30 April 2015

Wajib undi 'Kak Wan', kata Abg Mat Sabu


OLEH: MOHD SABRI SAID

PERMATANG PAUH, 30 April:  Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menegaskan, menjadi kewajipan rakyat Permatang Pauh memberi undi pada calon P44 Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya nama Pakatan Rakyat dijulang semula sepertimana di awal 2008.

Kemenangan di Permatang Pauh amat perlu kerana jasa penyandangnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah terbukti berjaya membawa nama Permatang Pauh ke era yang memberangsangkan.

"Rakyat wajib (mesti)  mengundi dan memenangkan calon dari Pakatan Rakyat di Permatang Pauh dan Rompin. Kemenangan tersebut akan memberi isyarat bahawa rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Dato ' Seri Najib Razak," tambahnya ketika menyampaikan pidato di pentas bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di tapak parkir Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Katanya, bukan sahaja Permatang Pauh mesti dimenangi Pakatan Rakyat bahkan juga di Rompin, Pahang melalui calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad.

Di sana Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang bertungkus lumus membantu calon PAS mengalahkan calon Barisan Nasional (BN)yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Dato' Hasan Ariffin.

Lagipun Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh berpunca dari kerakusan Kerajaan BN yang menimbulkan kompirasi bukannya kehendak Pakatan Rakyat.

"Rakyat kena persalahkan Kerajaan BN kerana sengaja mengadakan PRK, mengwujudkan GST, menaikan harga barangan dan petroleum.

"Sebagai rakyat yang prihatin marilah beramai-ramai menolak kenaikan yang menindas kita," jelasnya dalam program anjuran sekretariat Pakatan Rakyat Pulau Pinang.


Cemerlang akademik macam “Kak Wan”, kata Guan Eng

(Dari kiri, depan) TUAN Guru Abdul Mutalib Maarof, Maktar Shapee, Mohd. Salleh Man, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Dr. Afif Bahardin, Abdul Malik Abul Kassim, Norlela Ariffin dan Lim Hock Seng bergambar kenang-kenangan dengan para penerima Biasiswa Kecil Negeri di dewan utama Yayasan An-Nahdhoh dekat Penanti di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap murid-murid yang dipilih menerima Biasiswa Kecil Negeri (BKN) di negeri ini menjadikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai sumbu inspirasi mereka, dalam memburu kecemerlangan akademik di sekolah sampai ke universiti.

Menurut Guan Eng, Dr. Wan Azizah  semasa melanjutkan pelajaran di sebuah universiti terkemuka dunia di Dublin, Ireland pada awal era 1970-an dahulu merupakan anak Melayu pertama yang dianugerahkan pingat emas MacNoughton-Jones Gold Medal.

“Biasiswa ini tidak dapat 'membeli' kecemerlangan akademik, melainkan anda perlu berusaha bersungguh-sungguh  seperti 'Kak Wan' (atau nama sebenarnya) Datuk Seri Dr. Wan Azizah, hingga mendapat (pengiktirafan akademik berupa) pingat emas daripada sebuah universiti terkenal dunia di Dublin, Ireland.

“Ingatlah, sumbangan guru-guru dan ibu bapa, dan pastikan (bahawa) saya akan bertemu anda sekali lagi untuk menerima RM1,000, kerana berjaya dipilih masuk ke mana-mana universiti (awam) suatu hari nanti,” ujar Lim Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam di dewan utama Yayasan An-Nahdhoh di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Dato’ Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dan Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato' Maktar Shapee, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Tuan Guru Ustaz Abdul Mutalib Maarof (Pengasas Yayasan An-Nahdhoh) pada majlis rasmi yang dihadiri lebih 200 hadirin.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun 2015 meluluskan pemberian biasiswa kepada 1,591 murid terpilih, dengan keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM1,222,680.

Dari jumlah itu, 447 murid dipilih daripada 27 buah sekolah sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU), manakala, 183 murid lain dipilih daripada 17 sekolah dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula, seramai 397 murid dipilih daripada 29 sekolah, termasuk 175 murid daripada 14 sekolah sekitar Kawasan Parlimen Permatang Pauh.

“Kenaikan kali pertama yang dibuat pada tahun 2009 melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus, iaitu daripada RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah, dan RM360 kepada RM729 bagi pelajar menengah atas.

“Manakala, kali terakhir kadar Biasiswa Kecil Negeri dinaikkan adalah pada tahun 2013 yang melibatkan kenaikan sebanyak RM120, melibatkan kadar baru Biasiswa Kecil Negeri adalah RM600 bagi menengah rendah dan RM840 untuk menengah atas.

“Ini adalah jumlah yang paling tinggi yang tidak diberikan oleh mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia, melainkan (oleh Kerajaan Negeri) di Pulau Pinang,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, Guan Eng berkata pihaknya berharap pemberian Biasiswa Kecil Negeri dapat mengurangkan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak masing-masing, terutama pasca pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang membebankan sejak 1 April lalu.

JEAN Ang Chai Ching (kiri) bersama ibunya, Cham Hooi Yong.

Sementara itu, seorang pelajar dari Sungai Bakap dekat SPS, Jean Ang Chai Ching, 17, semasa ditemui kemudian melahirkan rasa gembira atas inisiatif Kerajaan Negeri menaikkan kadar Biasiswa Kecil Negeri.

“Saya sangat gembira kerana mendapat Biasiswa Kecil Negeri sejak di Tingkatan 3 hingga sekarang (Tingkatan 5).

“Kadar (biasiswa) naik sedikit, sangat baik kerana saya memang memerlukan biasiswa ini untuk membeli keperluan belajar seperti buku-buku,” ujar beliau, ditemani ibu, Cham Hooi Yong, 43.

M. Durdhashin (dua dari kiri) bersama-sama ibunya, N. Munishwary (paling kanan) dan dua adik beradiknya.

Nada yang sama turut diluahkan oleh murid Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Rawa, SPT, M. Durdhashin, 14.

“Ini, kali kedua saya dapat Biasiswa Kecil Negeri selepas tahun lepas (2014).

“Gembira kerana saya boleh membeli kelengkapan sekolah saya sendiri, dan dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu,” ujar Durdashin ditemani ibu, N. Muniswary, 40, serta dua adik-beradik lain di sini.

MOHD. Qayyum Shahidan (kiri) bersama-sama ibunya, Zarina Abd. Majid. 

Zarina Abd. Majid, 40-an, iaitu ibu kepada Mohd Qayyum Shahidan, 14, turut memuji Kerajaan Negeri kerana cakna dengan kebajikan pelajar-pelajar terpilih di negeri ini.

“Tahun lepas, anak saya (Mohd Wayyum) dapat pemberian biasiswa daripada Dr. Afif di Dewan Perda, dan kali ini daripada Ketua Menteri pula.

“Selalunya, saya menyimpan duit biasiswa ini, dan guna apabila benar-benar perlu untuk kegunaan belajar anak sahaja.

“Seronoklah kerana Kerajaan Negeri sara belajar anak, lagipun Pulau Pinang ini negeri yang maju, maka, elokkan Kerajaan Negeri fokus pendidikan anak-anak di Puau Pinang ini,” respons Zarina kepada wartawan selepas selesai majlis tersebut.

TYT saksi ZPP terima RM1.1 juta zakat Bank Rakyat

TUN Abdul Rahman Abbas (tengah) diiringi Hasan Malik (tiga dari kiri), Abdul Malik Abul Kassim (lima dari kiri), Mohd. Salleh Man (enam dari kiri) dan Azman Abdul Somat) merakamkan gambar selepas Majlis Penyerahan Cek Replika Bank Rakyat kepada ZPP di sini baru-baru ini. | Foto: Facebook Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Dato’ Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas baru-baru ini menyaksikan penyampaikan cek repleka RM1,111,036 zakat perniagaan Bank Rakyat bagi tahun 2014 kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP), di kediamannya Seri Mutiara di sini baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Sri Hasan Malik sendiri menyerahkan cek replika tersebut kepada wakil ZPP, iaitu Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) serta Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Kerajaan Negeri) turut hadir pada majlis ringkas tersebut.

Hadir sama, Pengarah Urusan ZPP, Azman Abdul Somat, Dato’ Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP), serta beberapa Ahli Lembaga Pengarah bagi ZPP.

Difahamkan, Bank Rakyat ditubuhkan pada 28 September 1954, dan kini merupakan bank koperasi terbesar di tanah air ini dengan pemilikan aset berakhir pada bulan Disember 2013 adalah sebanyak RM82.88 bilion.

Daripada espek kewangan pula, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.16 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 2014.

Exco cabar calon BN respons isu TPM tuduh Kerajaan P.Pinang abai kontraktor Melayu

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Calon Barisan Nasional bagi Perlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin dicabar menyatakan pendirian dalam tempoh 24 jam berhubung kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin yang menuduh Kerajaan Negeri menindas usahawan Pulau Pinang serta tidak menyediakan skim pinjaman untuk rakyat di negeri ini.

Exco Pertanian & Industri Asas tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyatakan cabaran terbuka itu pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

"Kalau beliau (Suhaimi) seorang yang baik atau jujur, maklumkan kepada kita sama ada syarikat kontraktor beliau boleh cari makan atau tidak di Pulau Pinang.

"Saya minta beliau menyatakan pendirian dalam tempoh 24 jam, saya cabar beliau respons," tegas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, selepas Majlis Peluncuran Klip Video Penerangan Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, petang tadi.

Justeru, Dr. Afif mendakwa pembohonan Muhyiddin itu kemungkinan disebabkan Barisan Nasional tidak mempunyai "isu mampu menang" dalam mendepani amarah pengundi Parlimen Permatang Pauh terhadap isu Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang membebankan serta beberapa itu ketidakadilan membabitkan Kerajaan Pusat.

"Apabila Barisan Nasional tiada 'isu mampu menang', maka dituduh Kerajaan Negeri sebegini serta serang peribadi calon Pakatan Rakyat (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) di Permatang Pauh ini," tegas Dr. Afif lagi.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) serta barisan Exco Kerajaan Negeri yang lain turut menyertai sidang media tersebut.

Sebelum itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim pada sidang media sama turut mendedahkan rekod data Kerajaan Negeri mengenai rumusan bilangan perolehan kontraktor Gred G1 atau dulu dikenali sebagai Kelas F, khusus untuk Bumiputera dalam tempoh tahun 2009 hingga tahun lepas.

Katanya, jumlah harga penawaran perolehan bagi kontraktor Gred G1 pada tahun 2009 sebanyak RM11,650,087.75, dan saban tahun meningkat pada RM38,459,954.51 (2010), RM67,936,787.33 (2011), RM72,800,090.78 (2012), RM88,246,615.30 (2013), RM91,441,621.16 (2014).

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang telus dan kita buat (melaksanakan) tender terbuka untuk semua Kontraktor Kelas F (Gred G1), yang mereka ini semuanya Bumiputera," tegas Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung.

Terdahulu, akhbar bahasa Cina, China Press pada 29 April lepas antara lain melaporkan Muhyiddin menuduh kebajikan usahawan Melayu diabaikan oleh Kerajaan Negeri.

Manakala, akhbar Sin Chew Daily pula pada hari yang sama antara lain melaporkan Muhyiddin mempertikai Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya langsung tidak menyediakan apa jua skim pinjaman untuk rakyart di negeri ini.

"Di Pulau Pinang, kita ada pinjaman Mikrokredit PTSR (Projek Titian Saksama Rakyat), dan terbaru adalah Tabung Usahawan Tani Muda di bawah (kendalian) Dr. Afif," respons Guan Eng pada akhir sidang media tersebut.


TYT cadang bina bangunan DUN baru di Jelutong

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNMesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-13 berjalan lancar dengan istiadat pembukaan berlangsung di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, pagi ini.

Istiadat bermula pada 9.30 pagi dengan Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Dato' Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas berkenan memeriksa kawalan kehormat Pasukan Gerakan Am (PGA).

Di khemah utama, kelihatan Yang di-Pertua Dewan DUN Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang dan isteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (Ketua Menteri) dan isteri, Dato' Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) dan isteri, Prof P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan isteri, serta barisan Exco Kerajan Negeri yang lain.

Turut serta Menteri Besar Selangor, Y.A.B. Mohd. Azmin Ali, dengan diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus.

Abdul Rahman dalam ucapannya di dewan persidangan mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah bangunan DUN yang baru di bekas tapak pelupusan sampah dekat Parlimen Jelutong, demi memenuhi keperluan masa depan.

Menurut beliau, cadangan tersebut adalah wajar memandangkan dewan yang mula dibuka pada tahun 1959 tersebut direkabentuk untuk menampung keperluan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang kini bertambah menjadi 40 orang.

“Ruang (DUN Pulau Pinang) yang sedia ada adalah tidak lagi mencukupi serta sesuai untuk menampung pertambahan jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan.

“Cadangan pembinaan di tapak (pelupusan sampah Jelutong) tersebut oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja menjadi Dewan Undangan Negeri berada di satu lokasi yang strategik di antara Pulau dan Seberang, tetapi, juga membuktikan kesungguhan usaha Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan tapak tersebut,” jelas Abdul Rahman dalam ucapannya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman turut memuji komitmen Kerajaan Negeri dalam membebaskan Pulau Pinang daripada gejala rasuah serta pembaziran dan penyelewengan kewangan.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana hasil daripada urus tadbir Cekap, Akauntabitli dan Telus (CAT) ini, Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008,” jelas beliau Abdul Rahman dalam ucapannya.

Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 telah memperoleh lebihan kewangan (surplas) RM453 juta dan membelanjakan sebanyak RM287 juta untuk pelbagai program bantuan sosial kepada rakyat Pulau Pinang terpilih.

Mereka, antaranya, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, surirumah, pelajar sekolah rendah dan menengah, bayi yang baru dilahirkan, waris warga emas, waris ibu tunggal dan waris OKU, semua mahasiswa dan mahasiswi universiti awam tempatan, nelayan, pemandu teksi, penarik beca serta bantuan kepada golongan miskin agar pendapatan isi keluarga secara bulanan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara sebanyak RM790 sebulan.

Persidangan dijadualkan bermula pada 11 hingga 15 Mei ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus