Skip to main content

Pantau, penarafan bintang surau mulai Ramadan - Exco Agama

ABDUL Malik Abul Kassim (paling kanan) menjelaskan mengenai proses pemantauan dan penarafan bintang kepada Ustaz Ayob Yaacob (tiga dari kiri), Ustaz Mohammad Jamaluddin (dua dari kiri) dan Ustaz Ismail Omar (paling kiri) pada satu mesyuarat penyelarasan di sini, petang tadi. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAiNULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pemantauan serta penarafan bintang akan dilakukan ke atas semua surau awam berwajib dalam tempoh empat bulan mulai Ramadan ini.

Menurut beliau, langkah itu demi demi memelihara imej Pulau Pinang supaya terus dilihat sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan di serantau.

"Langkah ini selepas beberapa aduan daripada orang awam dan pelancong asing bahawa ada surau hotel dan di kawasan pelancongan dalam keadaan daif, kotor, sempit dan tidak selesa untuk menunaikan ibadah," ujar Abdul Malik di sini, petang tadi.

Pegawai Tadbir Agama (PTA) bagi daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Muhammad Jamaluddin, Ayob Yaacob (PTA daerah Barat Daya) dan Ismail Omar (Pegawai Bahagian Pengurusan Masjid bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP) turut menyertai sidang media tersebut.

Selain penarafan bintang, Abdul Malik berkata, ganjaran turut disediakan kepada surau yang berjaya diselenggara mengikut garis panduan pelancongan Islam negeri.

Difahamkan, empat kategori dipertandingkan, iaitu hotel, restoran, pusat membeli belah, serta premis awam seperti surau stesen minyak.

Pun begitu, penarafan dan ganjaran ini tidak meliputi 465 surau di dalam kampung serta dekat kawasan perumahan yang didaftar di bawah JHEAIPP, serta baki 131 surau yang berdaftar di bawah masjid kariah.

Selain itu, Abdul Malik mensyorkan, semua premis komersial yang menawarkan khidmat buffet Ramadan supaya turut menyediakan tempat solat yang selesa.

"Mesti sedia tempat solat yang selesa kepada pelanggan, ini syor kita," ujar Abdul Malik, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Malah, tegasnya lagi, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan berperundangan kepada premis komersial yang menyediakan khidmat buffet Ramadan tanpa memiliki sijil halal, sebagaimana dikuatkuasakan sejak tahun 2010.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Malik berkata, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing-masing telahpun meluluskan pembukaan 38 tapak dan 20 tapak Bazaar Ramadan, yang dijadual beroperasi mulai Ahad ini.