IBRAHIM Abu Bakar menunjukkan ilustrasi Madrasah Abu Bakar yang disasarkan siap pada pertengahan tahun depan. |
WAWANCARA | 22 tahun yang lalu, beliau berkongsi modal dengan kakaknya untuk membeli sebidang tanah di Kampung Tasek dekat Kubang Menerong dalam Kawasan Parlimen Kepala Batas, atas amanat ayahnya.
Tinggal lapan bulan lagi dalam
perkhidmatan, Supt. Tuan Haji Ibrahim Abu Bakar yang juga Ketua
Jabatan Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Negeri Pulau Pinang
kini gigih membina Madrasah Abu Bakar, demi terus menabur bakti
kepada masyarakat.
“Sebagai pegawai polis ini, kita
banyak berdamping dengan masyarakat, bukanlah kerana saya akan
menamatkan perkhidmatan dalam PDRM tidak lama lagi.
“Tujuh tahun dahulu, tanah ini
dijadikan kebun dengan tanam durian, rambutan dan sebagainya, dan ada
lah bina pondok-pondok kecil, sehinggalah saya berasa tempat ini
lebih sesuailah untuk saya menghabiskan sisa-sisa umur saya untuk
terus berbakti kepada masyarakat.
“Apa yang saya sedang buat dengan
sokongan kawan-kawan ini sebenarnya sudah menjadi suatu kepuasan,”
jelas Ibrahim dalam wawancara bersama-sama fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB dekat
tapak pemajuan di sini baru-baru ini.
IBRAHIM Abu Bakar (kanan) dalam wawancara bersama Zainulfaqar Yaacob (kiri) di kediamannya dekat Kubang Menerong di sini baru-baru ini. |
Ibrahim merupakan generasi ketiga yang membesar dalam keluarga polis,
dan mempunyai seorang isteri.
Kesemua tujuh orang cahaya matanya kini berjaya dalam dunia akademik
masing-masing, sungguhpun menerima pendidikan awal daripada sekolah aliran
agama.
Ibrahim sangat meminati rekacipta lanskap berasaskan pengkayuan,
serta mempunyai kepakaran dalam bidang selam skuba.
Mengenai projek
pemajuan madrasah ini, Ibrahim memberitahu, kecuali rumah beliau dan
sebuah rumah anaknya, kira-kira tiga suku ekar akan diwakafkan untuk
pembangunan sebuah surau, kelas-kelas tahfiz, pondok-pondok untuk
penginapan pelajar, dewan makan dan sebuah dewan orang ramai.
“Kebetulan di Kubang Menerong ini ada tiga kariah, Taman Seri Menerong
ada sebuah surau, Kampung Pokok Jenerih pun ada satu Surau Dato'
Sulaiman, cuma di Kampung Tasek sahaja yang masih belum ada surau.
“Saya nak
membina surau dua tingkat sahaja, supaya bahagian atas boleh
dijadikan kelas tahfiz al-Quran dan di bawah sebagai dewan solat dan
mengaji kitab.
“Dengan adanya
sebuah madrasah di sini, maka, ada lah pengajian agama di Kampung
Tasek ini, ada kelas tahfiz al-Quran untuk anak-anak kita, pembelajan
akademik, manfaatnya akan melimpah ke masyarakat sekeliling kampung
ini,” ujar Ibrahim yang juga anak jati Pulau Pinang.
Menurut Ibrahim,
batu asas projek pembangunan Madrasah Abu Bakar ini dilangsungkan
pada 19 Oktober 2014, dalam satu majlis di sini yang disertai lebih
200 hadirin daripada kalangan pegawai kerajaan serta komuniti
setempat.
“Selepas
pada itu, projek di sini nampak lebih berjalan lancar dan mula
disebarkan apabila saya diberi peluang untuk memberi penerangan di
Masjid Kubang Menerong.
“Pada hujung
tahun lepas, kita mendapat kelulusan sebagai Pertubuhan Kebajikan
Madrasah Abu Bakar di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan).
“Nama Madrasah
Abu Bakar ini sempena ambil nama khalifah pertama kita, Khalifah Abu
Bakar As-Siddiq, kebetulan nama al-marhum bapa saya pun Abu Bakar bin
Hashim (bekas Ketua Polis Balai Butterwoth) dan beliau lah
mencadangkan saya membeli tanah ini,” jelas Ibrahim lagi.
PENGALAMAN
Terlanjur
berbicara, Ibrahim turut menceritakan mengenai pengalaman menjadi
seorang anggota polis demi memelihara ketenteraman awam dan
kedaulatan tanah air.
"Tak henti berbakti" |
“Ada banyak
cabaran dan kisah-kisah yang boleh menjadi kenangan manis dan
teladan, antaranya semasa berusia awal 20-an, saya telah menjadi
platun komander memimpin 35 orang bertugas dalam sebulan (hingga) dua
bulan di dalam hutan.
“Pentempuran
pada 13 Oktober 1978 tepat pada jam 10.30 pagi, platun saya yang
terdiri oleh 10 orang telah berjaya menumpaskan tiga pengganas
komunis di Budu Estet, Kuala Lipis (Pahang), pertempuran Operasi
Indera II ini saya masih ingat dan susah untuk lupa.
“Sepanjang
tempoh perkhidmatan saya hampir 40 tahun ini, saya pernah duduk dalam
pelbagai jabatan, kecuali (Jabatan) Cawangan Khas,” ujar beliau.
Sepanjang tempoh
perkhidmatan, Ibrahim memberitahu bahawa beliau pernah menjadi
jurulatih polis hutan, terlibat secara langsung dalam bidang
pengurusan pentadbiran kepolisan serta hal ehwal menangani jenayah,
hatta, pernah menjadi Ketua Pegawai Keselamatan kepada Sultan Pahang.
AKADEMIK
Walaupun dihambat
pelbagai tanggungjawab dalam perkhidmatan, tahu-tidak tahu Ibrahim
berjaya mengejar pengiktirafan akademik.
Beliau mempunyai
Diploma Ilmu-Ilmu Pengajian Islam, Diploma Psikologi &
Kaunseling, Diploma Sains Kepolisan
“Pada tahun
2008, saya dapat Sarjana Sains Sosial dalam Analisis Strategi &
Keselamatan di UKM.
“Setakat ini,
anak Melayu PDRM (yang ada diploma) dalam Sains Kepolisan, Ibrahim
Abu Bakar itu adalah orang yang dapat CGPA 4.0 dan belum lagi ada
Melayu yang lain (memecahkan rekodnya),” seloroh Ibrahim.
IBRAHIM Abu Bakar dalam nada seloroh melahirkan rasa bangga sebagai generasi ketiga yang hidup membesar dalam keluarga polis. |
CABARAN
Dalam pada itu,
Ibrahim mengaku bahawa PRK Permatang Pauh sekarang adalah suatu
tanggungjawab yang mencabar.
“Cabaran pertama
saya datang ke Pulau Pinang adalah menghadapi Pilihan Raya Kecil
(PRK) P51 Parlimen Bukit Gelugor, dan tak sampai setahun, saya
menghadapi cabaran di PRK P44 Parlimen Permatang Pauh pula.
“Pilihan raya
ini pun bukan senang untuk memastikan ketenteraman awam terus
terpelihara, tetapi, saya yakin di bawah kepimpinan Ketua Polis
Negeri (Datuk Abdul Rahim Hanafi) yang berpengalaman, kita boleh
melakukan yang terbaik,” jelas Ibrahim lagi.
Beliau turut mengulas mengenai anasir
pelampau Islamic State (IS)
yang dikatakan turut menyerap masuk di tanah air ini.
“Keadaan
keselamatan dan ketenteraman awam serta jenayah di negeri Pulau
Pinang adalah tenang dan terkawal.
“Walaupun ada
isu-isu keganasan, tetapi, tidak ada isu-isu yang menarik yang boleh
mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, khusnya di negeri Pulau
Pinang,” jelas beliau lagi.
HARAPAN
Ibrahim berharap slogan PDRM bagi tahun 2015, iaitu “Polis dan
Masyarakat Berpisah Tiada” dapat direalisasikan di negeri ini
sebaik mungkin.
“Walau apa pun, polislah yang bersama masyarakat dan masyarakat pun
boleh melihat, berdamping dan membantu polis untuk memastikan
ketenteraman awam di negeri ini terus dipelihara.
“Kerana, polis ada di mana-mana, di panggung wayang pun ada polis,
di jalan raya pun ada polis, di kawasan-kawasan awam pun ada polis,
gambarannya polis bersama masyarakat dan masyarakat pun mesti
menganggap polis ini sebagai 'polis mereka'.
“Menjadi anggota polis ini memang tak pernat berbakti untuk
masyarakat, jadi, saya harap Madrasah Abu Bakar inipun boleh menjadi
tempat untuk saya sekeluarga berbakti kepada masyarakat,” jelas
Ibrahim lagi.
IBRAHIM Abu Bakar (dua dari kiri) bersama-sama rakan melawat tapak pemajuan Madrasah Abu Bakar di sini baru-baru ini. |
Ibrahim berkata, Lembaga Pengurusan Madrasah Abu Bakar dapat membuat
pengambilan 15 hingga 20 orang murid pada bulan Mei tahun depan,
selepas projek komuniti tersebut siap nanti.
Info lanjut, hubungi Ibrahim Abu Bakar di talian 0194653399, dan
sumbangan cek atau tunai boleh dibuat pada nombor akaun Maybank
5574-4750-2774 atas penama Madrasah Abu Bakar.
No comments:
Post a Comment