JiKA Irsyad Manji hidup pada zaman Rasulullah s.a.w, wanita itu mungkin diramahi secara wacana atau debat rasional oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Ini kerana, Rasulullah s.a.w pernah berdebat dengan 13 Ahli Kitab dari Najran yang mempertikai kerasulannya suatu ketika dahulu.
Rasulullah s.a.w berkata, Nabi Adam a.s lebih hebat kerana tidak mempunyai ibu bapa sekiranya Ahli-ahli Kitab berkenaan masih nekad menganggap Isa 'Anak Tuhan' atas alasan Isa hanya mempunyai ibu.
Kata Rasulullah s.a.w, Nabi Musa a.s lebih hebat kerana dapat menghidupkan tongkatnya menjadi ular besar lalu memakan ular-ular Ahli Sihir Firaun sekiranya Ahli-ahli Kitab berkenaan menganggap Isa 'Anak Tuhan' atas alasan Isa boleh menghidupkan orang mati.
Al-'Akib yang lebih dikenali sebagai Abdul Masih serta Ahli-ahli Kitab yang lain menolak kebenaran sebagai yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dengan aksi bantah-membantah sehingga turunlah ayat 61 dari Surah Ali Iimran.