Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri disyor mengadakan program ala rancangan realiti "The Apprentice", jika mahu gerakan koperasi di Pulau Pinang lebih berdaya saing sebagai enjin ekonomi rakyat.
Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) atau Ropewalk Bagan, Zolkifly Md Lazim memberi syor itu dalam pertemuan meja bulat dengan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd. Rashid Hasnon, petang tadi.
"Koperasi ada banyak dan berjenis-jenis di negeri ini, sebab itu perlu saring mungkin lima hingga 10 koperasi yang dilihat ada potensi walaupun kecil operasinya.
"Kerajaan Negeri perlu ada benchmark (aras tanda) supaya semua koperasi yang disaring tersebut boleh dilatih melepasi garis kejayaan ini.
"KPATSBB umpamanya boleh dijadikan benchmark untuk koperasi-koperasi yang berorientasikan pinjam-meminjam mikro kredit tanpa riba, kerana koperasi di bawah Nasorudin Shah Mat (Pengerusi KPATSBB) berjaya capai sifar NPL (hutang tak berbayar) sekarang ini," kata Zolkifly kepada wartawan dekat Komtar di sini.
Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dalam reaksi spontan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memajukan gerakan koperasi.
Atas maksud itu, katanya lagi, RM250,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri, termasuk RM80,000 bajet promosi, RM30,000 bagi hadiah pertandingan koperasi terbaik 2014.
"Saya juga mahu gerakan koperasi secara berdaya saing ini mampu menjadi satu lagi enjin ekonomi tersendiri di negeri ini, yang boleh dijadikan produk Pulau Pinang di rantau ini," ujar Mohd. Rashid.
Koperasi ANGKASA, Bank Persatuan, lima Pejabat Daerah, Koop Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), RISDA, Unit Pengurusan Masjid JHEAIPP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) masing-masing turut menghantar wakil dalam pertemuan meja bulan itu.
No comments:
Post a Comment