30 June 2014

Puasa umat terdahulu dan Islam....

Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
[Surah al-Baqarah: 183]
Sebelum kita lihat apakah tafsiran ulamak mengenai maksud "na min qablikum", kita tinjau dulu amalan puasa dalam semua agama samawi (agama langit) dan ardhi (agama bumi/budaya).

India
Penganut Hindu berpuasa setengah bulan dan berbuka pada bulan mengambang, dan berhenti amalan ritual ini apabila ternampak anak bulan.

Berpuasa selama 14 hari tanpa makan dan minum, melainkan diselang-seli dengan minuman sahaja.

Tujuannya, untuk membebaskan diri dari kesiksaan penguasaan roh jahat (tanasukh), untuk mencapai nirvana.

China & Jepun
Amalan berpuasa turut diamalkan apabila Buddha menjadi agamawa rasmi China pada era Maharaja Fu Ti (58-71M), manakala di Jelun pada kurun ke-6M.

Parsi
Parsi sejak abad ke-14S.M. dikatakan menerima pengaruh kebudayaan agama Hindu Lama, kemudiannya menerima pengaruh agama Yahudi pada abad ke-5 S.M.
- Berpuasa selama 7 hari pada tiap bulan.
- Berpuasa selama 2 hari berturut-turut tanpa berbuka apabila bulan purnama.
- Berpuasa selama 2 hari berturut-turut tanpa berbuka apabila terbit anak bulan.
- Berpuasa selama 2 hari apabila bulan perpindah kepada garisan jaddi.
- Berpuasa pula selama 30 hari dan berbuka pada ketika matahari jatuh apabila ia berpindah pada garisan dalwu.
- Berpuasa pada hari Ahad dan Isnin kerana memberi penghormatan kepada matahari dan bulan

Mesir Purba
Puasa dua hari berturut-turut tanpa makan kecuali air selama 42 hari, ada kalannya puasa selama 4 hari apabila berdepan malapetaka seperti banjir dll.

Greek dan Rom
Berpuasa 10 hari sebelum peperangan untuk memohon kemenangan. Tukang tilik perempuan khususnya berpuasa selama tiga hari berserta upacara ritual lain untuk kesempurnaan tilikannya, serta menerima upah daripada rakyat.

Yahudi
Bangsa Yahudi adalah pengikut syari`at Musa. Sebelum menerima kitab Taurat, Musa AS. berpuasa selama 40 hari di Saina'. 

Tetapi, orang-orang Yahudi menganggapnya sebagai puasa khusus Nabi Musa. Ulamak Tafsir mengatakan bahawa Musa berpuasa 40 hari ini tanpa diselangi sama sekali dengan berbuka.
Bagi orang-orang Yahudi, mereka berpuasa sehari sahaja, sebagai puasa wajib, iaitu pada hari ghufran (pengampunan). 

Mereka mendakwa hanya itu sahaja puasa wajib yang dikenakan ke atas mereka. Puasa-puasa lain adalah puasa sunat yang dilakukan beberapa kali yang tidak tersusun. 

Nasrani
Seperti Yahudi, mereka adalah Ahl al-Kitab. Kemudiannya terpecah kepada 3 mazhab, Katholik, Orthodoks dan Protesten.

Katholik: berpuasa mulai pertengahan malam sampai pertengahan siang, diwajib dari usia 15-60 tahun (wanita 55 tahun). Mereka berpuasa selama 40 hari, iaitu pada Hari Puasa Besar sahaja

Orthodoks: Puasa Besar selama 50 hari dan berakhir pada Hari Kiamat. Mereka juga berpuasa 40 hari pada Hari Kelahiran, (iaitu pada 25 November - 6 Januari). Mereka juka berpuasa pada Rabu & Jumaat, serta 15 hari untuk Mariam.

Prostentan: Puasa ikut keselesaan masing-masing, kerana tiada nas dalam Injil.

Zaman Pra Islam di Arab
Sebelum kedatangan Islam, negara itu sudahpun mengenali agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS., agama Ahl Al-Kitab (Yahudi dan Nasrani), Brahma, Sabi'ah, agama berhala, Majusi, penyembahahan cakrawala dan jembalang. 

Dengan itu amalan puasa merupakan sesuatu yang tidak asing di kalangan mereka. 

Sekurang-kurangnya mereka akan terpengaruh dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup bersama-sama mereka di Semenanjung mereka.

Disebutkan bahawa orang-orang Arab Quraish, khasnya Quraish Makkah, berpuasa pada hari `Asyura' sebagai penebus dosa mereka pada masa Jahiliah. 

Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa puasa `Ashura' itu adalah mengambil sempena hari dipasang kelambu pada Ka`bah. Mereka berpuasa pada 10hb. Muharram. 

 Puasa ini sama seperti puasa orang-orang Yahudi yang juga dinamakan sebagai puasa hari `Asyura' atau puasa hari Pengampunan.

Selain dari itu, orang-orang Arab yang berada di bawah pengaruh orang-orang Nasrani, ada di antara mereka yang mengamalkan amalan puasa fardu selama 30 hari yang kemudiannya bertukar menjadi 50 hari pada waktu yang tertentu setiap tahun.

Zaman Islam:
Dalam Islam, puasa terbahagi kepada tiga:

1. Puasa Ramadan.
2. Puasa Khas, seperti puasa nazar dan kaffarah.
3. Puasa Sunat.

Dari segi pusingannya pula, puasa terbahagi kepada dua peringkat, peringkat sebelum Ramadan dan kemudian hanya puasa Ramadan.
Puasa `Ashura': Ia menunjukkan kaitan di antara Nabi Muhammad SAW. dengan umat-umat sebelumnya dalam ketaatan kepada Allah.


Puasa Ramadan:

Puasa Ramadan difarjukan pada 2hb. Sya`ban, tehun ke 2H. menerusi 4 ayat dari surah Al-Baqarah, iaitu ayat-ayat 183-187. Ayat-ayat ini tidak diturunkan serentak, malah ia diturunkan satu demi satu yang dipisahkan dengan jarak masa yang tertentu.

Keempat-empat ayat tersebut telah memberi penjelasan terperinci tentang masa, cara dan apa-apa tegahan semasa berpuasa. 

Ia tidak membiarkan baginda menjelaskannya, tidak seperti ibadat-ibadat lain yang memerlukan Hadis Amali dari baginda yang menjelaskan cara perlaksanaannya dengan betul.

Sebagai contohnya, ayat pertama menunjukkan hukum melakukan puasa yang difardukan ke atas orang-orang Islam, ia juga ke atas umat-umat lampau.


PENDAPAT FIQH MENGENAI 

Dalam mentafsirkan maksud: "orang-orang sebelum kamu", kita dapati ulamak telah berbeza pendapat, antaranya:

Ada yang mengatakan bahawa ia bermaksud: orang-orang Nasrani sahaja.

Ada pendapat mengatakan, mereka adalah Ahl al-Kitab (iaitu orang Nasrani dan Yahudi).

Ada pendapat lain mengatakan bahawa ia bermaksud seluruh umat terdahulu yang menjadikan puasa sebagai amalan dalam kehidupan mereka sama ada kerana tuntutan keagamaan, kemasyarakatan atau kerana menolak sesuatu bencana dan sebagainya. - syar'un ma qablana

Daya saing koperasi ala "The Apprentice" - Zolkifly Md. Lazim

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri disyor mengadakan program ala rancangan realiti "The Apprentice", jika mahu gerakan koperasi di Pulau Pinang lebih berdaya saing sebagai enjin ekonomi rakyat.

Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) atau Ropewalk Bagan, Zolkifly Md Lazim memberi syor itu dalam pertemuan meja bulat dengan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd. Rashid Hasnon, petang tadi.

"Koperasi ada banyak dan berjenis-jenis di negeri ini, sebab itu perlu saring mungkin lima hingga 10 koperasi yang dilihat ada potensi walaupun kecil operasinya.

"Kerajaan Negeri perlu ada benchmark (aras tanda) supaya semua koperasi yang disaring tersebut boleh dilatih melepasi garis kejayaan ini.

"KPATSBB umpamanya boleh dijadikan benchmark untuk koperasi-koperasi yang berorientasikan pinjam-meminjam mikro kredit tanpa riba, kerana koperasi di bawah Nasorudin Shah Mat (Pengerusi KPATSBB) berjaya capai sifar NPL (hutang tak berbayar) sekarang ini," kata Zolkifly kepada wartawan dekat Komtar di sini.

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dalam reaksi spontan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memajukan gerakan koperasi.

Atas maksud itu, katanya lagi, RM250,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri, termasuk RM80,000 bajet promosi, RM30,000  bagi hadiah pertandingan koperasi terbaik 2014.

"Saya juga mahu gerakan koperasi secara berdaya saing ini mampu menjadi satu lagi enjin ekonomi tersendiri di negeri ini, yang boleh dijadikan produk Pulau Pinang di rantau ini," ujar Mohd. Rashid.

Koperasi ANGKASA, Bank Persatuan, lima Pejabat Daerah, Koop Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), RISDA, Unit Pengurusan Masjid JHEAIPP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) masing-masing turut menghantar wakil dalam pertemuan meja bulan itu.

Cabaran masakini tuntut ijtihad di lapangan, kata Mufti P.Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor

SOHIBUS Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (kanan) diwawancara oleh fotojurnalis Zainulfaqar Yaacob (kiri) dekat Pejabat Mufti dekat Tingkat 48 Komtar, George Town baru-baru ini. | Foto: Mark James @Buletin Mutiara 

ISU pesakit cerebral palsy Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai terabai sendirian di rumahnya dekat Seremban baru-baru ini telah menerima reaksi cukup sentimental daripada banyak pihak.

Institusi Islam turut dipersalahkan kerana bantuan zakat dikatakan tidak sampai kepada orang kurang upaya (OKU) seumpama beliau, implisitnya, Islam sebagai “rahmat seluruh alam” dipersoal oleh segelintir pihak hingga kini.

Di sebalik semua ini, adakah institusi agama sudah hilang deria kemanusiaan, ataupun, ada sebab lain yang masih belum diperjelaskan?

Meluaskan (tawasu') maksud asnaf zakat kepada OKU seumpama Muhammad Firdaus merupakan antara syor yang disebut-sebut di laman sosial facebook serta blog.

Apa agaknya isyhad hukm atau pendapat Mufti baru bagi Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, 70, semasa ditemubual oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB nanti?

“Fatwa adalah pendirian yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa serta diwartakan, yang saya nak sebut ini adalah isyhad hukm, iaitu pendapat peribadi yang tidak sampai (status) fatwa.

“Memang ada kaedah fiqh seperti ‘Perubahan Hukum Disebabkan Perubahan Masa, Tempat dan Kondisi’ (taghaiyyirul ahkam bi taghaiyyirul azminah wal amkinah wal ahwal).

"Kerana itu, saya sendiri lihat ijtihad diperlukan kerana isu OKU ini merupakan salah satu contoh bahawa cabaran umat Islam ini sendiri senantiasa berubah-ubah.

"(Disebabkan itu,) keluarga OKU itu layak untuk dipertimbang menerima zakat di bawah asnaf Al-Fuqara' (fakir) dan Al-Masakin (miskin).

“OKU seperti Muhammad Firdaus jika ada di negeri ini, layak untuk dipertimbang menerima zakat di bawah asnaf Fi SabiliLlah atas sebab keperluannya berusaha untuk belajar hidup, walapun usaha meninggikan agama itu untuk dirinya saja.

"Sebahagian ulama memperluaskan konsep Fi SabiliLlah bagi merangkumi setiap usaha kebajikan yang boleh mendekatkan seseorang kepada Allah SWT. 

“Cabaran masakini memang banyak, sebab itu, ada tuntutan ijtihad di lapangan (Al-Ijtihad Al-Tanzili)," ujar Wan Salim di pejabatnya dekat Komtar, baru-baru ini.

Hampir 40 tahun, Wan Salim bergelar ahli akademik, mendidik mahasiswa khusus dalam disiplin ilmu pengajian Islam.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Yayasan Pengajian Islam Nilam Puri (kini dikenali sebagai kampus asasi Islam Universiti Malaya), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universitas Muhammadiah (dekat Malang, Indonesia).

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat di Chubu University, Nagoya, Jepun.

Difahamkan, Wan Salim adalah pemegang ijazah kedoktoran falsafah (Ph.D) dari University of Edinburgh, United Kingdom pada 1988, dengan tesisnya mengenai sumbangan pembaharu ijtihad serta pengamalannya di abad ke-20.

Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau turut mempunyai diploma pendidikan dari University Ayn Al-Shams, Kaherah, Mesir.

Pengalaman serta latar belakang pendidikan sudah pasti melayakkan Wan Salim dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang (2004 – Jun 2014).

Pada 7 Jun lepas, Wan Salim dilantik menjadi Mufti Negeri serta mempengerusikan Jawatankuasa Fatwa Negeri, bagi menggantikan Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad yang berkhidmat selama 16 tahun sejak 2 September 1997 di negeri ini.

Ijtihad Pentadbiran
Menurut Wan Salim, Zakat Pulau Pinang (ZPP) merupakan antara contoh yang baik prepenting ijtihad pada institusi pengurusan hal ehwal agama Islam.

“MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) sebagai pemegang amanah melakukan ijtihad dengan menubuhkan ZPP (beroperasi secara syarikat profesional) untuk urus dan agih zakat kepada lapan asnaf, tujuan zakat diantaranya hapus kemiskinan.

“Tidak salah sekiranya (ZPP) ada mengutamakan agihan zakat (pendidikan) kepada anak-anak dari keluarga miskin-fakir umpamanya kerana ijtihad sebegitu lebih berdaya saing untuk mengubah generasi  tersebut, daripada menjadi golongan penerima zakat kepada golongan pemberi zakat,” jelas Wan Salim, sambil membahaskan pada ayat 60 Surah Al-Taubah.

Lapan asnaf tersebut, Al-Fuqara’, Al-Masakin, Amil (pemungut dan pengagih zakat), Muallaf (mereka yang baru memeluk Islam), Riqab (hamba yang dibelenggu atau tiada kebebasan diri), Ghamirin (orang Islam yang tidak mampu melangsaikan hutangnya), Fisabilillah (pelajar serta orang yang berusaha melakukan aktiviti meninggikan Islam), dan Ibnus Sabil (musafir yang terputus sumber hidup).

Justeru, beliau mencadangkan MAINPP menubuhkan sebuah badan khusus secara profesional seumpama ZPP untuk mengurus serta mengayakan manfaat daripada hartanah wakaf dan Baitul Mal di negeri ini.

Ijtihad Pendidikan
Menurut Wan Salim, integrasi pendidikan hafalan al-Quran dengan akademik di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) merupakan percubaan yang baik untuk menghakis dualisme Islam-Sains.

“Maksud dualisme di sini umpamanya kita mahu anak-anak menjadi hafiz (penghafal al-Quran) sahaja, padahal pengajian Sains itu juga amat diperlukan sebab ia adalah mengkaji sunnah Allah, yang dikenali di Barat sebagai Natural Law,” ujar beliau.

Tambah beliau, KITAB boleh menjadi hub pendidikan integrasi ilmu Islam-Sains di negeri ini dengan menyusun semula tenaga pengajar yang benar-benar layak sahaja di kolej universiti negeri berkenaan, sebagaimana disyor oleh Lembaga Akredisasi Negara (MQA).

Islamisasi ilmu ini perlu dibuat pada korikulum agar tiada lagi dualisme agama-Sains yang saya lihat ketara di institusi pendidikan Islam, buku teks kita dan latihan pada tenaga pengajar sendiri,” ujar beliau, sambil menyebut mengenai beberapa tokoh sarjana Islam yang menguasai ilmu Islam dan sains pada zaman masing-masing.

Harapan Memartabat Islam
Wan Salim memberitahu, semua pentadbir institusi Islam di negeri ini wajar berdaya saing dengan mengemukakan polisi tadbir urus yang lebih baik, melalui ijtihad di lapangan.

“Mutu KITAB perlu segera dibaiki. Pengalaman cemerlang ZPP pula perlu untuk kita urus hartanah wakaf di negeri ini pula supaya lebih berdaya saing untuk manfaat umat.

“Fokus bantu anak-anak dari keluarga asnaf kerana pendidikan lebih berdaya saing untuk hapus kemiskinan...agihkan zakat (pendidikan) kepada pelajar aliran sains juga selain pelajar agama.

“Saya komited untuk bekerjasama dengan semua institusi, khususnya yang menguruskan hal ehwal umat Islam kerana kita semua berkongsi impian yang jelas, iaitu Kerajaan Negeri komited memartabatkan Islam sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan,” ujar Wan Salim, sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng.

Pahala mengumpat dalam bulan Ramadan

SEGELiNTiR pro Umno menasihat rakyat supaya berhenti menconteng kezaliman parti asabiah berkenaan di facebook demi menghormati bulan Ramadan.

Apa reaksi kita dengan dakyah ini?

Sangat indah penjelasan Rasulullah SAW mengenai perihal mengumpat, yang juga disebut sebagai ghibah.

Ghibah ialah engkau menceritakan saudaramu tentang sesuatu yang ia benci.Si penanya kembali bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu apabila apa yang diceritakan itu benar ada padanya? Rasulullah SAW menjawab: kalau memang benar ada padanya, itu ghibah namanya. Jika tidak benar, bererti engkau telah berbuat buhtan (mengada-ada).” [HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ahmad]

Pada zaman Rasulullah SAW, Perang Badar umpamanya berlaku pada bulan Ramadan.

Maqasid asy-Syariah atau tujuan syariat berperang ini di antaranya demi menghentikan kezaliman, atau lebih tepat untuk menghilangkan fitnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah..." [Surah Al-Baqarah:193]

Penjelasan: perang bukan satu-satunya kaedah untuk menghilangkan fitnah (kezaliman), tetapi, salah satu kaedah untuk menghilangkan fitnah.

Kaedah perang ala ISIL Iraq di Malaysia umpamanya boleh membawa fitnah lain, seperti Islam dianggap teroris oleh warganegara, maka, kaedah berperang dalam konteks Malaysia itu jelas haram walaupun zahir nas menyebut "wa qatiuhum"!

Sebab itu, PAS konsisten mengambil pendekatan muwajahah silmiyyah, dengan menyertai proses demokrasi dan pilihan raya demi menumbangkan kezaliman Umno hingga kini.

Dengan erti kata lain, kalau Perang Badar pun dibenarkan dalam Islam pada bulan Ramadan, kaedah mengumpat di facebook yang nyata jauh lebih damai (berbanding perang) lebih-lebih lagi lah dibenarkan syarak pada bulan ibadah ini, jika tujuannya jelas untuk menghentikan kezaliman pemerintah.

Sekali lagi nak tanya, adakah mengumpat yang boleh pahala pada bulan Ramadan?

Imam Nawawi dalam kitab Syarah Sahih Muslim dan Riyadus Solihin ada membahaskan enam jenis mengumpat (ghibah) yang dibenarkan di sisi syarak, antaranya:

1. Mengumpat golongan yang dizalimi

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya...” [Surah An-Nisa’: 148]

Contoh: Kempen NGO Tuntut Royalti Minyak Kelantan (R) menurut 20 peratus royalti minyak yang dinafikan oleh pentadbiran Sang Zalim Najib Razak.

2. Isti'anah (minta tolong) untuk menghentikan kezaliman agar Sang Zalim kembali ke jalan benar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Anas r.a. telah meriwayatkan: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bantulah saudaramu yang zalim dan orang yang dizalimi”. Maka telah bertanya seorang lelaki kepada baginda s.a.w. : Wahai Rasulullah s.a.w., aku akan membantunya jika dia seorang yang dizalimi maka adakah pada pandangan engkau jika dia seorang yang zalim, bagaimanakah aku akan membantunya? Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya: “Aku menahannya atau menghalangnya daripada kezaliman maka sesungguhnya itu adalah bantuan kepadanya”. [Riwayat Bukhari]

3. Istifta' (meminta fatwa) akan sesuatu hal

Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” [Surah Al-Hujurat: 12]

PENGAJARAN: Allah sangat membenci perbuatan ini dan mengibaratkan pelaku ghibah seperti seseorang yang memakan bangkai saudaranya sendiri.

ULASAN FiQH: Walaupun asal hukum (al-hukmu li zatihi) daripada nas di atas melarang atau mengharamkan amalan buka aib orang.

Namun, dibenarkan (al-hukmu li ghairihi) ghibah untuk membolehkan sesuatu perkara diberikan justifikasi hukum.

4. Peringatan demi mencegah kemaksiatan

Contoh 1: perawi atau saksi yang cacat kredibiliti wajib didedahkan kepada umat Islam, sebagai mana jumhur ulamak dalam tradisi ilmu jarh wal ta'dil.

Contoh 2: Memberi analogi tanpa memalukan mana-mana pihak untuk membetulkan satu-satu kesalahan.

Contoh 3: Apabila melihat seseorang penuntut agama itu fasik atau mengamalkan bid'ah, maka, wajib di sebut sifat-sifat beliau sebagai pedoman kepada semua pihak.

5. Menceritakan kepada khalayak mengenai seorang (pemimpin) yang fasik, batil, bid'ah dengan menambah-nambah cerita pengajaran daripada sifat-sifat mazmumah (terkeji) itu, dengan niat untuk menambahkan amalan mahmudah (terpuji) dalam diri sendiri serta masyarakat.

6. Mengambil seseorang dengan gelaran yang mudah untuk seseorang itu dikenali, tetapi tidak sampai menghina yang jelas haram hukumnya.

Contoh: Gelaran Tok Guru kepada dua pemimpin spiritual PAS, iaitu Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang.

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
0194241583

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus