07 March 2014

RM16 juta hasil promosi bayar cukai awal tahun

MAIMUNAH Mohd. Sharif (depan, tiga dari kiri), Rozali Mohamod (depan, dua dari kiri) serta barisan Ahli Majlis MPSP lain bergambar kenang-kenangan bersama para pemenang cabutan bertuah Sempena Promosi Bayaran Cukai Pintu 2014 di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBARANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjaya mengutip RM16 juta daripada 25,755 pembayar cukai premis sempena Promosi Bayaran Cukai Pintu 2014, melebihi sasaran awal tahun ini.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd.Sharif berkata, angka itu sekaligus mencerminkan keberkesanan majlis cabutan bertuah sempena promosi bayaran cukai pintu, yang diadakan saban tahun.

"36 lagi penerima cabutan bertuah yang disenaraipendekkan akan mendapat hadiah masing-masing pada petang ini...bagi saya jauh lebih bernilai berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Kesemua hadiah untuk 77 penama diraikan sebagai menghargai komitmen mereka membayar cukai setahun 2014 kepada MPSP beserta tunggakan (jika ada)," ujar Maimunah kepada wartawan di Kompleks Ibupejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Harap naik ke Liga Super sebab FAP tanpa orang politik - Guan Eng

KETUA Menteri (berbaju putih) turut menimang bola takraw, sambil diperhati oleh Ahmad Farid Md. Arshad (dua dari kanan) dan peserta-peserta lain di sini baru-baru ini. | Foto: Ahmad Adil Mohamad.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH - Formula tidak melantik ‘orang politik’ menguruskan persatuan sukan diharap dapat membawa Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) ke Liga Super pada musim depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa merasmikan Kenduri Sepak Raga Tuju Ke-3 Peringkat Parlimen Bagan, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Baru Seri Bagan di sini.

“Kejuaraan kita (FAP) dalam Liga FAM antara kerana formula kita membebaskan persatuan sukan daripada orang-orang politik.

“Biarlah orang yang benar-benar pakar dan layak dalam arena sukan memimpin persatuan sukan.

“Kita yakin, kalau tidak menjuarai Liqa Perdana pada musim ini pun, kita harap boleh masuk Liga Super pada musim akan datang,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di sini baru-baru ini.

500 lagi terima bantuan persekolahan, ZPP lancar Kempen Santuni Asnaf

MOHD. Salleh Man (depan, tiga dari kiri) dan Azman Abdul Somat (depan, dua dari kiri) menyantuni waris penerima bantuan persekolahan di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Kira-kira 500 lagi pelajar beragama Islam menerima RM227,920 bantuan dana persekolah daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, bantuan itu sebagai kelangsungan pada Kempen Santuni Asnaf.

“ZPP bukan sekadar mengutip zakat sahaja, tetapi menjejaki asnaf yang layak di keenam-enam daerah pentadbiran kita (iaitu) Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan lagi satu Butterworth.

“Seperti hari ini, harapan saya dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu dan mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menyediakan wang bagi urusan yuran-yuran, membeli buku-buku keperluan anak di sekolah,” ujar beliau di Dewan Milenium di sini baru-baru ini.

3 projek Pusat tak siap punca trafik sesak di JK2PP

(Depan, dari kiri) CHOW Kon Yeow, Lim Hock Seng dan A. Rajendran serta pegawai JKR lain semasa meninjau trafik di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BATU MAUNG - Tiga projek pintasan jalan raya berwajib yang masih dalam proses pemajuan di sini dikenal pasti sebagai salah satu punca kesesakan trafik di sekitar Bayan Baru ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam beberapa hari pembukaan Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) itu.

CHOW Kon Yeow
Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, ketiga-tiga projek di bawah seliaan Kerajaan Pusat yang dimulakan lewat dari jadual pemajuan dijangka siap dalam masa tiga tahun.

“Saya lihat keadaan trafik masih terkawal walaupun pada waktu puncak ke tempat kerja sekarang.

“Dari sini (Batu Maung) ke Queensbay Mall, dari sini ke simpang Bayan Lepas dan satu lagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke lebuh raya dekat (Sungai) Ara-Teluk Kumbar masih dalam pemajuan.

“Tiga projek di bawah JKR (Jabatan Kerja Raya) Kerajaan Pusat ini dimulakan lewat daripada jangkaan...mungkin lebih dua tahun lagi untuk menyiapkannya,” ujar Chow Kon Yeow kepada wartawan, selepas meninjau sendiri aliran trafik lebuh raya di sini baru-baru ini.

Inovasi hab IT-BPO lonjak ekonomi berpendapatan tinggi – KM

(Dari kiri) ROSLI Jaafar, Farizan Darus, Ketua Menteri, Abdul Wahid Omar, Redza Rafiq, Mohd. Rashid Hasnon dan Low Choo Kiang pada upacara gimik perasmian majlis pelancaran Hab IT-BPO Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS - Pelancaran Hab Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan (IT-BPO) bernilai RM3.3 bilion berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini pada 1 Mac lepas diharap dapat mengelak perangkap pendapatan pertengahan, selain, melonjak ekonomi negeri ke tahap berpendapatan tinggi.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, inovasi itu kerana kunci kejayaan ekonomi masa depan bukan lagi bergantung pada sektor pembuatan semata-mata, malah, sektor perkhidmatan serta partisipasi Kerajaan Negeri sendiri sebagai teras utama kejayaan.

“Hab ini adalah perkongsian tiga teras, iaitu sektor pembuatan, perkhidmatan dan Kerajaan.

“Sektor perkhidmatan, termasuk bukan sahaja pelancongan, rawatan perubatan dan pendidikan, tetapi, perkhidmatan dikongsi, IT (Teknologi Maklumat) dan BPO (Penyumberan Luar Proses Perniagaan) seperti kewangan , perakaunan dan pemprosesan data,” ujar Guan Eng pada majlis pelancaran hab futuristik tersebut, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar turut berucap pada majlis rasmi itu.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus