23 April 2015

Kerja pemimpin tipu ahli...


"Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya."

[Surah Al-An'aam: 123]


Karnival Koperasi 2015 di Masjid At-Taqwa Bertam mulai esok!

MOHD. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) pada sidang media di Komtar, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri menganjurkan Karnival Koperasi 2015 mulai 24 hingga 26 April ini di perkarangan Masjid At-Taqwa dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam.

MOHD. Rashid Hasnon
Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata, karnival tersebut akan diadakan serentak dengan Seminar Imarahkan Koperasi Masjid dan Koperasi Asas.

"Saya berharap karnival ini memberi peluang kepada kepada ahli-ahli koperasi untuk mempamer, menjual dan mengetengahkan produk mereka masing-masing untuk pasaran tempatan.

"Dianggarkan 120 orang perwakilan daripada 31 Koperasi Masjid dan 42 Koperasi Asas akan menyertai Seminar ini selama dua hari mulai Sabtu ini (25 April 2015)," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak kepada wartawan di sini, pagi tadi.

Justeru, Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Kemasyarakatan berkata, Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Ali Hassan turut akan membentangkan proposal "Pembangunan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid".

Majlis perasmian akan diadakan pada 24 April 2015 mulai jam 9.00 malam, manakala persembahan pentas oleh kumpulan nasyid UNIC dan Raqib Majid pada 26 April 2015 mulai jam 9.00 malam.

Toray buka kilang baru, 40 tahun di Pulau Pinang dihargai

KETUA Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng (empat dari kiri) bersama-sama pemimpin Toray pada majlis di sini, tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK – Selepas lebih 40 tahun Kumpulan Toray membangunkan pelbagai jenis perindustrian di negeri ini, syarikat antarabangsa dari negara Jepun tersebut baru-baru ini membuka satu lagi bahagian kilang Penfibre di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

Bahagian kilang baru tersebut antaranya menghasilkan Battery separator film (BSF) untuk pasaran global, iaitu komponen bateri yang digunakan dalam telefon pintar, komputer tablet, komputer riba dan kenderaan jenis hybrid.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, kesetiaan Toray terus melabur di negeri ini sekaligus menggambarkan bahawa formula Kerajaan Negeri menggarapkan prospek pelaburan masa depan melalui tawaran pakej “3T” atau Bakat (Talent), Teknologi dan Toleransi kian berjaya.

“Toray mempunyai keserasian industri di Pulau Pinang kerana negeri ini mempunyai apa yang mereka mahukan, iaitu secara asasnya kita mempunyai pekerja yang berbakat, teknologi dan yang paling penting adalah kita (Kerajaan Negeri) ada toleransi untuk idea baru.

“Terima kasih kepada Toray kerana terus menyediakan ribuan peluang pekerjaan untuk warganegara Malaysia di Pulau Pinang sejak empat dekad lalu,” jelas Guan Eng pada Majlis Jamuan Tengah Hari dan Acara Pembukaan Bahagian Penfibre BSF Toray di Hotel Equatorial di sini, tengah hari tadi.

Naib Presiden Kanan Perbadanan Perindustrian Toray Jepun, S. Hagiwara, O. Inoue (Presiden Toray Battery Separator Film Co., Ltd.) dan H. Yoshimra (Pengarah Urusan Industri Toray Malaysia) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan Konsulat Besar Jepun Ke Pulau Pinang, R. Noda.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih memberitahu, Toray kini boleh dianggap sebagai salah satu pelabur terbesar di Pulau Pinang dan Malaysia, jika berdasarkan RM4.5 bilion jumlah pelaburannya hingga kini dan RM4.1 bilion hasil jualan tahunan, melalui kilang-kilang seperti Penfibre, Penfabric, Toray Plastic Malaysia dan Toray BASF PBT Rasin.

Selain itu, katanya, pelaburan ke Pulau Pinang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2014 meningkat 109 peratus menjadi RM8.2 bilion, berbanding RM3.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya lagi, pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh tujuh tahun sehingga 2014 pun masih menunjukkan peningkatan sebanyak 93 peratus menjadi RM48,211 juta, berbanding angka RM24,932 juta yang direkodkan dalam tempoh sama sebelum tahun 2008.

“(Dalam tempoh tahun 2008 hingga 2014,) peluang pekerjaan turut meningkat kira-kira 20.1 peratus menjadi 109,592 (pekerjaan), berbanding 91,252 untuk tempoh yang sama (2007 hingga 2001),” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Pada perkembangan lain, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada Toray atas kegigihan melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti sumbangan RM2.5 juta untuk pembangunan Kompleks Kolam Renang Awam Seberang Jaya pada tahun 1982, penubuhan Yayasan Sains Toray Malaysia pada tahun 1993, papak elektronik di Stadium Batu Kawan pada tahun 1999 (RM6 juta), penubuhan Pusat Pemindahan Pengetahuan Toray di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk Pulau Pinang pada 10 April 2013 (RM4 juta), dan terbaru sumbangan RM300,000 demi meralisasikan rancangan projek penubuhan Tech-Dom Pulau Pinang bernilai RM25 juta.

Sebelum itu, S. Hagiwara dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas kerjasama pelaburan strategik di negeri ini.

“Kami menjangkan ia (kerjasama pelaburan strategik) akan memberikan sumbangan yang besar pada perkembangan perniagaan BSF Toray di peringkal global.

“Tanpa panduan serta kerjasama, operasi perindustrian kami di Malaysia tidak mampu mencapai kejayaan sebagaimana Kumpulan Toray (Malaysia) yang dianggap sebagai pelaburan Toray di luar negera Jepun terpenting, kini,” jelas Haqiwa lagi.

Selain di Malaysia, industri Toray turut bertapak Japun, Amerika, Perancis, Korea dan China.

Pulau Pinang menjadi destinasi pelaburan pilihan Toray sejak tahun 1973.

Mohd. Rashid Hasnon bertemu mangsa bencana ribut Penaga

MOHD. Rashid Hasnon menyerhakan sumbangan peribadi kepada salah seorang warga emas (paling kiri) yang rumahnya mengalami kerosakan dipukul ribut baru-baru ini, sambil disaksikan oleh Hakmal Effendi Ishak (paling kanan), Zolkifly Md. Lazim (dua dari kanan) dan Ridwan Osman (tiga dari kanan) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENAGA - Kira-kira 81 buah rumah di Kampung 20 Pasir Gebu serta beberapa desa lain di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga di sini yang mengalami kerosakan akibat ribut dalam satu kejadian baru-baru ini mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon sendiri..

Pada pertemuan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada 10 keluarga terpilih, sementara menunggu bantuan berwajib daripada Tabung Bencana T.Y.T. di bawah Kerajaan Negeri.

“Ini adalah sumbangan peribadi saya kepada 10 keluarga terpilih dahulu, sementara menunggu bantuan segera yang mesti disalurkan dalam tempoh 24 jam.

“Dari Tabung T.Y.T, maksima yang boleh dituntut adalah sebanyak RM5,000 dan ia bergantung pada (proses) taksiran (kerugian bencana),” jelas Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, semasa melawat kawasan bencana pada hari kejadian.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Hakmal Effendi Ishak, 'Penghulu' Alias Mid, Pegawai Penyelas KADUN Penaga, Ridwan Osman dan Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penaga Care, Zolkifly Md. Lazim turut menyertai lawatan kerja tersebut.

Hakmal Effendi yang ditemui kemudian memberitahu bahawa pihaknya turut memobilisasi kakitangan berwajib daripada pejabat-pejabat daerah lain demi memastikan proses menyalurkan bantuan berwajib lancar.

“Sejak jam 1.00 pagi tadi (22 April lepas), pasukan saya telah turut dan buat penilaian (taksiran kerosakan) pada 47 buah rumah dahulu kerana bantuan mesti disampaikan dalam tempoh 24 jam.

“Kalau tengok keadaan kerosakan satu-satu rumah agak berbeza walaupun semua rumah sepanjang (laluan) angin ribut ini mengalami kerosakan.

“Selepas kejadian itu, saya sendiri mendapatkan maklum balas daripada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) bahawa keadaan taburan hujan luar biasa di sini,” jelas beliau kepada wartawan.

Mangsa, Normah Abu Bakar, 50, memberitahu bahawa hujan ribut yang bersilih gantin melanda kawasan kejadian sekitar jam 9.30 malam hari sebelumnya lagi.

“Apabila saya sedar hujan ribut sampai menggoncang bumbung rumah saya, saya pun lari membawa dua cucu lari berlindung di rumah jiran, kerana rumah mereka tak kena.

“Habis semua bumbung dari depan rumah sehingga ke dapur 'tiada' (musnah dipukul hujan ribut),” jelas mangsa.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus