10 July 2014

Kompleks Mahkamah Shariah P.Pinang ‘tembok keadilan’, Guan Eng nasihat pemimpin parti Gerakan

LIM Guan Eng (tiga dari kiri) menyaksikan Mohd. Rashid Hasnon (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang wakil asnaf terpilih (dua dari kiri), sambil diiringi oleh Abdul Malik Kassim (paling kiri) dan anggota Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor "Abang Ali" (paling kanan) di sini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SERI DELIMA - Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, pembangkang di negeri ini sepatutnya melihat Kompleks Mahkamah Shariah Pulau Pinang yang dijangka siap pada tahun depan sebagai ‘tembok keadilan’, sebagaimana yang pernah dibina oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dahulu.

Justeru, Guan Eng menasihatkan pemimpin tertentu pembangkang supaya tidak menggambarkan pentadbirannya begitu melebih-lebihkan kepentingan umat Islam, berbanding Kerajaan Negeri sebagai dikuasai Barisan Nasional, dulu.

“Kerajaan Negeri menawarkan sebidang tanah (berkeluasan) kira-kira 3.49 ekar bernilai kira-kira RM80 juta dekat Jalan Scotland atas dasar keperluan umat Islam, selepas Kerajaan Pusat sendiri (pada tahun 2012) mengeluarkan peruntukan (RM36.5 juta) untuk membina kompleks baru itu.

"Parti lawan tak perlu menyerang saya kononnya pemberian tanah ini menunjukkan Kerajaan Negeri hari ini begitu menjaga orang Islam sahaja, tidak seperti Pulau Pinang semasa di bawah Gerakan.

“Saya harap kompleks yang sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun (iaitu) sekarang ini, dapat disiapkan secepat mungkin,” nasihat Guan Eng dalam ucapan perasmiannya pada petang semalam, dengan tanpa menyebut nama pemimpin pembangkang yang dimaksudkan itu.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian dalam program Ihya Ramadan & Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Kepemimpinan Kerajaan Negeri di perkarangan Masjid Jamek Sungai Gelugor di sini.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, insiatif memartabatkan Islam di negeri ini dapat dilangsungkan, antaranya disebabkan syor berwajib daripada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS).

"Abang Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) selalu nasihat saya, Khalifah Umar Abdul Aziz pernah membina 'tembok keadilan' atas dasar ada keperluan rakyat, jangan (membina) tembok besar-besar,” seloroh Guan Eng lagi.

ANTARA asnaf terpilih yang diraikan dalam program Ihya Ramadan & Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Kepemimpinan Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Prof. Madya Dr. Fadhullah Jamil turut berucap pada majlis tahunan Kerajaan Negeri peringkat pulau tersebut.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee, Datuk  Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), R.S.N. Rayer (Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) dan Ramkarpal Singh Deo (Ahli Parlimen Bukit Gelugor).

Hadir sama, Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abu Jamal Nordin, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Pulau Pinang), Datuk Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Mahkamah Sharie Pulau Pinang) dan Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP).

Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Dr. Danial Zainal Abidin turut menyampaikan tazkirah Ramadan mengenai manfaat puasa pada kesihatan tubuh badan, di depan lebih 300 hadirin.

Pelajar tahfiz al-Quran di sebuah maahad di sini antara tetamu yang diraikan semalam, dalam majlis berbuka puasa bersama-sama Lim Guan Eng serta pemimpin Kerajaan Negeri. | Foto: Facebook Azran Chan Ori 

Pada majlis sama, Guan Eng turut menyaksikan majlis penyampaian sumbangan zakat kepada asnaf terpilih.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen kepemimpinan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan Islam di Pulau Pinang, sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan.         

"Niat murtadkan teman wanita akhirnya mencuri hidayah Allah..."

GEORGETOWN - Bercinta dengan wanita Islam membuatkan lelaki yang pernah bergelar seorang pendakwah agama cuba memurtadkan teman wanitanya itu pada awalnya.

AZLEY Stanley (kiri) bahagia bersama isteri.
Azley Stanley berkata, ketika itu usianya baru saja mencecah 23 tahun dan sudah berniat untuk mengahwini wanita berkenaan.

“Saya tinggal di perkampungan orang Melayu dan amat sukakan cara hidup mereka, sehinggakan saya sendiri bercadang untuk memilih isteri dari kalangan orang Melayu,” katanya.

Aktif menyebarkan agamanya sendiri menyebabkan Azley membenci Islam dan salah satu puncanya apabila melihat ramai umat Islam yang tidak melaksanakan tuntutan agama mereka sendiri.

“Sampai saya terfikir, kenapa mereka tidak ke masjid dan ada antara kawan yang tidak bersembahyang dan sebagainya, sehingga saya melihat diri saya sebenarnya lebih baik kerana setiap minggu akan mengunjungi rumah ibadat, maksudnya saya lebih baik dan dari situ
saya membenci Islam.

"Disebabkan itu jugalah setelah berkenalan dengan teman wanita menyebabkan saya berniat untuk memurtadkannya,” katanya.

Terlalu cinta teman wanita
Namun wanita yang dikenali dengan nama Nor Azizah itu lebih bijak dan berfikir panjang.

Dia yang kini sudah pun bergelar isteri kepada Azley mengakui mengetahui niat Azley untuk menariknya ke dalam agama lain ketika awal perkenalan.

“Disebabkan cinta kami bertahan, Azley pada awalnya sudah memberitahu kepada saya niatnya untuk mengahwini saya di rumah ibadatnya, tetapi saya kemudiannya dengan perlahan memberitahunya.

“Jika ingin berkahwin dengan cara itu, apa kata kahwin dulu dengan cara Islam, tapi sebelum berkahwin cara Islam kena belajar mengenai Islam, kalau tidak malu nanti kena tanya dengan tok kadi dan tak tahu jawab,” katanya.

Disebabkan terlalu mencintai Nor Azizah, Azley mengakui terpaksa juga ke Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) bertemu Ustaz Yusuf untuk belajar selok-belok Islam.

Dia mengakui datang bertemu dengan ustaz berkenaan dengan ego yang begitu tinggi kerana beranggapan dirinya lebih baik.

Islam tidak hina Isa
Azley berkata, dia sendiri bersoal jawab dengan ustaz berkenaan dan menganggap soalannya antara yang terbaik bagi melawan kata-kata ustaz berkenaan.

Namun sangkaannya meleset, segala jawapan yang diberikan menyentuh jiwanya perlahan-lahan.

“Antara yang diberitahu Ustaz Yusuf ialah Islam percaya dengan Nabi Isa, dan itu membuatkan saya terkedu, sedangkan ketika mendengar ceramah agama saya satu ketika dahulu, mereka menghina Nabi Muhammad.

“Tetapi Islam tidak pernah menghina Isa, malah menceritakan kehebatan Nabi Isa, saya begitu kagum, dan pada masa itulah saya terfikir, apa beza saya sekarang, sama sahaja.

“Pada saat itu juga saya terfikir jika saya putus dengan agama saya sekalipun dan masuk Islam, hubungan saya dengan Isa tidak akan putus, kemudiannya dengan kuasa ALLAH selepas tiga hari menghadiri kelas agama, saya mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid
USM,” katanya.

Tidak tanggal rantai
Ceritanya bukan berakhir di situ saja, Azley berkata, terdapat kenangan yang begitu menjadikannya emosional.

“Saat saya pergi mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam masjid, pada masa itu saya masih tidak menanggalkan rantai lambang agama yang saya pakai, tetapi Ustaz Yusuf langsung tidak melarang dan hanya memerhatikan saya.

“Sehinggalah saya pulang ke rumah dan berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dipaksa, akhirnya sehingga kini Islamlah pegangan saya,” katanya.

Walaupun ibu dan ayahnya menjauhi dirinya buat seketika, namun lama kelamaan mereka memahami kepercayaan baru yang dianutinya.

Azley bertuah apabila ayahnya sendiri membelikannya sejadah dan menyediakan ruang solat di rumahnya untuk memudahkan Azley bersolat.

Tetapi tiada yang lebih bertuah apabila kedua ibu-bapanya itu turut memeluk Islam pada 2011, namun ALLAH lebih menyayangi mereka dan kedua-duanya meninggal pada 2012 namun pada bulan yang berbeza.

Di akhir katanya, Azley mengakui dia memilih jalan yang paling benar dan bersyukur apabila melihat anaknya kini dilahirkan sebagai Islam.

“Cuma apa yang saya bimbangkan adalah adakah Islam mereka sekadar nama dan benar-benar kukuh, jadi itulah tanggungjawab saya dan isteri untuk mendidik anak memahami agama yang mereka anuti,” katanya. 

MP Batu Kawan kumpul pakaian raya terpakai bermutu rai umat Islam terpilih

FOTOJURNALiS Zainulfaqar Yaacob (kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan P. Kasthuriraani (kanan) di pejabatnya Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Batu Kawan, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Ahli Parlimen Batu Kawan P. Kasthuriraani membuka tiga pusat pengumpulan pakaian terpakai bermutu di sepanjang bulan Ramadan ini supaya aktiviti amal itu boleh dimanfaatkan oleh keluarga umat Islam terpilih setempat sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

P. Kasturiraani
“Program amal Syawal bertemakan ‘Beraya Bergaya Bersama’ itu diharap dapat menggalakkan komuniti untuk tidak membazir, memberi sedekah, dan yang paling penting lagi adalah renungan bersama akan kepentingan orang yang kurang bernasib baik untuk hidup selesa sebagaimana menjadi masej berpuasa pada bulan Ramadan ini.

“Sesiapapun boleh menyumbang jika ada pakaian raya terpakai bermutu bagi lelaki, wanita dan kanak-kanak untuk diagihkan kepada golongan terpilih sebelum 1 Syawal nanti,” ujar Kasthuriraani di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Batu Kawan, pada pagi tadi.

Menurut Kasthuriraani, pengumpulan pakaian raya terpakai bermutu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai adalah Surau Perai (Suhairi 01114740596), DUN Bukit Tengah di Kedai Pak Ya Kebun Sireh (Zahir 0194135645) dan DUN Buit Tambun di Masjid Al-Insaniah Simpang Empat (Shahidi 0124684574).

“Selain tiga pusat pengumpulan ini, pakaian raya bermutu turut boleh dikumpulkan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Kawan,” jelas Kasthuriraani lagi.

Info lanjut, hubungi Pegawai Seranta En. Rajhan 04-5681638 atau 0102315253.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus