25 June 2014

Pulih semula satu gerai Teluk Bahang bukan sebab Melayu - TKM1

MOHD. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) memberi penjelasan kepada Sakina Zaffreel (dua dari kiri) di lokasi kejadian dekat Pantai Hujung Batu, sambil disaksikan oleh Mohd. Amin Nordin (paling kanan) dan menantu Sakina (paling kiri) di sini pada petang tadi. | Foto: Buletin Mutiara 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TELUK BAHANG - Pembinaan semula gerai makan Sakina Zaffreel, 54, sesegera mungkin di atas tanah Kerajaan Negeri berhampiran tapak asal premis haram itu diputuskan atas budi bicara pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng.

Selain membuat pengesahan itu kepada wartawan, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata pihaknya akan mengsyorkan kepada Pejabat Tanah Daerah Barat Daya supaya membina pusat penjaja sementara (PPS) di atas tanah sama milik Kerajaan Negeri.

“Tindakan pejabat tanah daerah benar-benar ikut prosedur kerana lima premis ini dibina atas tanah rizab pantai secara salah.

“Memandangkan gerai ini satu-satunya sumber rezeki Puan Sakina, satu gerai ini sahaja sah akan dipulih dengan peruntukan RM2,000 daripada Kerajaan Negeri

“(Manakala,) 10 kiosk itu akan saya cadang untuk dipertimbang oleh pejabat tanah daerah supaya aktiviti penjaja boleh kekal dijalankan oleh mereka yang terbabit mengikut peraturan, bukannya secara salah,” jelas Mohd. Rashid pada lewat petang tadi di sini.

(Dari kiri) "ABANG Samad Alpacino", Lim Guan Eng, Mohd. Amin Nordin dan "Abang Zaki" merakamkan gambar kenang-kenangan selepas perbincangan mengenai isu perobihan lima gerai di Teluk Bahang, semalam. 

Penolong Pegawai Daerah Barat Daya, Abu Hassan Omar serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Teluk Bahang, Mohd. Amin Nordin dan anggotanya, Mohd. Ridzuan Zaid atau “Zaki” turut menyertai Mohd Rashid melawat lokasi kejadian dekat Pantai Hujung Batu di sini.

SAKINA Zaffreel
Sakina yang ditemui kemudian melahirkan rasa bersyukur atas budi bicara Kerajaan Negeri terhadap beliau sekeluarga.

“Dalam bulan puasa ini (Ramadan), saya akan bekerja di Bazaar Ramadan Batu Feringghi ...macam mana pun saya mesti cari duit untuk sara keluarga dan bayar balik pinjaman TEKUN RM5,000 ikut jadual.

“Walaupun gerai makan saya ini dibina atas tanah rizab pantai, tapi terima kasih banyak-banyak lah atas budi bicara bina balik (gerai sementara) ini,” ujar Sakina sambil melahirkan rasa sedih dan terharu.

N. Rajeswary
N. Rajeswary, 40, yang ditemui berasingan turut berharap Kerajaan Negeri dapat segera membina PPS supaya beliau sekeluarga pun boleh kembali menjalankan aktiviti perniagaan batik kelak.

“Kalau boleh cadangan membina kioks ini pun boleh disegerakan juga, sekurang-kurangnya saya dan peniaga lain pun boleh kembali ‘cari makan’,” respons beliau kepada wartawan.

Difahamkan, premis perniagaan sementara ini dibina di atas tanah rizab pantai bernombor  lot 734 mukim 2 pada sekitar tahun 1989, iaitu semasa Hotel Mutiara dekat sini masih lagi meriah dibuka dan dikunjungi pelancong.

Semasa Hotel Mutiara ditutup sekitar tahun 2005, gerai makan Sakinah sahaja konsistan dibuka tiap-tiap hari, manakala, empat gerai lain jarang beroperasi lagi.

Pejabat tanah daerah direkodkan dua kali memberi notis pengosongan kepada lima ‘premis haram’ tersebut pada tarikh 10 Oktober 2012 dan 9 April lepas atas alasan struktur binaan tidak sah berkenaan didirikan di atas tanah rizab pantai.

Pejabat tanah daerah pada pagi tadi menguatkuasa undang-undang dengan merobohkan kelima-lima struktur fizikal premis perniagaan tersebut hatta menggamit perhatian banyak pihak, sebelum menerima campurtangan lanjut Mohd. Rashid petang tadi.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus