30 April 2015

TYT cadang bina bangunan DUN baru di Jelutong

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNMesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-13 berjalan lancar dengan istiadat pembukaan berlangsung di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, pagi ini.

Istiadat bermula pada 9.30 pagi dengan Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Dato' Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas berkenan memeriksa kawalan kehormat Pasukan Gerakan Am (PGA).

Di khemah utama, kelihatan Yang di-Pertua Dewan DUN Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang dan isteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (Ketua Menteri) dan isteri, Dato' Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) dan isteri, Prof P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan isteri, serta barisan Exco Kerajan Negeri yang lain.

Turut serta Menteri Besar Selangor, Y.A.B. Mohd. Azmin Ali, dengan diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus.

Abdul Rahman dalam ucapannya di dewan persidangan mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah bangunan DUN yang baru di bekas tapak pelupusan sampah dekat Parlimen Jelutong, demi memenuhi keperluan masa depan.

Menurut beliau, cadangan tersebut adalah wajar memandangkan dewan yang mula dibuka pada tahun 1959 tersebut direkabentuk untuk menampung keperluan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang kini bertambah menjadi 40 orang.

“Ruang (DUN Pulau Pinang) yang sedia ada adalah tidak lagi mencukupi serta sesuai untuk menampung pertambahan jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan.

“Cadangan pembinaan di tapak (pelupusan sampah Jelutong) tersebut oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja menjadi Dewan Undangan Negeri berada di satu lokasi yang strategik di antara Pulau dan Seberang, tetapi, juga membuktikan kesungguhan usaha Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan tapak tersebut,” jelas Abdul Rahman dalam ucapannya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman turut memuji komitmen Kerajaan Negeri dalam membebaskan Pulau Pinang daripada gejala rasuah serta pembaziran dan penyelewengan kewangan.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana hasil daripada urus tadbir Cekap, Akauntabitli dan Telus (CAT) ini, Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008,” jelas beliau Abdul Rahman dalam ucapannya.

Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 telah memperoleh lebihan kewangan (surplas) RM453 juta dan membelanjakan sebanyak RM287 juta untuk pelbagai program bantuan sosial kepada rakyat Pulau Pinang terpilih.

Mereka, antaranya, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, surirumah, pelajar sekolah rendah dan menengah, bayi yang baru dilahirkan, waris warga emas, waris ibu tunggal dan waris OKU, semua mahasiswa dan mahasiswi universiti awam tempatan, nelayan, pemandu teksi, penarik beca serta bantuan kepada golongan miskin agar pendapatan isi keluarga secara bulanan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara sebanyak RM790 sebulan.

Persidangan dijadualkan bermula pada 11 hingga 15 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus