Skip to main content

Exco syor pinjaman perumahan melalui SJKP

JAGDEEP Singh Deo
PEMOHON yang gagal ditawarkan pinjaman perumahan daripada bank-bank berwajib disebabkan tiada penyata gaji atau bekerja sendiri disyor mendapatkan jaminan pinjaman melalui skim Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, masih ramai tidak tahu mengenai skim tersebut, hatt,a mengakibatkan mereka gagal mendapatkan pinjaman bank sungguhpun layak.

“Skim ini terbuka kepada pembelian rumah pertama untuk didiami meliputi pangsapuri kos rendah, sederhana rendah, subsale ataupun lelongan.

“Saya percaya bahawa ini merupakan satu usaha Kerajaan Pusat terhadap 'reconciliation' (pendamaian) sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri," ujar beliau di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Pulau Pinang merupakan negeri yang menerima pinjaman kedua terbesar melalui skip SJKP sejak Januari 2008 hingga kini, iaitu berjumlah RM21.7 juta untuk 467 permohonan.

Menerusi skim SJKP, beliau berkata, pemohon layak mendapat jaminan pinjaman perumahan 100 peratus atau sehingga RM100,000 dengan syarat memenuhi kriteria yang digariskan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, Kritaria yang dimaksudkan antaranya, warganegara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas dan bekerja sendiri atau berpendapatan tetap purata minimum RM1,000 sebulan.

Tambah beliau, pemohon turut perlu mendapatkan surat pengesahan pihak ketiga mengenai sumber kewangan dan jumlah pendapatan mereka untuk diproses oleh SJKP.

Selain itu, katanya lagi, pemohon mestilah bermastautin dalam lingkungan cawangan bank tempat permohonan dibuat.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata,  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru memberikan reaksi positif mengenaistatus kesemua permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) oleh warga Pulau Pinang bersama-sama Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY!) yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri.

Berikut adalah bank-bank yang menyertai skim SJKP:
  1. Bank Simpanan Nasional (BSN)
  2. Bank Islam (M) Bhd.
  3. Affin Bank Bhd.
  4. Affin Islamic Bank
  5. Malayan Banking Bhd.
  6. Maybank Islamic Bank
  7. AmBank Bhd.
  8. AmIslamic Bank Bhd.
  9. Alliance Bank Bhd.
  10. Alliance Islamic Bank Bhd.
  11. Hong Leong Bank Bhd.
  12. Hong Leong Islamic Bank Bhd.
  13. Bank Kerjasama Rakyat