04 November 2014

Segera tubuh JMB selesai isu caj penyelenggaraan tertunggak – Exco

Hampir 150 tetamu mendengar ucapan alu-aluan Maimunah Mohd. Sharif dari pentas utama Seminar Pemahaman Tugas & Tanggungjawab JMC/MC Serta Pemilik Petak Komuniti Berstrata di sini baru-baru ini. | Foto Ahmad Adil Mohamad @ arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) digesa menyegerakan prosos penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) yang dimohon oleh pemaju dan komuniti pemilik tapak perumahan strata berwajib.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu boleh membantu JMB atau Perbadanan Pengurusan (MC) menangani isu keengganan atau kegagalan pemilik tapak rumah berstrata membayar caj penyelenggaraan tertunggak.

CHOW Kon Yeow
"Jika JMC atau MC ini ditubuhkan, mereka boleh mengutip caj penyelenggaraan daripada komuniti untuk menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan kediaman berstrata ini.

"Lebih elok semua JMC atau MC, pemaju serta pemilik rumah berstrata diberi pemahaman mengenai hak masing-masing terlebih dahulu, seperti seminar yang dianjurkan oleh MPSP ini.

"Biarlah prosiding di mahkamah ke atas mereka yang enggan atau gagal melangsaikan caj penyelenggaraan tertunggak adalah langkah terakhir yang diambil oleh JMB atau MC," jelas Kon Yeow semasa merasmikan Seminar Pemahaman Tugas & Tanggungjawab JMC/MC Serta Pemilik Petak Komuniti Berstrata di Auditorium Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Yang di-Pertua MPSP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif.

Setiasuaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta beberapa Ahli Majlis lain turut menyertai seminar tersebut.

Menurut Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, setiap pemilik tapak perumahan berstrata sebenarnya diwajibkan membayar caj penyelenggaraan, jika dirujuk pada Seksyen 23 Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).

Difahamkan, akta tersebut antara lain memberi hak kepada JMB atau MC untuk mengeluarkan Notis 14 hari sebanyak dua kali kepada mereka yang enggan atau gagal melangsaikan caj penyelenggaraan tertunggak, sebelum meneruskan langkah prosiding mahkamah.

MAIMUNAH Mohd. Sharif
Sebelum itu, Maimunah mendedahkan, MPSP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah 'Kategori Satu' mempunyai kira-kira 62,267 petak meliputi 941 kawasan pemajuan berstrata.

Daerah Seberang Perai Utara (SPU) mempunyai bangunan berstrata sebanyak 379 kawasan dengan 21,882 petak, diikuti Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berjumlah 487 kawasan dengan 35,053 petak, dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berjumlah 75 kawasan dengan 5,332 petak.

Dari angka itu, Maimunah memberitahu, dianggarkan hampir 186,801 warganegeri mendiami bangunan berstrata di Seberang Perai jika diandaikan tiga orang mendiami tiap-tiap petak di sini.

"Setakat September 2014, pretasi JMB/MC bagi kategori 11 petak dan ke atas tanpa mengambil kira kawasan kurang dari 10 petak dan ke bawah, sebanyak 87.24 peratus (meliputi 335 kawasan pemajuan) di Seberang Perai telah berjaya menubuhkan JMB atau MC.

"Saya berharap dengan adanya pendedahan melalui seminar ini, para peserta akan menghebahkan kepada pemilik-pemilik komuniti berstrata yang lain untuk menubuhkan JMB atau MC," ujar Maimunah.

Mahsyur jalan 'Ahmad Nor' demi kenang jasa, kata Guan Eng

KETUA Menteri menyepurnakan pemasyuran Jalan Ahmad Nor di sini, pagi tadi. | Foto: Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG - Jalan sambungan baru sepanjang 612 meter dari Lebuh raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke persimpangan Jalan Jelutong, Jalan Perak dan Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim kini dimahsyurkan sebagai Jalan Ahmad Nor.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah pemahsyuran itu sebagai mengenai jasa Ahmad Nor dalam membela nasib kaum buruh di negara ini.

"Allahyarham Ahmad Nor memiliki personaliti yang disukai ramai, di samping dapat komunikasi mudah dengan rakyat daripada pelbagai kaum," kata Guan Eng kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut menyertai majlis pemahsyuran tersebut.

Guan Eng berkata, kegunaan Jalan Ahmad Nor itu diharap dapat mengurangkan risiko kesesakan lalulintas, khususnya pada waktu puncak.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng mempersoal kos pembinaan jalan tersebut yang diaggap mahal, bernilai RM24 juta yang terpaksa ditanggung oleh pemaju IJM  Corp. Bhd..

Menurut beliau, caj utiliti seperti kerja-kerja pemindahan pelbagai kabel bawah tanah berjumlah hampir 30 peratus daripada keseluruhan kos projek kerajaan pusat tersebut terpaksa ditanggung oleh pemaju, akhirnya membazirkan dana awam rakyat juga.

Difahamkan, IJM Corp. Bhd. turut membiayai pampasan kepada 71 pemilik rumah, 86 keluarga dan 35 penyewa yang berjumlah RM6 juta.

Ahmad Nor dikenali sebagai aktivis kesatuan sekerja, pernah dipilih sebagai Presiden Kesatuan CUEPACS pada sesi 1983 hingga 1986, serta pernah menjadi Presiden Peninsular Malaysia Customs Offivers Union.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Melayu DAP pertama selepas memenangi Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 bagi kawasan Bayan Baru.

Ahmad Nor meninggal dunia pada 11 Februari 2003, semasa berusia 60 tahun.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus