21 April 2015

Ibrahim Abu Bakar, polis yang tak henti berbakti

IBRAHIM Abu Bakar menunjukkan ilustrasi Madrasah Abu Bakar yang disasarkan siap pada pertengahan tahun depan.

WAWANCARA | 22 tahun yang lalu, beliau berkongsi modal dengan kakaknya untuk membeli sebidang tanah di Kampung Tasek dekat Kubang Menerong dalam Kawasan Parlimen Kepala Batas, atas amanat ayahnya.

Tinggal lapan bulan lagi dalam perkhidmatan, Supt. Tuan Haji Ibrahim Abu Bakar yang juga Ketua Jabatan Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Negeri Pulau Pinang kini gigih membina Madrasah Abu Bakar, demi terus menabur bakti kepada masyarakat.

“Sebagai pegawai polis ini, kita banyak berdamping dengan masyarakat, bukanlah kerana saya akan menamatkan perkhidmatan dalam PDRM tidak lama lagi.

“Tujuh tahun dahulu, tanah ini dijadikan kebun dengan tanam durian, rambutan dan sebagainya, dan ada lah bina pondok-pondok kecil, sehinggalah saya berasa tempat ini lebih sesuailah untuk saya menghabiskan sisa-sisa umur saya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Apa yang saya sedang buat dengan sokongan kawan-kawan ini sebenarnya sudah menjadi suatu kepuasan,” jelas Ibrahim dalam wawancara bersama-sama fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB dekat tapak pemajuan di sini baru-baru ini.

IBRAHIM Abu Bakar (kanan) dalam wawancara bersama Zainulfaqar Yaacob (kiri) di kediamannya dekat Kubang Menerong di sini baru-baru ini.

Ibrahim merupakan generasi ketiga yang membesar dalam keluarga polis, dan mempunyai seorang isteri.

Kesemua tujuh orang cahaya matanya kini berjaya dalam dunia akademik masing-masing, sungguhpun menerima pendidikan awal daripada sekolah aliran agama.

Ibrahim sangat meminati rekacipta lanskap berasaskan pengkayuan, serta mempunyai kepakaran dalam bidang selam skuba.

Mengenai projek pemajuan madrasah ini, Ibrahim memberitahu, kecuali rumah beliau dan sebuah rumah anaknya, kira-kira tiga suku ekar akan diwakafkan untuk pembangunan sebuah surau, kelas-kelas tahfiz, pondok-pondok untuk penginapan pelajar, dewan makan dan sebuah dewan orang ramai.

“Kebetulan di Kubang Menerong ini ada tiga kariah, Taman Seri Menerong ada sebuah surau, Kampung Pokok Jenerih pun ada satu Surau Dato' Sulaiman, cuma di Kampung Tasek sahaja yang masih belum ada surau.

“Saya nak membina surau dua tingkat sahaja, supaya bahagian atas boleh dijadikan kelas tahfiz al-Quran dan di bawah sebagai dewan solat dan mengaji kitab.

“Dengan adanya sebuah madrasah di sini, maka, ada lah pengajian agama di Kampung Tasek ini, ada kelas tahfiz al-Quran untuk anak-anak kita, pembelajan akademik, manfaatnya akan melimpah ke masyarakat sekeliling kampung ini,” ujar Ibrahim yang juga anak jati Pulau Pinang.

Menurut Ibrahim, batu asas projek pembangunan Madrasah Abu Bakar ini dilangsungkan pada 19 Oktober 2014, dalam satu majlis di sini yang disertai lebih 200 hadirin daripada kalangan pegawai kerajaan serta komuniti setempat.

“Selepas pada itu, projek di sini nampak lebih berjalan lancar dan mula disebarkan apabila saya diberi peluang untuk memberi penerangan di Masjid Kubang Menerong.

“Pada hujung tahun lepas, kita mendapat kelulusan sebagai Pertubuhan Kebajikan Madrasah Abu Bakar di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan).

“Nama Madrasah Abu Bakar ini sempena ambil nama khalifah pertama kita, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, kebetulan nama al-marhum bapa saya pun Abu Bakar bin Hashim (bekas Ketua Polis Balai Butterwoth) dan beliau lah mencadangkan saya membeli tanah ini,” jelas Ibrahim lagi.


PENGALAMAN
Terlanjur berbicara, Ibrahim turut menceritakan mengenai pengalaman menjadi seorang anggota polis demi memelihara ketenteraman awam dan kedaulatan tanah air.

"Tak henti berbakti"
“10 tahun pertama itu, saya berkhidmat dalam pasukan polis hutan, semasa negara masih di bawah ancaman Parti Komunis Melaya (PKM).

“Ada banyak cabaran dan kisah-kisah yang boleh menjadi kenangan manis dan teladan, antaranya semasa berusia awal 20-an, saya telah menjadi platun komander memimpin 35 orang bertugas dalam sebulan (hingga) dua bulan di dalam hutan.

“Pentempuran pada 13 Oktober 1978 tepat pada jam 10.30 pagi, platun saya yang terdiri oleh 10 orang telah berjaya menumpaskan tiga pengganas komunis di Budu Estet, Kuala Lipis (Pahang), pertempuran Operasi Indera II ini saya masih ingat dan susah untuk lupa.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan saya hampir 40 tahun ini, saya pernah duduk dalam pelbagai jabatan, kecuali (Jabatan) Cawangan Khas,” ujar beliau.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, Ibrahim memberitahu bahawa beliau pernah menjadi jurulatih polis hutan, terlibat secara langsung dalam bidang pengurusan pentadbiran kepolisan serta hal ehwal menangani jenayah, hatta, pernah menjadi Ketua Pegawai Keselamatan kepada Sultan Pahang.


AKADEMIK
Walaupun dihambat pelbagai tanggungjawab dalam perkhidmatan, tahu-tidak tahu Ibrahim berjaya mengejar pengiktirafan akademik.

Beliau mempunyai Diploma Ilmu-Ilmu Pengajian Islam, Diploma Psikologi & Kaunseling, Diploma Sains Kepolisan

“Pada tahun 2008, saya dapat Sarjana Sains Sosial dalam Analisis Strategi & Keselamatan di UKM.

“Setakat ini, anak Melayu PDRM (yang ada diploma) dalam Sains Kepolisan, Ibrahim Abu Bakar itu adalah orang yang dapat CGPA 4.0 dan belum lagi ada Melayu yang lain (memecahkan rekodnya),” seloroh Ibrahim.

IBRAHIM Abu Bakar dalam nada seloroh melahirkan rasa bangga sebagai generasi ketiga yang hidup membesar dalam keluarga polis.

CABARAN
Dalam pada itu, Ibrahim mengaku bahawa PRK Permatang Pauh sekarang adalah suatu tanggungjawab yang mencabar.

“Cabaran pertama saya datang ke Pulau Pinang adalah menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) P51 Parlimen Bukit Gelugor, dan tak sampai setahun, saya menghadapi cabaran di PRK P44 Parlimen Permatang Pauh pula.

“Pilihan raya ini pun bukan senang untuk memastikan ketenteraman awam terus terpelihara, tetapi, saya yakin di bawah kepimpinan Ketua Polis Negeri (Datuk Abdul Rahim Hanafi) yang berpengalaman, kita boleh melakukan yang terbaik,” jelas Ibrahim lagi.

Beliau turut mengulas mengenai anasir pelampau Islamic State (IS) yang dikatakan turut menyerap masuk di tanah air ini.

“Keadaan keselamatan dan ketenteraman awam serta jenayah di negeri Pulau Pinang adalah tenang dan terkawal.

“Walaupun ada isu-isu keganasan, tetapi, tidak ada isu-isu yang menarik yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, khusnya di negeri Pulau Pinang,” jelas beliau lagi.


HARAPAN
Ibrahim berharap slogan PDRM bagi tahun 2015, iaitu “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” dapat direalisasikan di negeri ini sebaik mungkin.

“Walau apa pun, polislah yang bersama masyarakat dan masyarakat pun boleh melihat, berdamping dan membantu polis untuk memastikan ketenteraman awam di negeri ini terus dipelihara.

“Kerana, polis ada di mana-mana, di panggung wayang pun ada polis, di jalan raya pun ada polis, di kawasan-kawasan awam pun ada polis, gambarannya polis bersama masyarakat dan masyarakat pun mesti menganggap polis ini sebagai 'polis mereka'.

“Menjadi anggota polis ini memang tak pernat berbakti untuk masyarakat, jadi, saya harap Madrasah Abu Bakar inipun boleh menjadi tempat untuk saya sekeluarga berbakti kepada masyarakat,” jelas Ibrahim lagi.

IBRAHIM Abu Bakar (dua dari kiri) bersama-sama rakan melawat tapak pemajuan Madrasah Abu Bakar di sini baru-baru ini.

Ibrahim berkata, Lembaga Pengurusan Madrasah Abu Bakar dapat membuat pengambilan 15 hingga 20 orang murid pada bulan Mei tahun depan, selepas projek komuniti tersebut siap nanti.

Info lanjut, hubungi Ibrahim Abu Bakar di talian 0194653399, dan sumbangan cek atau tunai boleh dibuat pada nombor akaun Maybank 5574-4750-2774 atas penama Madrasah Abu Bakar.

Umat Islam dan penganut Kristian, inilah masanya rejam rejim GST!


"...Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa."
[Surah Al-Hajj: 40]

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus