JAGDEEP Singh Deo |
PEMOHON yang gagal ditawarkan pinjaman perumahan daripada bank-bank berwajib disebabkan
tiada penyata gaji atau bekerja sendiri disyor mendapatkan jaminan pinjaman
melalui skim Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo
berkata, masih ramai tidak tahu mengenai skim tersebut, hatt,a mengakibatkan
mereka gagal mendapatkan pinjaman bank sungguhpun layak.
“Skim ini terbuka kepada pembelian rumah pertama untuk didiami meliputi
pangsapuri kos rendah, sederhana rendah, subsale ataupun lelongan.
“Saya percaya bahawa ini merupakan satu usaha Kerajaan Pusat terhadap 'reconciliation'
(pendamaian) sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun
Razak) sendiri," ujar beliau di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, Pulau Pinang merupakan negeri yang menerima pinjaman kedua
terbesar melalui skip SJKP sejak Januari 2008 hingga kini, iaitu berjumlah
RM21.7 juta untuk 467 permohonan.
Menerusi skim SJKP, beliau berkata, pemohon layak mendapat jaminan pinjaman
perumahan 100 peratus atau sehingga RM100,000 dengan syarat memenuhi kriteria
yang digariskan oleh Kementerian Kewangan.
Beliau berkata, Kritaria yang dimaksudkan antaranya, warganegara Malaysia,
berusia 18 tahun ke atas dan bekerja sendiri atau berpendapatan tetap purata
minimum RM1,000 sebulan.
Tambah beliau, pemohon turut perlu mendapatkan surat pengesahan pihak
ketiga mengenai sumber kewangan dan jumlah pendapatan mereka untuk diproses
oleh SJKP.
Selain itu, katanya lagi, pemohon mestilah bermastautin dalam lingkungan
cawangan bank tempat permohonan dibuat.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru memberikan reaksi
positif mengenaistatus kesemua permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia
(TP1M) oleh warga Pulau Pinang bersama-sama Program Bantuan Perumahan Pulau
Pinang (HAPPY!) yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri.
Berikut adalah bank-bank yang menyertai skim SJKP:
- Bank Simpanan Nasional (BSN)
- Bank Islam (M) Bhd.
- Affin Bank Bhd.
- Affin Islamic Bank
- Malayan Banking Bhd.
- Maybank Islamic Bank
- AmBank Bhd.
- AmIslamic Bank Bhd.
- Alliance Bank Bhd.
- Alliance Islamic Bank Bhd.
- Hong Leong Bank Bhd.
- Hong Leong Islamic Bank Bhd.
- Bank Kerjasama Rakyat