29 October 2015

Guan Eng kesal Bajet 2016 Pusat abai rakyat Malaysia di P.Pinang

KETUA Menteri pada sidang media di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi tidak memberikan sebarang manfaat projek pembangunan kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam reaksi spontan melahirkan rasa kecewa kerana projek-projek pembangunan utama di negeri ini langsung tidak disebut dalam belanjawan Kerajaan Pusat tersebut.

“Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang melahirkan perasaan kesal yang besar (terhadap) Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan sekali lagi meminggirkan Pulau Pinang, kerana langsung tiada projek pembangunan diumumkan untuk Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) ingin mengingatkan mereka (Pusat) bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian Malaysia, dan telah menyumbang sebanyak RM6.25 bilion pada tahun 2014.

“Sungguh tidak adil apabila menzalimi Negeri Pulau Pinang dengan menafikan beberapa projek pembangunan yang penting, seperti pembesaran Lapangan Terbang (Antarabangsa Pulau Pinang), projek infrastuktur (demi) meleraikan kesesakan lalu lintas, serta janji Perdana Menteri sebanyak tiga kali sebelum ini untuk membina LRT (Transit Aliran Ringan).

“Amalan yang ditonjolkan dalam Bajet 2016 ini jelas-jelas bertentangan dengan amalan federalisma dalam Perlembagaan, serta sikap semangat Malaysia yang harus disemai,” tegas Guan Eng selepas selesai Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan turut sertai sidang media tersebut.

Sebelum itu, Guan Eng pada satu sidang media lain menjelaskan, 'Zerorise GST' atau GST Berkadaran Sifar yang dicadangkan oleh pihak pembangkang dalam Bajet Alternatif sebenarnya ke arah memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Justeru, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sewajarnya mengganggap 'Zerorise GST' sebagai komitmen para Ahli Parlimen pembangkang daripada blok Pakatan Harapan menyokong pelaksanaan GST yang diumumkan dalam perbentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, 23 Oktober lalu.

“Mereka (Kerajaan Pusat) telahpun meletakkan GST sebagai sistem (cukai negara), (dengan) langkah menghapuskannya (GST) akan menelan lebihan kos di seluruh negara.

“Oleh itu, kita (Pakatan Harapan) mahu GST Berkadaran Sifar, yang secara efektif mampu menghapuskan GST keseluruhannya,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan dekat Komtar, di sini baru-baru ini.

KETUA Menteri (tengah) bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri lain pada Majlis Pecah Tanah Pasar Awam Baru Taman Inderawasih dekat Perai di sini, Sabtu lepas. | Foto: Darwina Mohd. Daud (Buletin Mutiara)

Guan Eng pada majlis rasmi lain turut mempersoal langkah Kerajaan Pusat yang didakwa langsung tidak mengutip cukai berwajib daripada syarikat-syarikat konsesi tol.

"RM39 bilion akan dikutip melalui GST dan tanpanya, pendapatan negara akan berkurangan sebanyak RM21 bilion.

“Tetapi, mengapa cukai tidak dikutip daripada syarikat konsesi tol (sedangkan) pendapatan (sumber tol) dipungut daripada 30 juta rakyat Malaysia.

“Selagi kita tidak memansuhkan GST, kita tidak akan dapat memastikan kita mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan," katanya pada Majlis Pecah Tanah Pasar baru Taman Inderawaseh dekat Perai.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal), Soon Lip Chee (ADUN Jawi), P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan) dan Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Selain itu, Guan Eng mempertikai Bajet 2016 yang didakwa hanya memulangkan semula kira-kira RM764.18 juta secara langsung kepada rakyat, sedangkan jumlah hasil Kerajaan Persekutuan termasuk daripada sumber GST dianggarkan sebanyak RM225 bilion (RM224,891,628).

"Itu adalah bersamaan bayaran RM26 (oleh tiap-tiap rakyat) untuk RM1 yang dikembalikan kepada rakyat.

“Bagaimana Kerajaan Pusat boleh dilihat bertindak seperti seorang wira, dan, bagaimana (Bajet 2016) ini boleh memberi kebaikan untuk rakyat," tanya Guan Eng lagi.

Beliau turut melahirkan kekecewaan kerana Najib langsung tidak mengemukakan langkah untung memulihkan mata wang Ringgit Malaysia (RM) serta keyakinan pelabur pada masa depan ekonomi negara, khususnya dalam tempoh tahun 2016.

“Tiada apa-apa langkah yang diumumkan untuk menyelamatkan mata wang.

“Tiada apa-apa untuk memulihkan keyakinan pelabur, tiada langkah-langkah untuk menangani rasuah dan skandal kewangan," katanya.

Tunggu dan lihat, respons Mohd. Salleh isu statusnya sebagai YDP MAINPP

MOHD. Salleh Man (lima dari kiri) diringi Azman Abdul Samat (empat dari kiri) serta kakitangan ZPP lain pada majlis pelancaran Bulan Berzakat & Kempen Zakat di Bas Rapid Penang di sini, pagi tadi. | Foto: Darwina Mohd. Daud.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Dato' Mohd. Salleh Man berkata beliau akan melaksanakan tanggungjawab berwajib sehingga habis tempoh lantikan, sungguhpun didedak oleh pemimpin muda tertentu daripada
Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar melepaskan jawatannya sebagai Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

“Dalam keadaan yang sama juga, saya didesak supaya jangan melepaskan jawatan...tak payah sebutlah (kerana) banyak pihak (yang mendesak saya jangan lepas jawatan).

“Saya dahulupun dilantik (sebagai Yang di-Pertua MAINPP)...maka saya akan terus berkhidmat...kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya,” respons Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS bagi kawasan Permatang Pasir.

Beliau memberi respons itu selepas Majlis Pelancaran Bulan Berzakat dan Kempen Zakat Di Bas Rapid Pulau Pinang di perkarangan parkir Perda City Mall dekat Bandar Perda di sini, pagi tadi.

Jelas Mohd. Salleh lagi, beliau sendiri mengambil sikap 'tunggu dan lihat', sama ada masih dilantik sebagai Yang di-Pertua MAINPP atau tidak oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk tempoh tahun akan datang.

Pada perkembangan sama, Mohd. Salleh turut enggan mengulas pertanyaan wartawan mengenai laporan terbaru oleh seorang pemimpinnya daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional.

“Yang itu kena tanya dengan pemimpin (PAS) negeri lah kerana saya tak terlibat dengan pemimpin (peringkat) negeri,” jelas Mohd. Salleh.

AZMAN Abdul Samad (kiri) bersama-sama Mohd. Salleh Man pada sidang media di dalam bas Rapid Penang.

Sebelum itu, Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP), Azman Abdul Samat memberitahu bahawa paparan promosi zakat pada bahagian luar lapan bas Rapid Penang dalam tempoh tiga bulan, sehingga akhir tahun ini.

Tambah beliau, ZPP turut mencetak sejumlah paparan promosi zakat pada kad elektronik pasca bayar 'Touch N Go', demi menyemarakkan lagi kewajipan membayar zakat berwajib.

“Pada tahun lepas (2014), kira-kira 56,000 pembayar zakat dan kita berharap jumlah pungutan kali ini melebihi RM90 juta,” jelas Azman.

Tambah beliau, ZPP berharap akan dapat sumber zakat berwajib daripada syarikat Rapid Bus Sdn. Bhd. kelak, susulan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam tempoh tiga bulan ini.

Naib Presiden Kejuruteraan Kanan Rapid Penang, Yusri Hushairi Yusop dan Rafidah Abdul Karim (Pengarah Kumpulan Komunikasi Rapid Penang) turut menyertai majlis pelancaran tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus