07 March 2014

500 lagi terima bantuan persekolahan, ZPP lancar Kempen Santuni Asnaf

MOHD. Salleh Man (depan, tiga dari kiri) dan Azman Abdul Somat (depan, dua dari kiri) menyantuni waris penerima bantuan persekolahan di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Kira-kira 500 lagi pelajar beragama Islam menerima RM227,920 bantuan dana persekolah daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, bantuan itu sebagai kelangsungan pada Kempen Santuni Asnaf.

“ZPP bukan sekadar mengutip zakat sahaja, tetapi menjejaki asnaf yang layak di keenam-enam daerah pentadbiran kita (iaitu) Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan lagi satu Butterworth.

“Seperti hari ini, harapan saya dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu dan mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menyediakan wang bagi urusan yuran-yuran, membeli buku-buku keperluan anak di sekolah,” ujar beliau di Dewan Milenium di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Somat turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, beberapa Ahli Majlis bagi MAINPP, antaranya, Fadzil Kimi, Rahmah Mat Isa dan Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Menurut Mohd. Salleh, seramai 8,371 orang menerima RM14.1 juta untuk Pendidikan Asnaf sepanjang tahun lepas, manakala, 3,103 lain menerima RM1.8 juta untuk bantuan persekolahan.

Difahamkan, pelbagai program bantuan diwujudkan demi memudahkan urusan umat Islam, antaranya, Program Didik Cemerlang Akademik Untuk Pelajar Sekolah, Biasiswa Untuk Pelajar Universiti Tempatan dan Luar Negara, Bantuan Permulaan Ke IPT, Biasiswa Pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Inapan Kasih Sayang dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB).

Dalam perkembangan sama, Mohd. Salleh mengumumkan ZPP berjaya mengutip zakat sebanyak RM85 juta pada tahun lepas, walaupun pihaknya mensasar kutipan RM80 juta sahaja.

“Tahun ini, insyaAllah ZPP sasar kutipan zakat sebanyak RM95 juta,” ujar Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Sementara itu, Abdul Rahim Mey (gambar bawah), 50, melahirkan rasa terharu kerana anak perempuannya, Jahara Abdul Rahim, 17, dipilih sebagai penerima bantuan persekolahan tersebut.


“Sebelum ini, dia (Jahara) tidak pernah menerima sumbangan seumpama ini, bolehlah dia bayar yuran STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) dia yang agak tinggi itu.

Alhamdulillah, kita boleh berdoa sebab kita pun tiada sumbangan yang lebih baik melain beri pendidikan pada anak-anak,” ujar Abdul Rahim, pekerja di stesen pam minyak dekat Penaga.


Nada sama turut diluahkan oleh Faridah Darus (gambar atas), 50, peniaga kecil di sini.

“Alhamdulillah, anak saya, Hani Shahida Adnan yang kini belajar di Tingkatan 5 Sekolah Menengah Haji Ahmad Badawi mendapat bantuan persekolahan kali kedua,” jelas beliau sambil merakamkan penghargaan kepada MAINPP dan ZPP.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus