22 July 2013

TYT agih RM3.03 juta zakat untuk 7,207 terpilih

TYT Tun Abdul Rahman Abbas (tengah) menyerahkan replika cek bantuan fakir miskin sempena Program Nur Ramadan 1434H berjumlah RM3,034, 202.00 kepada Mohd. Salleh Man (paling kiri) untuk diagihkan kepada golongan terpilih sambil disaksikan oleh Azman Abdul Samat baru-baru ini di sini.

KERAJAAN Negeri melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengagihkan lebih RM3.03 juta kepada 7,207 fakir miskin sempena Program Nur Ramadan 1434H.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Abdul Rahman Abbas mengumumkan penyerahan sumbangan tersebut di Masjid Negeri Pulau Pinang dekat Air Itam baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, sumbangan itu diagihkan secara berperingkat melalui ZPP sendiri.

"Sempena Program Nur Ramadan tahun ini, seramai 2,084 orang akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM350 seorang beserta hamper.

"Selain itu, Zakat Pulau Pinang turut mengagihkan bantuan kepada fakir dan miskin di seluruh kariah negeri Pulau Pinang, iaitu kepada 7,207 orang dengan jumlah keseluruhan termasuk bantuan pada hari ini sebanyak RM3,034,202.00," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Samat turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Mohd. Salleh, Kerajaan Negeri berharap sumbangan itu dapat menceriakan golongan terpilih berkenaan sempena menempuhi bulan Ramadan, seterusnya menyambut Hari Raya Puasa nanti.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri membela golongan terpilih dalam kalangan umat Islam di Pulau Pinang.

RM215,000 imarah masjid P.Pinang sempena Ramadan

(DARI KIRI): Abdul Malik Abul Kassim, Lim Guan Eng, Anwar Ibahim, wakil penerima, Mohd. Rashid Hasnon dan Mansor Othman pada majlis sumbangan peruntukan mengimarah masjid baru-baru ini.

KERAJAAN Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperuntukan sebanyak RM215,000 bagi tujuan mengimarahkan lebih 200 masjid di negeri berkenaan sempena menyambut bulan Ramadan.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong sebarang program mengimarah masjid demi memartabat lagi keindahan Islam sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Negeri menyokong penuh sebarang program mengimarahkan masjid memandangkan peranan masjid kedudukannya sebagai pengemudi pada masyarakat," ujar beliau dalam satu majlis di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Jawi baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya' Ramadan Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013 itu.

Manakala, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut bersama-sama Mohd. Rashid dan Anwar menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada para pentadbir masjid berwajib.

Hadir bersama, Timbalan Yang Dipertua MAINPP merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Maktar Shapee, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, JAINPP) dan Rohani Hassan (Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, SPS).

Difahamkan, Masjid Negeri menerima sumbangan RM5,000, manakala, kelima-lima masjid daerah masing-masing menerima peruntukan RM2,000.

Kesemua 200 masjid kariah pula masing-masing menerima sumbangan RM1,000.

Sebelum pada itu, Abdul Malik berkata, idea mengeluarkan peruntukan khusus untuk tujuan mengimarah masjid serta jamuan berbuka puasa sempena bulan Ramadan itu sebenarnya diilhamkan oleh Guan Eng sendiri pada tahun 2008.

Itu, tidak termasuk insiatif Kerajaan Negeri mewujudkan Kelas Celik Al-Quran di peringkat sekolah sejak tahun 2010, selain, mengadakan Sambutan Bulan-Bulan Al-Quran saban tahun.

"Bermula dengan 10 sekolah, sekarang lebih 100 sekolah mengikuti program ini. Sejak tahun 2010, RM100,000 diperuntukan untuk Program Celik Al-Quran dan sekarang, hampir mencecah RM400,000,” ujar Abdul Malik.

Sementara itu, Anwar pula berkata, umat Islam wajar diseru untuk menegakkan kebenaran dan keadilan kerana komitmen itu mendekati maksud ketakwaan sebagaimana dituntut dalam ibadah berpuasa itu sendiri.

"Puasa ini diwajibkan ke atas umat sebelum kita lagi, membawa gambaran bahawa tradisi berpuasa ini dilakukan oleh semua penganut agama sebelum kamu, iaitu Islam.

"Menegakkan ketakwaan yang menjadi maksud utama kita berpuasa itu antaranya adalah menegakkan kebenaran dan keadilan untuk seluruh alam...itu lah maksud Islam.

"Sebab itu, Ramadan patut mengajak umat Islam untuk senantiasa mahu mencari muafakat nasional serta meruntuhkan tempok perkauman yang zalim," ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa menjelaskan mengenai inti ayat 183 dari Surah al-Baqarah yang bermaksud, 
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengutuk tindakan kudeta tentera Mesir atas alasan Dr. Muhammad Morsi dipilih sebagai Presiden oleh majoriti rakyat negara berkenaan melalui proses pilihan raya umum yang demokratik.

P.Pinang iktiraf lapan artis kraftangan, seni halus

PENGUNJUNG menyaksikan demontrasi seni batik di sini baru-baru ini.

KETUA Menteri serta kepemimpinan Kerajaan Negeri lain menyaksikan demontrasi seni Silat Cekat baru-baru ini.

LAPAN artis kraftangan dan seni halus dipilih menerima sijil penghargaan, plak dan RM2,000 gaji tahunan sepanjang hayat daripada Kerajaan Negeri sempena sambutan Living Heritage Treasures of Penang Awards 2013.

Mereka, Datuk Lim Bian Yam (chef), Koh Ah Wah (pengukir kayu), Ooi Siew Kim (pereka patung Hokkien), Wan Dee (penari Menora), Lee Khek Hock (pembuat tanglung), Toh Ai Hwa (pereka patung opera), N.B Samarasena (pereka barang kemas) dan Sim Buck Teik (pengayam rotan).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, insiatif itu diharap dapat menyedarkan orang ramai supaya lebih menghargai hasilan kraftangan dan seni halus di negeri berkenaan.

“Kebolehan-kebolehan mereka ini telah diiktiraf, didokumentasikan, malah, akan disimpan dan dikembangkan agar generasi yang mendatang tidak akan kehilangan nilai seni yang sungguh tinggi nilainya.

“Sememangnya ini harus dikekalkan dan dibangunkan di atas tanah warisan Pulau Pinang ini,” ujarnya semasa menyampaikan ucaptama di George Town baru-baru ini. 

Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) dan Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim ( Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada keraian itu.

Sebelum itu, Guan Eng menyempurna majlis perasmian Persatuan Teochew Pulau Pinang dekat Lebuh Chulia di sini, selain, menyaksikan demontrasi seni batik dan Silat Cekak.

Beliau turut mengadakan kunjungan ringkas ke Masjid Kapitan Kling, Yang Kongsi dan Galeri India Muslim di sini.

GTF2013 serlahkan budaya P.Pinang kaya - KM

‘ORANG panjang’ berkaki galah antara persembahan menari dalam GTF 2013 baru-baru ini.  

FESTIVAL George Town 2013 (GTF2013) sekali lagi mengambil tempat di Padang Kota di sini sempena sambutan ulang tahun kelima pengisytiharan ibu negeri itu sebagai bandar warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 7 Julai 2007.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, keraian bermula selama sebulan berakhir pada7 Julai lepas itu sebagai bukti kepelbagaian dan kekayaan budaya di negeri berkenaan.

“Sempena sambutan kali kelima ini, kita sendiri dapat saksikan kekayaan budaya dari pelbagai latar belakang selaras dengan kemahsyuran George Town sebagai sebuah kota warisan dunia,” ujar beliau baru-baru ini.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T), Tun Abdul Rahman Abbas menyempurnakan gimik perasmian festival itu melalui acara menaikkan layang-layang ke udara.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air putih berkata, acara menarik lain sempena festival itu antaranya paluan gendang harmoni pelbagai kaum disulami kompang dan sitar, opera, teater, pameran, muzik dan acara kebudayaan rakyat setempat.

Selain itu, katanya, 'Kapal' yang diperbuat dari buluh oleh artis Indonesia, Joko Avianto turut dipamekkan depan khalayak di bangunan bersebelahan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini.

Yang Dipertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail dan Maimunah Mohd. Sharif (Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada festival tahunan tersebut.

Doktor rasis: Exco beri ADUN pembangkang kata dua

DR. Afif Bahardin
AHLi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin yang mengaku wujud tiga doktor rasis di hospital kerajaan dekat Pulau Pinang supaya mengemukakan bukti berwajib atau segera mohon maaf atas tuduhan tanpa asas tersebut.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Datuk Seri Hilmi Yahaya (Timbalan Menteri Kesihatan) sendiri dalam satu kenyataan di sesawang Malaysiakini.com pada 20 Julai lepas mengaku bahawa dakwaan itu 'mungkin berlaku salah faham'.

"Saya menggesa Y.B. Roslan Saidin agar meminta maaf secara terbuka kepada para doktor di seluruh Malaysia berikutan dakwaan yang telah beliau bangkitkan di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Pulau Pinang berkenaan tiga doktor rasis yang enggan merawat pesakit," ujar Dr. Afif menerusi emel baru-baru ini.

ROSLAN Saidin
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, kegagalan Roslan mengemukakan bukti hanya akan menyerlahkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin pembangkang Pulau Pinang itu sahaja.

Malah, katanya lagi, Roslan menzahirkan tuduhan sedemikian mungkin disebabkan beliau kecewa dengan sokongan rakyat terhadap pembangkang Pulau Pinang yang nyata kian merosot pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Terdahulu, Roslan semasa mesyuarat penuh di DUN Pulau Pinang dilaporkan menuduh 'Tsunami Cina' dalam pilihan raya umum baru-baru ini kononnya punca tiga doktor berbangsa Cina berkenaan enggan merawat pesakit berbangsa Melayu di hospital kerajaan tertentu.

Tuduhan itu mengakibatkan Roslan didesak untuk mengemukakan nama sebenar doktor berwajib, namun, beliau mengelak dengan pelbagai dalih.

Ekoran itu, Dr. Afif dilaporkan cuba mendapatkan respons lanjut daripada Kementerian Kesihatan.

Hilmi dalam satu kenyataan kemudian antara lain menyebut, 'Saya rasa tak timbul masalah doktor rasis ini. Mungkin berlaku salah faham'.

Jawatan itu amanah Hari Akhirat - TKM1

SUASANA harmoni anak kariah Masjid At-Taqwa dekat Bertam bersama-sama Mohd. Rashid Hasnon menunggu detik berbuka puasa di sini baru-baru ini.

LEBiH 50 anak kariah Masjid At-Taqwa menyertai jamuan berbuka puasa bersama-sama Timbalan Ketua Menteri 1, Mohd. Rashid Hasnon di sini pada 1 Ramadan lepas. 

Mohd. Rashid semasa menyampaikan ucapan mengingatkan semua pihak yang berjawatan dalam Kerajaan Negeri supaya terus mengamalkan budaya integriti sebagaimana dituntut dalam Islam. 

"Kita jangan meminta-meminta sesuatu jawatan kerana di akhirat kelak, kita akan disoal atas apa yang kita pimpin di dunia," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak. 

Beliau berkata demikian semasa menerangkan inti ayat 65 dari Surah Yaa Sin yang bermaksud:
"Pada hari ini (Akhirat), Kami (Allah) tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami (Allah) tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan." 
Mohd. Rashid berkata, pihaknya sentiasa berharap masjid dan surau dapat dijadikan medan untuk umat Islam saling merapatkan silaturrahim dengan kepemimpinan Kerajaan Negeri. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, larangan tazkirah sempena bulan Ramadan sebagaimana di negeri-negeri tertentu tidak akan diamalkan di Pulau Pinang kerana Kerajaan Negeri komited memartabat keindahan Islam. 

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan semua pihak berwajib supaya terus menyemarakkan budaya ilmu di masjid dan surau masing-masing sungguhpun selepas berakhirnya Ramadan nanti. 

Tanding fotografi bangkit kesedaran hijau

TEH Yee Cheu (empat dari kiri) dan Thing Siew Shuen (tiga dari kiri) bersama-sama jawatankuasa penganjur lain mempromosikan Pertandingan Fotografi sempena Ekspo Hijau Pulau Pinang 2013 pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

PERTANDiNGAN fotografi bertemakan 'Saya Menyembuh Bumi' yang berakhir pada 30 Ogos depan dilancar baru-baru ini sempena Ekspo Hijau Pulau Pinang 2013.

Pengarah Penang Green Council (PGC) Strategies Sdn. Bhd., Teh Yee Cheu berkata, penganjuran saingan itu diharap dapat membangkitkan lagi kesedaran serta mendidik masyarakat mengenai pri penting memulihara alam sekitar.

"(Kita mahu) para peminat fotografi merakamkan isu-isu alam sekitar serta usaha hijau di seluruh Malaysia oleh rakyat demi alam sekitar melalui kanta jurugambar," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah di George Town.

Pengurus Besar PGC Strategies, Thing Siew Shuen turut hadir pada sidang media tersebut.

Menurut beliau, pertanding itu anjuran Penang Photographers Network Club (PGN) dengan tajaan Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Excel Photo Trading.

Tambah beliau, hadiah bernilai RM6,000, termasuk tiga set kamera jenama Nikon, aksesori kamera beserta wang tunai menanti pemenang.

Info lanjut, boleh diakses di laman PGN (www.pgn.cc) atau menerusi PGC - www.pgc.com.my / 04-2503321 / penanggreencouncil@gmail.com.

ALHAMDULILLAH... Kami sempat bertandang di Surau Kampung Alur Pisang, Kuala Besut menjelang masuk waktu Zuhur.

Surau itu menjadi Rumah Pas Pulau Pinang.

Saya sempat meramahi dua pemimpin Pas Kawasan Bayan Lepas. Mereka, Zailan Zainol dan 'Mat Siam'.

Ketua Pas Cawangan Bayan, Zolkifly Md Lazim dilaporkan sempat meramahi Fauzi Yusoff (Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Pas Kawasan Balik Pulau.

Sementara itu, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa pula dilihat mematuhi sukarelawan Pas Pulau Pinang memotong daging dan menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur.

Menarik juga kesimpulan Dr Mujahid semasa ditanya mengenai memang-kalah PRK itu.

"Populariti Che Long lebih mendahului 'Calon Putrajaya', tetapi, politik wang Umno mungkin boleh mengubah sokongan majoriti pengundi terhadap Pas," respons
AJK Malaysia merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Dr Mujahid mempertikai langkah Kerajaan Umno BN memberi tunai  RM200 elaun nelayan di sini yang didakwa mendekati amalan rasuah.

Dr Mujahid mempelawa saya dan enam lain bertandang di rumah Mertuanya sejurus selesai solat Zuhur berjamaah di sini.

Baru saya tahu, orang rumah Dr Mujahid adalah orang Kampung Dengir, Kuala Besut.

Pecah rahsia!

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus