Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Calon Barisan Nasional bagi Perlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin dicabar menyatakan pendirian dalam tempoh 24 jam berhubung kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin yang menuduh Kerajaan Negeri menindas usahawan Pulau Pinang serta tidak menyediakan skim pinjaman untuk rakyat di negeri ini.
Exco Pertanian & Industri Asas tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyatakan cabaran terbuka itu pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.
"Kalau beliau (Suhaimi) seorang yang baik atau jujur, maklumkan kepada kita sama ada syarikat kontraktor beliau boleh cari makan atau tidak di Pulau Pinang.
"Saya minta beliau menyatakan pendirian dalam tempoh 24 jam, saya cabar beliau respons," tegas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, selepas Majlis Peluncuran Klip Video Penerangan Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, petang tadi.
Justeru, Dr. Afif mendakwa pembohonan Muhyiddin itu kemungkinan disebabkan Barisan Nasional tidak mempunyai "isu mampu menang" dalam mendepani amarah pengundi Parlimen Permatang Pauh terhadap isu Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang membebankan serta beberapa itu ketidakadilan membabitkan Kerajaan Pusat.
"Apabila Barisan Nasional tiada 'isu mampu menang', maka dituduh Kerajaan Negeri sebegini serta serang peribadi calon Pakatan Rakyat (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) di Permatang Pauh ini," tegas Dr. Afif lagi.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) serta barisan Exco Kerajaan Negeri yang lain turut menyertai sidang media tersebut.
Sebelum itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim pada sidang media sama turut mendedahkan rekod data Kerajaan Negeri mengenai rumusan bilangan perolehan kontraktor Gred G1 atau dulu dikenali sebagai Kelas F, khusus untuk Bumiputera dalam tempoh tahun 2009 hingga tahun lepas.
Katanya, jumlah harga penawaran perolehan bagi kontraktor Gred G1 pada tahun 2009 sebanyak RM11,650,087.75, dan saban tahun meningkat pada RM38,459,954.51 (2010), RM67,936,787.33 (2011), RM72,800,090.78 (2012), RM88,246,615.30 (2013), RM91,441,621.16 (2014).
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang telus dan kita buat (melaksanakan) tender terbuka untuk semua Kontraktor Kelas F (Gred G1), yang mereka ini semuanya Bumiputera," tegas Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung.
Terdahulu, akhbar bahasa Cina, China Press pada 29 April lepas antara lain melaporkan Muhyiddin menuduh kebajikan usahawan Melayu diabaikan oleh Kerajaan Negeri.
Manakala, akhbar Sin Chew Daily pula pada hari yang sama antara lain melaporkan Muhyiddin mempertikai Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya langsung tidak menyediakan apa jua skim pinjaman untuk rakyart di negeri ini.
"Di Pulau Pinang, kita ada pinjaman Mikrokredit PTSR (Projek Titian Saksama Rakyat), dan terbaru adalah Tabung Usahawan Tani Muda di bawah (kendalian) Dr. Afif," respons Guan Eng pada akhir sidang media tersebut.
No comments:
Post a Comment