26 February 2016

Lantik dua pakar perundangan elak tuntutan ganti rugi pemaju, jelas Guan Eng

SALAH seorang pakar perundangan yang dilantik, Prof. Gurdial Singh Nijar A/L Sadu Singh (kiri) saling meneliti suatu dokumen berwajib bersama-sama Ketua Menteri (tengah) dan Jagdeep Singh Deo (kanan), selepas sidang media di sini pada pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Risiko membayar pampasan kewangan mencecah jutaan ringgit terpaksa dihadapi oleh Kerajaan Negeri hari ini gara-gara pemimpin Barisan Nasional terdahulu meluluskan beberapa projek pemajuan 'istimewa' di Pulau Pinang sebelum tahun 2008.

Susulan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menjemput dua pakar perundangan sebagai persiapan, sekiranya pemaju Sunway City (Penang) Sdn. Bhd. membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi berhubung suatu 'projek istimewa' kelak.

Katanya lagi, Professor Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof. Gurdial Singh Nijar A/L Sadu Singh dan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (HAKAM), Dato' Ambiga Sreenevasan masing-masing telahpun bersetuju untuk membantu Kerajaan Negeri demi mengelak risiko saman tersebut.

"Kedua-dua pakar ini bersetuju membantu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mengelakkan ganti rugi kewangan yang besar perlu dibayar kepada pemaju atas keputusan menolak permohonan kebenaran merancang yang melibatkat ketinggian 76 meter (250 kaki) atau bagi projek istimewa yan telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

"Ini adalah berikutan keputusan terkini yang dibuat di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 oleh Dato' Yeow Yang Poh, Presiden Lembaga Rayuan," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan kepada pemberita.

Selain Gurdial Singh Nijar, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut sertai sidang media tersebut di sini pagi tadi.

Terdahulu, Lembaga Rayuan antara lain mengulas bahawa MBPP tidak sepatutnya meluluskan projek Suway City bagi tanah melebihi ketinggian 76 meter dengan membenarkan pemajuan enam unit per ekar atau 15 unit per ekar oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

Menurut ulasan Lembaga Rayuan lagi, MBPP sepatutnya tidak perlu membayar gantirugi bagi 'projek istimewa' tersebut kepada pemaju.

Mengulas isu berbangkit ini, Guan Eng memberitahu bahawa keputusan Lembaga Rayuan tersebut adalah tertakluk pada semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Tambahnya, Sunway City serta pemilik tanah lain yang terkilan dengan keputusan Lembaga Rayuan masih mempunyai 90 hari untuk membuat semakan kehakiman tersebut.

"Sunway telah memaklumkan hasratnya kepada saya tentang niatnya untuk berbuat demikian dan mungkin akan menuntut ganti rugi, jika Mahkamah Tinggi mengesahkan keputusan Lembaga Rayuan.

"Ini akan memberi peluang kepada MBPP untuk menolak (overturn) projek-projek 'istimewa' yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu tanpa perlu membayar ganti rugi kewangan," jelas Guan Eng lagi, sambil menyifatkan kes tersebut akan menjadi kes utama dalam abad ini bagi undang-undang perancangan di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut memberitahu Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terlepas daripada membayar pampasan sebanyak RM244 juta (RM243,630,810) berhubung kes pengambilan tanah, yang difail oleh plaintif, NEG Engineering Sdn.Bhd. pada tahun 1994.

Satu lagi kes, katanya lagi, kes pengambilan balik tanah pada tahun 1992 di Perai (iaitu tapak pasar raya Megamall Complex), yang dikenali sebagai 'Kes Bagan Serai Housing Estate Sdn Bhd.'.

Malangnya, Kerajaan Negeri tewas dan diarahkan membayar pampasan sebanyak RM14.7 juta dan masih berusaha menuntut balik bayaran tersebut di Mahkamah Rayuan.

Demi mengelak risiko bankrap, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini pernah bersetuju dengan projek istimewa yang diluluskan oleh pemimpin Barisan Nasional terdahulu sungguhpun terpaksa berdepan dengan kritikan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Apabila Kerajaan Negeri membayar pampasan, tiada pihak menawarkan walau sesen untuk membantu, meskipun janji-janji manis dibuat oleh beberapa NGO," jelas Guan Eng lagi.

Difahamkan, Kerajaan Negeri hari ini melalui MBPP diarahkan membayar pampasan RM20 juta kepada Boustead Holdings Bhd. kerana mengurangkan ketinggian hotel daripada 12 tingkat kepada lima tingkat, yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

Langkah itu terpaksa dilakukan memandangkan pihak UNESCO mensyaratkan bahawa semua bangunan di kawasan George Town Tapak Warisan Dunia adalah tidak boleh melebihi lima tingkat atau 18 meter, tetapi tidak dipenuhi oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

Akibat kesilapan pemimpin Barisan Nasional terdahulu, Kerajaan Negeri hari ini turut terpaksa membayar pampasan sebanyak RM29.4 juta kepada Tan Hak Ju, berhubung suatu kes tanah di Bukit Mertajam.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini hidup dalam ketakutan untuk berhadapan dengan bayaran pampasan yang tinggi akibat daripada kegagalan Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang terdahulu, yang boleh mengakibatkan Kerajaan Negeri hari ini menjadi bankrap," tegas beliau.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus