30 April 2015

Cemerlang akademik macam “Kak Wan”, kata Guan Eng

(Dari kiri, depan) TUAN Guru Abdul Mutalib Maarof, Maktar Shapee, Mohd. Salleh Man, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Dr. Afif Bahardin, Abdul Malik Abul Kassim, Norlela Ariffin dan Lim Hock Seng bergambar kenang-kenangan dengan para penerima Biasiswa Kecil Negeri di dewan utama Yayasan An-Nahdhoh dekat Penanti di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap murid-murid yang dipilih menerima Biasiswa Kecil Negeri (BKN) di negeri ini menjadikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai sumbu inspirasi mereka, dalam memburu kecemerlangan akademik di sekolah sampai ke universiti.

Menurut Guan Eng, Dr. Wan Azizah  semasa melanjutkan pelajaran di sebuah universiti terkemuka dunia di Dublin, Ireland pada awal era 1970-an dahulu merupakan anak Melayu pertama yang dianugerahkan pingat emas MacNoughton-Jones Gold Medal.

“Biasiswa ini tidak dapat 'membeli' kecemerlangan akademik, melainkan anda perlu berusaha bersungguh-sungguh  seperti 'Kak Wan' (atau nama sebenarnya) Datuk Seri Dr. Wan Azizah, hingga mendapat (pengiktirafan akademik berupa) pingat emas daripada sebuah universiti terkenal dunia di Dublin, Ireland.

“Ingatlah, sumbangan guru-guru dan ibu bapa, dan pastikan (bahawa) saya akan bertemu anda sekali lagi untuk menerima RM1,000, kerana berjaya dipilih masuk ke mana-mana universiti (awam) suatu hari nanti,” ujar Lim Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam di dewan utama Yayasan An-Nahdhoh di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Dato’ Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dan Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato' Maktar Shapee, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Tuan Guru Ustaz Abdul Mutalib Maarof (Pengasas Yayasan An-Nahdhoh) pada majlis rasmi yang dihadiri lebih 200 hadirin.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun 2015 meluluskan pemberian biasiswa kepada 1,591 murid terpilih, dengan keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM1,222,680.

Dari jumlah itu, 447 murid dipilih daripada 27 buah sekolah sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU), manakala, 183 murid lain dipilih daripada 17 sekolah dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula, seramai 397 murid dipilih daripada 29 sekolah, termasuk 175 murid daripada 14 sekolah sekitar Kawasan Parlimen Permatang Pauh.

“Kenaikan kali pertama yang dibuat pada tahun 2009 melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus, iaitu daripada RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah, dan RM360 kepada RM729 bagi pelajar menengah atas.

“Manakala, kali terakhir kadar Biasiswa Kecil Negeri dinaikkan adalah pada tahun 2013 yang melibatkan kenaikan sebanyak RM120, melibatkan kadar baru Biasiswa Kecil Negeri adalah RM600 bagi menengah rendah dan RM840 untuk menengah atas.

“Ini adalah jumlah yang paling tinggi yang tidak diberikan oleh mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia, melainkan (oleh Kerajaan Negeri) di Pulau Pinang,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, Guan Eng berkata pihaknya berharap pemberian Biasiswa Kecil Negeri dapat mengurangkan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak masing-masing, terutama pasca pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang membebankan sejak 1 April lalu.

JEAN Ang Chai Ching (kiri) bersama ibunya, Cham Hooi Yong.

Sementara itu, seorang pelajar dari Sungai Bakap dekat SPS, Jean Ang Chai Ching, 17, semasa ditemui kemudian melahirkan rasa gembira atas inisiatif Kerajaan Negeri menaikkan kadar Biasiswa Kecil Negeri.

“Saya sangat gembira kerana mendapat Biasiswa Kecil Negeri sejak di Tingkatan 3 hingga sekarang (Tingkatan 5).

“Kadar (biasiswa) naik sedikit, sangat baik kerana saya memang memerlukan biasiswa ini untuk membeli keperluan belajar seperti buku-buku,” ujar beliau, ditemani ibu, Cham Hooi Yong, 43.

M. Durdhashin (dua dari kiri) bersama-sama ibunya, N. Munishwary (paling kanan) dan dua adik beradiknya.

Nada yang sama turut diluahkan oleh murid Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Rawa, SPT, M. Durdhashin, 14.

“Ini, kali kedua saya dapat Biasiswa Kecil Negeri selepas tahun lepas (2014).

“Gembira kerana saya boleh membeli kelengkapan sekolah saya sendiri, dan dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu,” ujar Durdashin ditemani ibu, N. Muniswary, 40, serta dua adik-beradik lain di sini.

MOHD. Qayyum Shahidan (kiri) bersama-sama ibunya, Zarina Abd. Majid. 

Zarina Abd. Majid, 40-an, iaitu ibu kepada Mohd Qayyum Shahidan, 14, turut memuji Kerajaan Negeri kerana cakna dengan kebajikan pelajar-pelajar terpilih di negeri ini.

“Tahun lepas, anak saya (Mohd Wayyum) dapat pemberian biasiswa daripada Dr. Afif di Dewan Perda, dan kali ini daripada Ketua Menteri pula.

“Selalunya, saya menyimpan duit biasiswa ini, dan guna apabila benar-benar perlu untuk kegunaan belajar anak sahaja.

“Seronoklah kerana Kerajaan Negeri sara belajar anak, lagipun Pulau Pinang ini negeri yang maju, maka, elokkan Kerajaan Negeri fokus pendidikan anak-anak di Puau Pinang ini,” respons Zarina kepada wartawan selepas selesai majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus