insentif ini besar maknanya kepada usahawan kecil seperti saya, mungkin rezeki anak-anak," ujar Wan Ibrahim yang kini menungguh detik menimbang cahaya mata keempatnya.


PENGALAMAN
Menurut Wan Ibrahim, guru terbaik adalah pengalaman.

Katanya lagi, pengalaman jua adalah ilmu yang dimanfaatkan oleh seseorang hingga membuahkan kejayaan.

"Sebenarnya, saya sudah berkecimpung dalam penternakan ikan keli ini sejak 28 tahun lepas.

"10 tahun saya bekerja dengan orang. Dari pengalaman itu, jadi ilmu hinggalah saya sendiri membuka kolam ternakan sendiri sejak 18 tahun lepas.

"Apabila saya dengar Kerajaan Negeri ada buat skim pinjaman (mikrokredit) yang lebih baik berbanding syarat-syarat bank, saya cuba memohon dan dapat masuk kali kedua," ujar beliau lagi.

Kini, ladang penternakan ikan keli beliau dekat pedalaman Kampung Sungai Duri dekat Sungai Bakap di atas tanah berkeluasan enam ekar.

"Satu kolam luasnya lebih kurang satu ekar...(keluasan ladang ternakan ikan keli) semuanya lebih kurang enam ekar.

"Alhamdulillah, kira sebelah sana, (ladang ternakan ikan keli) saya yang paling besar," ujar beliau sambil memuji Tuhan Yang Maha Pemurah.


NIAGA BERBALOI
Walaupun krisis kenaikan harga barang serta minyak sedang mewarnai lanksap ekonomi negara, beliau kini mengakui bahawa pendapat hasil penternakan ikan keli masih membawa keuntungan yang lumayan.

"Sekarang ini, berniaga pun tidak senang seperti dulu.

"Dulu, kos ternah kurang, tidak seperti sekarang yang kos barang dan (kos) utiliti agak tinggi.

"Nak untung banyak-banyak seperti dahulu dah tak dapat dah, tetapi, untung memang boleh untung,

"Cuma, 'sedikit' dan tak lah lumayan semacam dulu, disebabkan kos ternak dan urus niaga yang agak tinggi," jelas beliau.

Bayangkan, Wan Ibrahim tiap-tiap bulan memasarkan hasil ternakan ikan kelinya lebih 20 tan.

"Jual, boleh dikatakan di (Utara Semenanjung Malaysia), iaitu di Utara Perak, Kedah dan Pulau Pinang sendiri.

"Paling jauh, ternakan ikan keli ini (dieksport) sampai ke Thailand sekarang ini," jelas beliau lagi.

Walaupun dianggap antara pembekal terbesar ikan keli ternak di Utara Semenanjung Malaysia ini, beliau berkata, beliau masih menjual hasil ternakkannya kepada peraih kecil yang bertandang ke rumahnya.

"Yang runcit-runcit pun ada datang ambil sedikit-sedikit, dalam 100 kilogram hingga 200 kilangom tiap-tiap hari," ujar beliau sambil memuji rakan-rakan yang berani menceburi dunia perniagaan.


RISIKO
"Kerja Kerajaan pun ada risikonya seperti tidak naik pangkat apabila mutu kerja kita tidak memenuhi kemahuan ketua di pejabat.

"Ini lumrah...risiko paling besar dalam bidang penternakan ikan keli ini apabila ada haiwan lain termasuk dalam kolam hingga membunuh anak-anak ikan yang kita ternak.

"Tetapi, setakat ini Alhamdulillah, risiko ini boleh dikurangkan melalui ilmu dan pengalaman," ujar beliau sambil memberitahu bahawa apapun perniagaan perlu pada fokus.

Pun begitu, Wan Ibrahim tersenyum apabila diaju soalan mengenai hasratnya untuk menawarkan kursus ternak kepada mereka yang berminat dalam bidang ini.

Katanya, PDC lebih banyak pengalaman seperti menguruskan PTSR lebih layak untuk menyediakan kursus kepakaran ala-ala rancangan realiti televisyen The Apprentice.

"Setakat ini, saya masih tiada rancangan untuk membuat kursus penternakan secara formal di sini, saya ternak dan bekal sahaja. Tetapi, pada masa hadapan, boleh difikirkan.

"Salah satu sebab, mungkin kerana tempat penternakkan ikan keli saya sangat 'dalam' di pedalaman Kampung Sungai Duri, payah...susah untuk (pelatih) nak masuk belajar beramai-ramai untuk belajar.

"Tetapi, saya ingin mengucapkan terima kasihlah kepada PDC kerana banyak membantu saya dari segi (pinjaman) modal...PDC lebih pakar dalam membina potensi peniaga," ujar Wan Ibrahim lagi.


HARAPAN
Wan Ibrahim berkata, warga Pulau Pinang khususnya Melayu sepatutnya lebih berani menceburi dunia perniagaan, memandangkan Kerajaan Negeri turut menawarkan Tabung Usahawan Tani Muda yang sama fungsinya seperti PTSR.

Katanya lagi, sayur segar merupakan salah satu bidang pertanian yang mempunyai prospek perniagaan yang berpotensi di Utara Semenanjung Malaysia.

"Orang berniaga perlu fikir ke depan, agar dapat segera mencegah risiko di belakang.

"Ke depan ini, kalau boleh terus (dalam bidang penternakan ikan keli ini), kalau boleh saya nak buka kedai pameran ikan air tawar hidup...macam-macam ikan seperti ikan talapia dan ikan keling.

"Ini, pusat ternak ikan dan bukan pusat memancing...macam show room macam di kedai ikan, selain, saya sasar nak buat 20 kolam ternak lagi," jelas beliau.

Baginya, kalau Melayu nak berjaya dan kaya, salah satu perkara yang wajar dilakukan adalah terjun dalam dunia perniagaan.

"Kalau orang Melayu kita berniaga semua harap bagus, kena berani dan kena kreatif.

"Boleh untung sedikit, kalau tak boleh buat buat sepenuh masa, mula secara sambilan dahulu.

"Yang penting cari ilmu dan pengalaman...Melayu pun boleh 'senang' dengan jalan berniaga," jelas Wan Ibrahim.


______________
* Wan Ibrahim Megat Zainol boleh dihubungi di talian 0125848663.