30 June 2014

Pahala mengumpat dalam bulan Ramadan

SEGELiNTiR pro Umno menasihat rakyat supaya berhenti menconteng kezaliman parti asabiah berkenaan di facebook demi menghormati bulan Ramadan.

Apa reaksi kita dengan dakyah ini?

Sangat indah penjelasan Rasulullah SAW mengenai perihal mengumpat, yang juga disebut sebagai ghibah.

Ghibah ialah engkau menceritakan saudaramu tentang sesuatu yang ia benci.Si penanya kembali bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu apabila apa yang diceritakan itu benar ada padanya? Rasulullah SAW menjawab: kalau memang benar ada padanya, itu ghibah namanya. Jika tidak benar, bererti engkau telah berbuat buhtan (mengada-ada).” [HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ahmad]

Pada zaman Rasulullah SAW, Perang Badar umpamanya berlaku pada bulan Ramadan.

Maqasid asy-Syariah atau tujuan syariat berperang ini di antaranya demi menghentikan kezaliman, atau lebih tepat untuk menghilangkan fitnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah..." [Surah Al-Baqarah:193]

Penjelasan: perang bukan satu-satunya kaedah untuk menghilangkan fitnah (kezaliman), tetapi, salah satu kaedah untuk menghilangkan fitnah.

Kaedah perang ala ISIL Iraq di Malaysia umpamanya boleh membawa fitnah lain, seperti Islam dianggap teroris oleh warganegara, maka, kaedah berperang dalam konteks Malaysia itu jelas haram walaupun zahir nas menyebut "wa qatiuhum"!

Sebab itu, PAS konsisten mengambil pendekatan muwajahah silmiyyah, dengan menyertai proses demokrasi dan pilihan raya demi menumbangkan kezaliman Umno hingga kini.

Dengan erti kata lain, kalau Perang Badar pun dibenarkan dalam Islam pada bulan Ramadan, kaedah mengumpat di facebook yang nyata jauh lebih damai (berbanding perang) lebih-lebih lagi lah dibenarkan syarak pada bulan ibadah ini, jika tujuannya jelas untuk menghentikan kezaliman pemerintah.

Sekali lagi nak tanya, adakah mengumpat yang boleh pahala pada bulan Ramadan?

Imam Nawawi dalam kitab Syarah Sahih Muslim dan Riyadus Solihin ada membahaskan enam jenis mengumpat (ghibah) yang dibenarkan di sisi syarak, antaranya:

1. Mengumpat golongan yang dizalimi

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya...” [Surah An-Nisa’: 148]

Contoh: Kempen NGO Tuntut Royalti Minyak Kelantan (R) menurut 20 peratus royalti minyak yang dinafikan oleh pentadbiran Sang Zalim Najib Razak.

2. Isti'anah (minta tolong) untuk menghentikan kezaliman agar Sang Zalim kembali ke jalan benar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Anas r.a. telah meriwayatkan: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bantulah saudaramu yang zalim dan orang yang dizalimi”. Maka telah bertanya seorang lelaki kepada baginda s.a.w. : Wahai Rasulullah s.a.w., aku akan membantunya jika dia seorang yang dizalimi maka adakah pada pandangan engkau jika dia seorang yang zalim, bagaimanakah aku akan membantunya? Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya: “Aku menahannya atau menghalangnya daripada kezaliman maka sesungguhnya itu adalah bantuan kepadanya”. [Riwayat Bukhari]

3. Istifta' (meminta fatwa) akan sesuatu hal

Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” [Surah Al-Hujurat: 12]

PENGAJARAN: Allah sangat membenci perbuatan ini dan mengibaratkan pelaku ghibah seperti seseorang yang memakan bangkai saudaranya sendiri.

ULASAN FiQH: Walaupun asal hukum (al-hukmu li zatihi) daripada nas di atas melarang atau mengharamkan amalan buka aib orang.

Namun, dibenarkan (al-hukmu li ghairihi) ghibah untuk membolehkan sesuatu perkara diberikan justifikasi hukum.

4. Peringatan demi mencegah kemaksiatan

Contoh 1: perawi atau saksi yang cacat kredibiliti wajib didedahkan kepada umat Islam, sebagai mana jumhur ulamak dalam tradisi ilmu jarh wal ta'dil.

Contoh 2: Memberi analogi tanpa memalukan mana-mana pihak untuk membetulkan satu-satu kesalahan.

Contoh 3: Apabila melihat seseorang penuntut agama itu fasik atau mengamalkan bid'ah, maka, wajib di sebut sifat-sifat beliau sebagai pedoman kepada semua pihak.

5. Menceritakan kepada khalayak mengenai seorang (pemimpin) yang fasik, batil, bid'ah dengan menambah-nambah cerita pengajaran daripada sifat-sifat mazmumah (terkeji) itu, dengan niat untuk menambahkan amalan mahmudah (terpuji) dalam diri sendiri serta masyarakat.

6. Mengambil seseorang dengan gelaran yang mudah untuk seseorang itu dikenali, tetapi tidak sampai menghina yang jelas haram hukumnya.

Contoh: Gelaran Tok Guru kepada dua pemimpin spiritual PAS, iaitu Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang.

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
0194241583

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus