04 June 2018

Cerpen: Namanya Ainul Mardhiah


PENULIS dengan teman, namanya bukan Ainul Mardhiah yang konon-konon bidadari dari Syurga. 


Cerpen: 

NAMANYA AINUL MARDHIAH


Oleh: Zainulfaqar Yaacob



Dirimu pembakar semangat perwira

Rela berkorban demi agama

Kau jadi taruhan berjuta pemuda

Yang bakal dinobat sebagai syuhada

Itulah janji pencipta Yang Esa


Engkaulah bidadari dalam syurga

Bersemayam di mahligai bahgia

Anggun gayamu wahai seorang puteri

Indahnya wajah bermandi seri



             DALAM perjalanan ke Pejabat Agama Daerah Baling, Kedah, di dalam kereta, lagu Ainul Mardhih nyanyian kumpulan nasyid U.N.I.C tercorong melalui aplikasi telefon JOOX isteri.


             “Man, Ainul Mardhiah ini bidadari kah?” tanya Nor sambil menguis air liur keputihan di mulut suaminya. Maklumlah, Ramadan bulan dilarang makan siang. Sementara anak dara mereka, berusia 7 tahun terbongkang lena di kerusi belakang.


             “Tak tahu lah bidadari di Syurga itu namanya Ainul Mardhiah atau tidak.” ringkas jawapan Man. Selepas membetulkan tali pinggang keledar dan tempat duduk pemandu, dia merendahkan suhu pendingin awam. 


              Panas cuaca kian terik walaupun kiri kanan jalan desa dari Parit Panjang ke Bongor, tembus ke Pekan Baling, dirimbuni pokok getah dan pokok-pokok teduh lain yang maha hijau. Bumi Baling, Kedah yang menghijau, semacam dijilat bara neraka, maka, sesuai lah nama Ramadan itu membawa makna ‘panas yang membakar’. “Bidadari di dunia ini tahu lah Faqar apa namanya?” soloroh si suami. 


             “Di dunia pun ada bidadari?” pantas Nor bertanya kerana ingin tahu.


              Sambil tumpu memandu, Man lekas menjawab soalan isterinya yang memang bersungguh ingin tahu. Menurut Man, dahulu memang ada dua bidadari tapi sekarang tinggal seorang sahaja.


               Sampai di Bulatan Parit Panjang, Baling, kereta hitamnya meluncur perlahan sedikit dari tadi. Bumbung dunia menangis. Baling yang tadi panas dijilat mentari, berubah sejuk pula, mungkin sedingin suhu dalam kereta mereka. “Bidadari ini bukan ada berapa ramai, Man?” tanya Nor. Belum dijawab soalan itu, tanya Nor lagi, “siapa dua bidadari itu? Kenapa tinggal seorang sahaja, bukan dua di dunia?”


               Bersama renyai hujan yang kian mencurah lebat, Man senyum dengan sikap isterinya yang suka berbincang perkara-perkara metafizik. Ya... perkara metafizik, iaitu realiti yang maha wujud di dunia ini, tetapi di luar jangkauan pemikiran manusia.


              Lalu, jelas Man, tujuh tahun lalu, bidadari itu turun ke dunia, mengambil keputusan untuk menyintai seorang wartawan, sanggup hidup sederhana di Bandar Seri Damansara, Selangor. Sehingga lah, lahirnya puteri yang cukup cantik dan bijak, bernama Solehah. Namun, selepas lahir anak, bidadari itu disumpah Tuhan dengan sakit misteri. Di dunia, sakit itu disebut Cancer Hodgkin Lymphoma pada tahap 4 atau akhir. 


              Hampir enam tahun kemudian, sakit misteri yang telah menderitai tiga sekeluarga di dunia itu.  Bertanggal 9 Januari 2017, kira-kira jam 1.55 pagi, di Hospital Daerah Muar, turun utusan daripada Maha Cinta, menjemput pulang bidadari itu. 


              Tinggal lah wartawan itu bersama-sama anak kecil di dunia ini. “Setiap kenangan ada kesetiaannya.” Itu sahaja antara yang disebut bidadari yang pertama, waktu menderita disumpah Tuhan, sebelum menemukan ajal. Kata bidadari itu lagi, di dunia ini ada seorang lagi bidadari. Dia akan datang tidak lama lagi.


              Nor yang mula-mula begitu serius membincangkan perihal wujud atau tidak bidadari di dunia, sedang menahan ketawa. Suaminya barangkali dengan fana’, iaitu semacam menghancurkan diri dengan memikirkan sesuatu yang lebih metafizik. “Hahaha...Nor rasa lain macam sahaja cerita Man nie,” katanya sambil mencakar rambut si suami yang panjang, bersimpang siur dan sebahagian menutup wajah, takut mengganggu pemanduan.


             “Betul lah...Man memang tak tahu bidadari berapa ramai, tetapi di dunia ini yang Man jumpa dua orang sahaja.” sambung Man lagi. Dia ulang sekali lagi, yang dua bidadari yang dijumpai di dunia itu memang bernama.


               Nor tahan ketawa. Dia tahu suaminya itu kadang-kadang begitu. Dan, dia tahu, bidadari pertama yang dimaksudkan adalah Allahyarhamuha Siti, iaitu isteri pertamanya dulu. Dan, dirinya lah yang dimaksudkan sebagai bidadari kedua, yang menikahi wartawan beranak seorang itu, pada 2 Februari lalu. “Kalau mengusik isteri ini boleh batalkan puasa, puasa Man kira terbatal ya,” soloroh Nor. 


               Saling ketawa, mereka. 


                                    ~•~•~•~•~•


               “Pejabat Agama ini, bukakah?” tanya Man. Dia terlupa yang Ahad adalah hari cuti di Pulau Pinang. Tapi, di Kedah, Ahad adalah hari bekerja.


               Nor minta Man terus ke kaunter utama di Pejabat Agama Daerah Baling. Nor beri kad pengenalan dan resit pembayaran sekali, untuk rujukan pegawai kelak, bagi menuntut sijil nikah berserta kad perakuan suami isteri. Menurut Nor, mungkin pada sebelah petang waktu bekerja dalam bulan Ramadan ini, tidak ramai lagi berurusan di pejabat. Semuanya, menghambat waktu berbuka puasa.


               Sambil-sambil menunggu urusan di kaunter selesai, Nor memanjangkan lagi beberapa persoalan mengenai bidadari. Sama ada memang benar dia nak tahu duduk berdiri sebenar mengenai bidadari, atau berniat untuk membeli perasaan kasih sayang suaminya itu. Lalu, di kerusi menunggu, Nor bertanya lagi. “Kalau Man percaya Malaikat itu wujud, Man percaya tak wujudnya bidadari?”


              Menurut Man, memang ada sembilan tempat, dirakamkan kalimah bidadari atau حور dalam Al-Quran. Antaranya, jelas Man, firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya.” (Surah Al-Waqiyah: 22). Bunyinya begini, وَحُورٌ عِينٌ


              Nor memberitahu sudah lama beliau ingin bertanya. Adakah semua bidadari itu cantik? Habis yang tidak cantik tetapi mereka ini adalah bidadari, adakah tidak akan ada pasangan lelaki untuk saling hidup di akhirat sana? Fikirannya terus bersarang lagi, dia tidak dapat berhenti bertanya. Lalu, dia tanya lagi suaminya itu soalan yang hampir serupa, ada lah dia tiga kali. 


                “Kalau boleh, Nor bertanya lagi - kalau lelaki yang baik akan ada bidadari yang cantik melayan mereka di Syurga, wanita yang baik, adakah ada juga bidadari yang cantik akan melayan mereka di Syurga. Bidadari di Syurga itu semua lesbiankah? Atau transgender? Atau, bidadari di sana ada juga berjantina lelaki. Atau, lagi ekstrem, bidadari di sana tak ada jantina lelaki mahupun wanita, istimewa nya!” Man mengusik isterinya.


                Sementara Nor, yang fikirannya tadi sedang kusut dengan pelbagai persoalan metafizik seputar mengenai bidadari - adakah Ainul Mardhiah ini adalah bidadari? - dengan soalan-soalan berantai Man tadi, menjadikan otak Nor bertambah serabut. Tadi, dia tersenyum-senyum dengan cerita ada dua bidadari bernama di dunia ini. Sekarang, dahinya kian berkerut. Nampak serius wanita muda berusia 26 tahun itu.


                                  ~•~•~•~•~•


                 15 tahun lalu, di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pernah ada perbincangan metafizik sebegini, cerita Man kepada Nor. Dalam satu kelas tutorial Falsafah Pemikiran Islam, Prof. Dr. Muhammad Fauzi Zakaria ada membahaskan mengenai persoalan metafizik juga. Bukan mengenai jantina Ainul Mardhiah ini bidadari kategori apa? Tapi, Ketua Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam berkenaan membahaskan mengenai ayat-ayat “mutasyabihat”.


                  Menurut Dr. Muhammad Fauzi, secara umum ayat-ayat Al-Quran ataupun hadith yang tidak jelas, berkiasan ataupun dalam bentuk perumpamaan sesuatu itu lah di bawah maksud “mutasyabihat”. Katanya lagi, sebahagian ahli kalam menafsirkan kalimah-kalimah yang tidak jelas itu kepada makna yang lebih jelas. Ia, disebut takwil. Sebahagian lain, menyerahkan maksud ayat atau kalimah mutasyabihat itu kepada Allah yang Maha Mengetahui. Wallahu ‘alam.


                  Perbincangan itu tidak terhenti di situ sahaja. Dia berlanjut dalam kuliah Gerakan Tajdid Dan Islah, kendalian Dr. Ahmad Faisal Abdul Hamid. Mahasiswa aliran pengajian Islam memang suka berbincang mengenai persoalan metafizik sebegini. Maka, salah seorang teman, merupakan pemimpin wanita dalam Persatuan Mahasiswa APIUM ada bertanya lanjut soalan kepada doktor tersebut.


                  Allah S.W.T. ada berfirman, يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ ۚ. Maksudnya, “...tangan Allah di atas tangan mereka... (Surah Al-Fath: 10). Menurut terjemahan Abdullah Muhammad Basmeih, potongan ayat Al-Quran itu membawa maksud, “...Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya)...”


                  Perbincangan hari itu memang metafizik. Menurut Dr Ahmad Faisal, Allah itu sendiri adalah “zat yang maha wujud tapi tidak terjangkau dek fikiran manusia.” Maka, jelasnya lagi, “selagi ia boleh dibayang oleh fikiran manusia, itu bukan zat yang maha wujud Allah.”


                 “Habis itu Dr. Faisal, tangan Allah ini macam mana? Kalau bukan macam tangan manusia, macam mana?” Syarifah atau Kak Pak terus mengasak wacana dengan soal-soal metafizik berantai.


                 “Ada takwilan tangan itu sebagai ‘kuasa’ Allah dan ada yang menyerahkan maksud ayat mutasyabihat itu kepada Allah... wallahu ‘alam.” Ringkas ulasan pensyarah berkenaan sambil membacakan ayat Al-Quran : لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ. Ayat Al-Quran ke-11 daripada Surah Ash-Shura itu bermaksud, “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya).”


                Asakan demi asakan soal-soal metafizik Kak Pah saling tak tumpah dengan perkara yang bersarang dalam otak Nor. Man bercakap dalam hati sahaja.


                                 ~•~•~•~•~•


               Nor kakitangan kerajaan. Pernah kerja di Jabatan Kebajikan dekat Alor Setar, Kedah, sebelum berpindah ke Pulau Pinang. Baru beberapa bulan beliau di sini.


               Melalui seorang ‘orang lama’ di jabatannya, bernama Kak Ton, diperkenal kepada Mak Man, rakan jemaah di masjid. Mak Man memang mencari pengganti. Kalau tidak sama semua dengan bekas isteri muda cantik jelita Man yang meninggal dunia itu pun, iras-iras pun sudah lebih dari bersyukur. 


              Hampir sebulan juga mak memberi nombor telefon Nor untuk dihubungi, tapi tak dihubungi. Man sibuk dengan kerjanya, menghambat berita-berita terbengkalai dan yang semasa sepanjang sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dekat George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.


             Apabila ditangguh sahaja sidang mesyuarat dewan, pada petang selepas Asar itu juga, Man menghubung Nor. Diatur, janji temu sulung. Mulanya di Restoran Kapitan dekat Bandar Perda, Seberang Jaya. Selepas itu, mereka berpindah ke Nash’s Donut & Bakery kerana kafetaria itu berdingin hawa, sebab panas cuaca siang yang membakar haba.


             Dari saling memperkenal diri masing-masing, sehingga lah hanyut ke isu-isu politik kepartian, kerana waktu itu kebetulan berbahang juga dengan pilihan raya umum ke-14 kian berbara. “Kalau kita tak sokong mereka yang berhasrat mendaulatkan hukum Allah, bagaimana kita mahu mendapat Syurga-Nya,” tanya Nor, cuba memerangkap pendirian politik suaminya.


            Lalu, Man berseloroh yang beliau ada nombor ahli ‘Parti Syurga’. Tambah Man, menurut Ustaz Janggut, sesiapa yang ada nombor ahli ‘Parti Syurga’ boleh masuk ke Jannah guna laluan VVIP. 


            Nor melopong ketika itu. Dia sangat keliru dengan reaksi lelaki yang mungkin bakal menjadi imam solatnya itu. 


            Dalam kereta, selepas selesai urusan di Pejabat Agama, Nor mengimbau kembali kenangan pada janji temu mereka. “Man wartawan, bahasa Man kadang-kadang sangat mudah faham. Tapi, kadang-kadang berbunga, berkiasan, dan kabur maksudnya.” Nor membetulkan kerusi duduknya agar lebih selesa. Walaupun tubuh disilang tali keledar, dia gagah mengadap suaminya itu. “Dulu, Man kata sesiapa yang sokong parti Islam, dia ada nombor ahli dan boleh masuk Syurga. Mungkin bidadari dalam syurga ini dah ada rekod siapa pasangan mereka berdasarkan nombor ahli?”


             Terbahak-bahak Man ketawa. Melihat Man ketawa, Nor pun ikut ketawa kecil. Mereka ketawa sampai terjaga Solehah yang sedang lena di kerusi belakang kereta. “Soalan Nor yang ini memang menakjubkan.” Man tak tahu sama ada Nor usik Man atau memang nak tanya Man bab Syurga, sebab ada kaitan dengan bidadari bernama Ainul Mardhiah?


                                 ~•~•~•~•~•


              Sampai ke pasar raya Billion berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling, mereka tak berhenti ketawa. Man boleh percaya yang soalan metafizik isterinya itu semacam mengusik cara fikirannya yang dialektik materialisme.


              “Nor cuba bayangkan, di Felda Teloi Tengah ini, ayah Nor menganjurkan pertandingan lari dalam guni. Siapa menang dapat tidur semalaman dengan Nor. Nor boleh terima tak?”


              “Takkan abah sanggup buat macam itu kepada anak-anak perempuannya,” balas Nor, bertanya balas dengan soalan suaminya itu. Dia faham, soalan suaminya itu cuma untuk mengolah cara berfikirnya, tidak lah sampai menghina mana-mana pihak. 


              “Kenapa dia tidak boleh pula? Kalau bidadari yang cantik, katakan lah bernama Ainul Mardhiah boleh diperjudikankan,” usik Man lagi.


               Nor bertambah kusut. Memang kusut dan kian bercelaru apabila soalan dijawab dengan soalan pula. Tambahan jawapan balas adalah soalan metafizik.


              Lantas Man menceritakan bahawa barangkali lagu nasyid Ainul Mardhiah itu ditulis berdasarkan cara penulis lirik melihat wanita. “Kalau penulis orang parti Syurga, yang menerima boleh bai’ah cerai isteri dengan talak tiga, jika mahu menjadi calon parti Syurga itu, apa lah sangat kalau menganggap bidadari Syurga sebagai taruhan kepada pemuda.”


              “Maksudnya...?” Nor tuntut perjelaskan lanjut.


              Balas Man lagi, kalau seorang suami sanggup  mempertaruhkan isterinya atas nama parti Syurga, tak hairanlah dalam bab metafizik seperti bidadari Syurga pun dia melihat secara materialisme kebendaan, boleh ada taruhan semacam isterinya. “Kerana bidadari Syurga ini bab metafizik, maka dia berkhayal macam isterinya yang boleh diperjudikan macam benda material sesuka hati.”


                                  ~•~•~•~•~•


              Kata-kata suaminya itu sangat mendalam dalam jiwanya. Nor kian berasa bahawa banyak benda dalam agama, khususnya mengenai perkara metafizik, rupa-rupanya banyak yang masih kabur dan tidak jelas jatuh duduk dalam agama yang sebenar.


             Nor, tiba-tiba mengenang kehidupan kakaknya, bernikah dengan seorang agamawan, lepasan Universiti Malaya jaga, tetapi lebih tua 12 tahun berbanding suaminya. 


             Hari-hari kakaknya semacam menjadi mangsa keganasan suami yang baran. Malah, anak saudaranya, nama Syafikah berusia semuda 9 tahun pun, kadang-kadang ternampak kesan lembab atau balar pada tubuh, akibat dilanyak oleh abang ipar yang maha bengis itu.


             Pernah suatu hari, menjelang Hari Raya Korban tahun lepas, ingat Nor, meneman kakaknya ke klinik kesihatan kononnya sebab sakit badan, rupa-rupanya disebabkan sakit akibat dibelasah oleh lelaki berusia lewat 40-an tersebut.


             “Kak Ina kena pukul dengan Ustaz?” tanya Nor sambil menyelak lengan baju kemeja labuh kakaknya itu. Ada kebam hitam di tengah-tengah belakang. Lebam biru pun ada. Kesan balar pun ada, tak tahu lah dirotan atau dipukul menggunakan penyangkut baju ataupun tapi pinggang. 


               Cepat-cepat Ina membetulkan lengan bajunya. Dia minta Ina supaya tidak memberitahu sesiapa, terutama Abah ataupun Mak. “Kak Ina reda.”


               Sampai bila nak begini, menjadi beg tumbuk suami yang maha bengis, tanya Nor lagi. Dia cuba selak baju kemeja labuh kakaknya pula, sekali lagi. Dia mahu betul-betul pastikan sejauh mana teruk dan sakit kesan pukul yang berbalam di tubuh satu-satunya kakak kandung itu. 


               “Kalau Kak Ina tak buat begini, lagi teruk Syafikah kena. Adik tahu kan anak kakak itu bukan semacam budak lain. Dia istimewa. Dia hiperaktif. Kalau diikat kali pada besi tangga rumah, lagi teruk dia memberontak. Tapi kalau terlepas bebas, akan ada lah benda di rumah pecah atau kepalanya yang berdarah. Ustaz baik, cuma kadang-kadang hilang sabar sahaja.” Lunak Ina membeli kepercayaan adiknya itu. 


               Sampai bila? Tanya Nor. 


               “Kakak percaya ada hikmahnya. Syurga seorang isteri adalah di bawah tapak kaki suami,” dalih Ina lagi. Selepas itu, dia minta supaya tidak dibincang lagi hal suaminya itu. Berbincang hal suami sebegitu samalah membuka aib suami dan rumahtangga. Itu, ditegah dalam agama. 


               Nor mengalir air mata, mengenang Kakak yang kini ada sakit gangguan saraf. Walaupun doktor beberapa kali sebut sakit tulang belakang yang kian berbentuk C bukanlah disebabkan penderaan si suami, Nor tetap menganggap kakaknya sebegitu adalah kerana dilanyak oleh abang iparnya.


                Sambil menyika air mata yang berbuah gugur, lalu mengalir basah di pipi, Nor sendiri bersyukur abang Iparnya itu maut dalam satu kemalangan jalan raya di Bukit Selambau, Kedah. Syafikah dan Kak Ina kini dalam peliharaan Abah. Alhamdulillah.


                “Tak guna jadi suami kalau asyik belasah isteri,” terpacul di mulut Nor, dan jelas didengari Man.


                Patriaki ini bahaya. Ia bukan sekadar mendorong seorang suami mendominasi pasangan secara fizikal, mental, emosional dan seksual. Bahkan, terang Man lagi, ia sampai boleh menjana pemikiran melampau umat Islam, terutama dalam soal metafizik hatta materialisme.


               Mendengar ulasan Man, Nor tidak tanya lagi adalah Ainul Mardhiah ini bidadari Syurga yang menjadi taruhan judi kononnya di kalangan jutaan pemuda. Faham Nor, mujur suaminya melihat isteri adalah isteri, harus dihargai bersama, bukan diperhambakan di rumah mereka. 


              Kata Nor, “kalau lahir nanti anak perempuan, Nor ingat tak mahu lagi dinamakan Ainul Mardhiah, takut secara metafizik orang berbincang dia boleh jadi taruhan berapa juta pemuda? “Kalau bukan dinamakan Suhad Al-Khatib, iaitu wanita pertama daripada Parti Komunis Iraq yang menang pilihan raya baru-baru ini, Nor nak didik anak kita biar real leftist feminist, melawan faham patriaki tidak kira lah atas nama Melayu atau Islam di Malaysia ini,” tegas Nor.


              Sementara Man, tersenyum. Dia teruskan pemanduan, mahu pulang ke rumah mak mertuanya lebih awal untuk siap-siap berbuka puasa.


END

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus