25 September 2016

Bagaimana Krisis Lambakan Produktiviti Terjadi?



#DEKPOS  | Sehingga bulan Jun 2014, Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPEC) Negeri merekodkan seramai 50,718 pemohon dalam 'senarai menunggu' untuk membeli rumah mampu milik pelbagai kategori di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pula baru-baru ini mengumumkan, sehingga bulan Februari 2023 sebanyak 26,255 unit rumah mampu milik akan dibina meliputi kelima-lima daerah di negeri ini.

Gambarannya, jumlah unit rumah yang ditawarkan adalah melebihi jumlah permintaan rakyat.

Jika inilah rekod pemajuan hartanah di Pulau Pinang kelak, bagaimana boleh terjadinya krisis lambakan produktiviti ini?

Seperti yang didedah sebelum ini, kadar pemohon pinjaman perumahan yang ditolak oleh pihak bank kini melebihi 60 peratus.

Jumlah transaksi jual beli rumah pangsapuri bagi tahun 2014 menurun 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dan terus menurun 16 peratus pada tahun 2015.

Institut Ejen-Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Negeri Pulau Pinang mendedahkan, jumlah transaksi jual beli kondominium untuk Q1 2016 sebanyak 537 unit sahaja berbanding tempoh sama tahun lepas yang direkodkan sejumlah 655 unit, dengan angka penurunan sebanyak 22 peratus.

Langkah Bank Negara Malaysia (BMN) mengetatkan syarat kelayakan pinjaman perumahan bank-bank mengakibatkan rakyat tidak mampu membeli rumah idaman pertama mereka.

Kesan berantai adalah jumlah rumah yang tidak terjual akan bertambah, hatta melebihi jumlah penduduk yang masih belum memiliki rumah sendiri.

Contohnya, jumlah rumah yang tidak terjual mencecah 15,000 unit, manakala jumlah rakyat berdaftar yang tidak mempunyai rumah pula kira-kira 10,000 orang sahaja.

Inilah salah satu contoh bagaimana situasi yang dipanggil krisis lambakan produktiviti (crisis of 'overproduction')  boleh terjadi di tanah air ini.

Apakah solusi ahli ekonomi, jika krisis sebegini kian melanda industri hartanah di negeri Pulau Pinang juga?

Padah GST, hasil Q2 2016 susut 30 peratus

KETUA Menteri.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada suku kedua (Q2) tahun 2016, mulai bulan Mac hingga Jun lalu menyaksikan angka penurunan sebanyak 30 peratus berbanding tempoh sama Q1.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata ekonomi negara dan sektor perniagaan akan mengalami kesan berantai yang lebih parah jika Kerajaan Persekutuan masih berdegil untuk melaksanakan cukai baharu itu.

"Hasil kutipan GST jatuh kira-kira 30 peratus (pada Q2 berbanding Q1 2016) walaupun laporan tertentu yang dibuat sendiri oleh Kerajaan Persekutuan kononnya prestasi ekonomi negara bertambah kukuh dengan peningkatan sebanyak 3 peratus.

"Jika (hasil kutipan) GST adalah penanda aras untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat dan ekonomi sesebuah negara, sepatutnya menunjukkan peningkatan dan bukan penurunan (sehingga 30 peratus)," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada pemberita pagi tadi.

Sebelum itu, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merasmikan Majlis Pembukaan "Sudut Sains @PPAPP" di Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang di sini.

Timbalan Ketua Menteri II Prof. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi, Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PBAPP) Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut sertai majlis tersebut.

Guan Eng memberitahu, hasil kutipan GST dalam Q1 2016 mulai bulan Januari hingga Mac keseluruhannya direkodkan sebanyak RM10.2 bilion.

Katanya lagi, hasil GST pada Q2 tahun ini direkodkan berkurangan menjadi RM7.1 bilion sahaja.

"Ini menunjukkan rakyat semakin sukar untuk menanggung bebanan (hidup akibat GST).

"Sektor perniagaan kian menderita manakala golongan 'makan gaji' semakin bermasalah dalam mencari rezeki.

"Kami (Kerajaan Negeri) telah berulang kali menegaskan bahawa GST akan memberi kesan negatif kepada negara, tetapi kata-kata kita jatuh ke telinga pekak (para pemimpin) kerajaan persekutuan," jelas Guan Eng sambil menggesa GST ditangguhkan serta-merta.

Selain itu, Guan Eng turut menasihatkan Kerajaan Persekutuan supaya mengamalkan tadbir urus kewangan secara berintegriti dan berjimat-cermat.

Ini katanya demi memastikan jumlah hutang terkumpul Kerajaan Pusat tidak bertambah dengan mendadak ketika negara menghadapi situasi ekonomi global yang kian mencabar, kini.

Kutipan bersih GST bagi tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM27.01 bilion.

Perpustakaan awam sedia 'Sudut Robotik' pertama negara di P.Pinang

KETUA Menteri serta para pemimpin Kerajaan Negeri melihat model robot pada majlis pembukaan 'Sudut Sains @PPAPP" di Perpustakaan Awam Pulau Pinang dekat Seberang Jaya, pada 25 September 2016 lalu.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Pengunjung Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang kini berpeluang menimba ilmu dengan berinteraksi dengan peralatan dan perkakas robotik di Sudut Sains di sini.

Menurut Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, pembukaan "Sudut Sains @PPAPP" tersebut sekaligus menjadikan perpustakaan awam negeri ini adalah yang pertama negara menyediakan menyediakan kemudahan pengajian teknologi robotik kepada masyarakat.

"Ia semestinya menjadi satu kebanggaan kepada kita di Pulau Pinang," jelas Guan Eng pada Majlis Perasmian Science Corner @ PPAPP di sini pada pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II Prof. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi, Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi), Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PBAPP) Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Guan Eng memberitahu Kerajaan Negeri hari ini sedar mengenai kehadiran revolusi perindustrian keempat yang berkisar mengenai Analisis Data Besar & Data Terbuka (BDA), Pengkomputeran Awam (Cloud Computing) dan Internet Untuk Segala-Galanya (IOT).

Mengulas lanjut, katanya, revolusi perindustrian pertama mengenai kejenteraan, disusuli revolusi kedua mengenai kuasa elektrik dan produktiviti, manakala, revolusi ketiga mengenai internet dan komputer telahpun ditempuhi dunia sebelum ini.

"Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa melibatkan diri dalam Revolusi Perindustrian Keempat sekiranya kita tidak mahu ketinggalan dalam industri 'kilang pintar', yang menjadi teras teknologi masa depan," jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Pada perkembangan lain, Guan Eng memberitahu pembukaan Perpustakaan Digital Pulau Pinang  berhampiran lokasi bersejarah Penang Free School secara percuma tidak lama lagi, juga merupakan yang pertama di tanah air ini kelak.

Jelas beliau, perpustakaan digital pertama negara ini menyediakan lebih 3,000 e-buku atas talian secara bebas, diharap menjadi jendela kemajuan masa depan bagi generasi muda di negeri ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus