25 June 2014

Pulih semula satu gerai Teluk Bahang bukan sebab Melayu - TKM1

MOHD. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) memberi penjelasan kepada Sakina Zaffreel (dua dari kiri) di lokasi kejadian dekat Pantai Hujung Batu, sambil disaksikan oleh Mohd. Amin Nordin (paling kanan) dan menantu Sakina (paling kiri) di sini pada petang tadi. | Foto: Buletin Mutiara 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TELUK BAHANG - Pembinaan semula gerai makan Sakina Zaffreel, 54, sesegera mungkin di atas tanah Kerajaan Negeri berhampiran tapak asal premis haram itu diputuskan atas budi bicara pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng.

Selain membuat pengesahan itu kepada wartawan, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata pihaknya akan mengsyorkan kepada Pejabat Tanah Daerah Barat Daya supaya membina pusat penjaja sementara (PPS) di atas tanah sama milik Kerajaan Negeri.

“Tindakan pejabat tanah daerah benar-benar ikut prosedur kerana lima premis ini dibina atas tanah rizab pantai secara salah.

“Memandangkan gerai ini satu-satunya sumber rezeki Puan Sakina, satu gerai ini sahaja sah akan dipulih dengan peruntukan RM2,000 daripada Kerajaan Negeri

“(Manakala,) 10 kiosk itu akan saya cadang untuk dipertimbang oleh pejabat tanah daerah supaya aktiviti penjaja boleh kekal dijalankan oleh mereka yang terbabit mengikut peraturan, bukannya secara salah,” jelas Mohd. Rashid pada lewat petang tadi di sini.

(Dari kiri) "ABANG Samad Alpacino", Lim Guan Eng, Mohd. Amin Nordin dan "Abang Zaki" merakamkan gambar kenang-kenangan selepas perbincangan mengenai isu perobihan lima gerai di Teluk Bahang, semalam. 

Penolong Pegawai Daerah Barat Daya, Abu Hassan Omar serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Teluk Bahang, Mohd. Amin Nordin dan anggotanya, Mohd. Ridzuan Zaid atau “Zaki” turut menyertai Mohd Rashid melawat lokasi kejadian dekat Pantai Hujung Batu di sini.

SAKINA Zaffreel
Sakina yang ditemui kemudian melahirkan rasa bersyukur atas budi bicara Kerajaan Negeri terhadap beliau sekeluarga.

“Dalam bulan puasa ini (Ramadan), saya akan bekerja di Bazaar Ramadan Batu Feringghi ...macam mana pun saya mesti cari duit untuk sara keluarga dan bayar balik pinjaman TEKUN RM5,000 ikut jadual.

“Walaupun gerai makan saya ini dibina atas tanah rizab pantai, tapi terima kasih banyak-banyak lah atas budi bicara bina balik (gerai sementara) ini,” ujar Sakina sambil melahirkan rasa sedih dan terharu.

N. Rajeswary
N. Rajeswary, 40, yang ditemui berasingan turut berharap Kerajaan Negeri dapat segera membina PPS supaya beliau sekeluarga pun boleh kembali menjalankan aktiviti perniagaan batik kelak.

“Kalau boleh cadangan membina kioks ini pun boleh disegerakan juga, sekurang-kurangnya saya dan peniaga lain pun boleh kembali ‘cari makan’,” respons beliau kepada wartawan.

Difahamkan, premis perniagaan sementara ini dibina di atas tanah rizab pantai bernombor  lot 734 mukim 2 pada sekitar tahun 1989, iaitu semasa Hotel Mutiara dekat sini masih lagi meriah dibuka dan dikunjungi pelancong.

Semasa Hotel Mutiara ditutup sekitar tahun 2005, gerai makan Sakinah sahaja konsistan dibuka tiap-tiap hari, manakala, empat gerai lain jarang beroperasi lagi.

Pejabat tanah daerah direkodkan dua kali memberi notis pengosongan kepada lima ‘premis haram’ tersebut pada tarikh 10 Oktober 2012 dan 9 April lepas atas alasan struktur binaan tidak sah berkenaan didirikan di atas tanah rizab pantai.

Pejabat tanah daerah pada pagi tadi menguatkuasa undang-undang dengan merobohkan kelima-lima struktur fizikal premis perniagaan tersebut hatta menggamit perhatian banyak pihak, sebelum menerima campurtangan lanjut Mohd. Rashid petang tadi.

Pantau, penarafan bintang surau mulai Ramadan - Exco Agama

ABDUL Malik Abul Kassim (paling kanan) menjelaskan mengenai proses pemantauan dan penarafan bintang kepada Ustaz Ayob Yaacob (tiga dari kiri), Ustaz Mohammad Jamaluddin (dua dari kiri) dan Ustaz Ismail Omar (paling kiri) pada satu mesyuarat penyelarasan di sini, petang tadi. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAiNULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pemantauan serta penarafan bintang akan dilakukan ke atas semua surau awam berwajib dalam tempoh empat bulan mulai Ramadan ini.

Menurut beliau, langkah itu demi demi memelihara imej Pulau Pinang supaya terus dilihat sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan di serantau.

"Langkah ini selepas beberapa aduan daripada orang awam dan pelancong asing bahawa ada surau hotel dan di kawasan pelancongan dalam keadaan daif, kotor, sempit dan tidak selesa untuk menunaikan ibadah," ujar Abdul Malik di sini, petang tadi.

Pegawai Tadbir Agama (PTA) bagi daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Muhammad Jamaluddin, Ayob Yaacob (PTA daerah Barat Daya) dan Ismail Omar (Pegawai Bahagian Pengurusan Masjid bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP) turut menyertai sidang media tersebut.

Selain penarafan bintang, Abdul Malik berkata, ganjaran turut disediakan kepada surau yang berjaya diselenggara mengikut garis panduan pelancongan Islam negeri.

Difahamkan, empat kategori dipertandingkan, iaitu hotel, restoran, pusat membeli belah, serta premis awam seperti surau stesen minyak.

Pun begitu, penarafan dan ganjaran ini tidak meliputi 465 surau di dalam kampung serta dekat kawasan perumahan yang didaftar di bawah JHEAIPP, serta baki 131 surau yang berdaftar di bawah masjid kariah.

Selain itu, Abdul Malik mensyorkan, semua premis komersial yang menawarkan khidmat buffet Ramadan supaya turut menyediakan tempat solat yang selesa.

"Mesti sedia tempat solat yang selesa kepada pelanggan, ini syor kita," ujar Abdul Malik, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Malah, tegasnya lagi, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan berperundangan kepada premis komersial yang menyediakan khidmat buffet Ramadan tanpa memiliki sijil halal, sebagaimana dikuatkuasakan sejak tahun 2010.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Malik berkata, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing-masing telahpun meluluskan pembukaan 38 tapak dan 20 tapak Bazaar Ramadan, yang dijadual beroperasi mulai Ahad ini.

Kenali 10 pulau paling indah di dunia

Pulau Mnemba

1. Pulau Maldives
2. Pulau Seychelles

Dengan pantai pasir putih dan air jernih, Pulau Mnemba adalah satu lagi pulau cantik dunia, mengisi ranking ketiga.

Pulau Mnemba terletak di luar pantai Timur Laut Unguja. Dikatakan, lebih 150 spesis ikan, serta keindahan flora dan fauna boelh dialami di sini.

Snorkling, skuba dan kaki pancing mesti nak tahu lebih lanjut kan.

Ada lagi yang menarik di sini. Antaranya, terumbu karang besar dan diluar imiginasi kita sedia untuk dinikmati dan disentuh.

Kalau kena nasib, mungkin boleh melihat tarian semulajadi ikan lumba-lumba di sini.

Bayangkan...


SiTi HAJAR HASSAN
0182349882
Shaklee Independent Distributer (SID) - 1090868

ZAiNULFAQAR YAACOB
0194241583


BERSAMBUNG ESOK PADA DETIK 9.11 PAGI Di BLOG INI

PERNAH MINUM 'AYAQ CEGHEGAS"?

Berjalan sakan ke KL semalam, tapi, alhamdulillah selamat sampai rumah menjelang Subuh tadi.

Tentu letih, sebab saya bukan Supermen.

Sebelum bergegas ke Komtar pagi ini, sempat minum Performance Drink yang disediakan oleh isteri cantik muda saya, Siti Hajjar Hassan.

Saya panggil "ayaq ceghegas". Isteri serta kawan-kawannya selalu gelak bila saya sebut macam itu.

"Ayaq ceghegas" ini rasanya sikit-sikit macam 100plus perisa oren.

Saya pilih minum "ayaq ceghegas" ini sebab ia tiada karbonat.

Kalau nak lagi sedap, shake dengan air sejuk peti ais.

Memang best!

Pernah minum?

ZAINULFAQAR YAACOB
"Suami Muka Nampak Ganas, Tapi Manis"
0194241583

Luaskan maksud asnaf kepada OKU seperti Muhammad Firdaus Dullah, syor Presiden PMiUM

LEPAK SiSWA Zainulfaqar Yaacob (tengah) dengan Presiden PMiUM Khairol Najib Hashim (paling kanan) dan aktivis siswa lain di Pudu Sentral KL malam tadi, yang turut disertai oleh AJK PAS Pulau Pinang Zolkifly Md. Lazim (dua dari kiri) selepas program pre council polisi wakaf negeri dengan tim profesional dekat Hotel Ancasa di sini. 

SELESAiNYA pre council polisi wakaf negeri dengan tim profesional, banker serta ahli akademik hampir 45 minit di Hotel Ancasa yang tidak jauh dengan Pudu Sentral Kuala Lumpur menjelang Isyak malam tadi, saya mengambil keputusan untuk duduk lepak dengan adik-adik pimpinan mahasiswa Universiti Malaya.

Sementara menunggu Tuan Hj Zolkifly Md Lazim menjemput anak sulungnya yang baru terbang pulang di KLIA, saya berpeluang duduk minum dengan pimpinan baru Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMiUM) di bawah presidennya, Sdr. Khairol Najib Hashim.

Umumnya, mereka ghairah berbincang mengenai isu pengabaian hak remaja Muhammad Firdaus Dullah, 15, dengan penyakitnya cerebral palsy.

Berbetulan saya ada interbiu dengan Mufti baru Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pada 26 Jun jam 9.00 pagi, mereka syor agar konsep asnaf zakat di negeri ini diperluaskan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) seumpama Mohammad Firdaus.

Menurut mereka, Khalifah Umar Al-Khattab pernah memberi zakat kepada non-Muslim pada zamannya, hatta dipertikai oleh Sahabat lain.

Dr Yusof Al Qardhawi dalam karya Fiqh Zakat (2/707) ada mentarjih ijtihad Umar itu.

Dalam hujahan Umar, pemberian zakat kepada non-Muslim berkenaan adalah atas kedudukan fakir mereka, bukan agama mereka.

Umar berkata, ijtihadnya itu berdasarkan (dalalatun nas) ayat 60 dari surah At-Taubah yang bermaksud, "Sesungguhnya sedekah (zakat) itu untuk orang fakir..."; sambil berkata: "di zaman-ku ini, mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)."

Ijtihad Umar ini turut diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah.

Bagi saya, syor pemimpin mahasiswa berkenaan untuk meluaskan takrif asnaf meliputi OKU seumpama Muhammad Firdaus Dullah ini cukup menarik untuk diperbincangkan.

Terima kasih atas perkongsian adik-adik mahasiswa pada duduk minum malam tadi.

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Hentian Rehat RTC Perak
4.06 pagi.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus