30 June 2014

Cabaran masakini tuntut ijtihad di lapangan, kata Mufti P.Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor

SOHIBUS Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (kanan) diwawancara oleh fotojurnalis Zainulfaqar Yaacob (kiri) dekat Pejabat Mufti dekat Tingkat 48 Komtar, George Town baru-baru ini. | Foto: Mark James @Buletin Mutiara 

ISU pesakit cerebral palsy Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai terabai sendirian di rumahnya dekat Seremban baru-baru ini telah menerima reaksi cukup sentimental daripada banyak pihak.

Institusi Islam turut dipersalahkan kerana bantuan zakat dikatakan tidak sampai kepada orang kurang upaya (OKU) seumpama beliau, implisitnya, Islam sebagai “rahmat seluruh alam” dipersoal oleh segelintir pihak hingga kini.

Di sebalik semua ini, adakah institusi agama sudah hilang deria kemanusiaan, ataupun, ada sebab lain yang masih belum diperjelaskan?

Meluaskan (tawasu') maksud asnaf zakat kepada OKU seumpama Muhammad Firdaus merupakan antara syor yang disebut-sebut di laman sosial facebook serta blog.

Apa agaknya isyhad hukm atau pendapat Mufti baru bagi Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, 70, semasa ditemubual oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB nanti?

“Fatwa adalah pendirian yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa serta diwartakan, yang saya nak sebut ini adalah isyhad hukm, iaitu pendapat peribadi yang tidak sampai (status) fatwa.

“Memang ada kaedah fiqh seperti ‘Perubahan Hukum Disebabkan Perubahan Masa, Tempat dan Kondisi’ (taghaiyyirul ahkam bi taghaiyyirul azminah wal amkinah wal ahwal).

"Kerana itu, saya sendiri lihat ijtihad diperlukan kerana isu OKU ini merupakan salah satu contoh bahawa cabaran umat Islam ini sendiri senantiasa berubah-ubah.

"(Disebabkan itu,) keluarga OKU itu layak untuk dipertimbang menerima zakat di bawah asnaf Al-Fuqara' (fakir) dan Al-Masakin (miskin).

“OKU seperti Muhammad Firdaus jika ada di negeri ini, layak untuk dipertimbang menerima zakat di bawah asnaf Fi SabiliLlah atas sebab keperluannya berusaha untuk belajar hidup, walapun usaha meninggikan agama itu untuk dirinya saja.

"Sebahagian ulama memperluaskan konsep Fi SabiliLlah bagi merangkumi setiap usaha kebajikan yang boleh mendekatkan seseorang kepada Allah SWT. 

“Cabaran masakini memang banyak, sebab itu, ada tuntutan ijtihad di lapangan (Al-Ijtihad Al-Tanzili)," ujar Wan Salim di pejabatnya dekat Komtar, baru-baru ini.

Hampir 40 tahun, Wan Salim bergelar ahli akademik, mendidik mahasiswa khusus dalam disiplin ilmu pengajian Islam.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Yayasan Pengajian Islam Nilam Puri (kini dikenali sebagai kampus asasi Islam Universiti Malaya), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universitas Muhammadiah (dekat Malang, Indonesia).

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat di Chubu University, Nagoya, Jepun.

Difahamkan, Wan Salim adalah pemegang ijazah kedoktoran falsafah (Ph.D) dari University of Edinburgh, United Kingdom pada 1988, dengan tesisnya mengenai sumbangan pembaharu ijtihad serta pengamalannya di abad ke-20.

Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau turut mempunyai diploma pendidikan dari University Ayn Al-Shams, Kaherah, Mesir.

Pengalaman serta latar belakang pendidikan sudah pasti melayakkan Wan Salim dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang (2004 – Jun 2014).

Pada 7 Jun lepas, Wan Salim dilantik menjadi Mufti Negeri serta mempengerusikan Jawatankuasa Fatwa Negeri, bagi menggantikan Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad yang berkhidmat selama 16 tahun sejak 2 September 1997 di negeri ini.

Ijtihad Pentadbiran
Menurut Wan Salim, Zakat Pulau Pinang (ZPP) merupakan antara contoh yang baik prepenting ijtihad pada institusi pengurusan hal ehwal agama Islam.

“MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) sebagai pemegang amanah melakukan ijtihad dengan menubuhkan ZPP (beroperasi secara syarikat profesional) untuk urus dan agih zakat kepada lapan asnaf, tujuan zakat diantaranya hapus kemiskinan.

“Tidak salah sekiranya (ZPP) ada mengutamakan agihan zakat (pendidikan) kepada anak-anak dari keluarga miskin-fakir umpamanya kerana ijtihad sebegitu lebih berdaya saing untuk mengubah generasi  tersebut, daripada menjadi golongan penerima zakat kepada golongan pemberi zakat,” jelas Wan Salim, sambil membahaskan pada ayat 60 Surah Al-Taubah.

Lapan asnaf tersebut, Al-Fuqara’, Al-Masakin, Amil (pemungut dan pengagih zakat), Muallaf (mereka yang baru memeluk Islam), Riqab (hamba yang dibelenggu atau tiada kebebasan diri), Ghamirin (orang Islam yang tidak mampu melangsaikan hutangnya), Fisabilillah (pelajar serta orang yang berusaha melakukan aktiviti meninggikan Islam), dan Ibnus Sabil (musafir yang terputus sumber hidup).

Justeru, beliau mencadangkan MAINPP menubuhkan sebuah badan khusus secara profesional seumpama ZPP untuk mengurus serta mengayakan manfaat daripada hartanah wakaf dan Baitul Mal di negeri ini.

Ijtihad Pendidikan
Menurut Wan Salim, integrasi pendidikan hafalan al-Quran dengan akademik di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) merupakan percubaan yang baik untuk menghakis dualisme Islam-Sains.

“Maksud dualisme di sini umpamanya kita mahu anak-anak menjadi hafiz (penghafal al-Quran) sahaja, padahal pengajian Sains itu juga amat diperlukan sebab ia adalah mengkaji sunnah Allah, yang dikenali di Barat sebagai Natural Law,” ujar beliau.

Tambah beliau, KITAB boleh menjadi hub pendidikan integrasi ilmu Islam-Sains di negeri ini dengan menyusun semula tenaga pengajar yang benar-benar layak sahaja di kolej universiti negeri berkenaan, sebagaimana disyor oleh Lembaga Akredisasi Negara (MQA).

Islamisasi ilmu ini perlu dibuat pada korikulum agar tiada lagi dualisme agama-Sains yang saya lihat ketara di institusi pendidikan Islam, buku teks kita dan latihan pada tenaga pengajar sendiri,” ujar beliau, sambil menyebut mengenai beberapa tokoh sarjana Islam yang menguasai ilmu Islam dan sains pada zaman masing-masing.

Harapan Memartabat Islam
Wan Salim memberitahu, semua pentadbir institusi Islam di negeri ini wajar berdaya saing dengan mengemukakan polisi tadbir urus yang lebih baik, melalui ijtihad di lapangan.

“Mutu KITAB perlu segera dibaiki. Pengalaman cemerlang ZPP pula perlu untuk kita urus hartanah wakaf di negeri ini pula supaya lebih berdaya saing untuk manfaat umat.

“Fokus bantu anak-anak dari keluarga asnaf kerana pendidikan lebih berdaya saing untuk hapus kemiskinan...agihkan zakat (pendidikan) kepada pelajar aliran sains juga selain pelajar agama.

“Saya komited untuk bekerjasama dengan semua institusi, khususnya yang menguruskan hal ehwal umat Islam kerana kita semua berkongsi impian yang jelas, iaitu Kerajaan Negeri komited memartabatkan Islam sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan,” ujar Wan Salim, sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus