02 July 2015

Agilent rancang bina kilang baru, 50 tahun di P.Pinang dihargai Guan Eng

KETUA Menteri (tengah), Yap Soo Huey (dua dari kiri) dan Loo Lee Lian (paling kiri) bersama-sama Chai Meng Fee (empat dari kiri) serta seorang tetamu lain menyempurnakan upacara memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-50 Agilent Technologies di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Agilent Technologies baru-baru ini mengumumkan rancangan jangka masa panjang syarikat multinasional itu untuk membina fasiliti kilang pembuatan baru di negeri ini, demi menampung pertubuhan sains hayat serta perniagaan aksesori perubatan mereka.

Berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 syarikat tersebut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merakamkan penghargaan atas hasrat yang diluahkan oleh Presiden Agilent Technologies, Chai Meng Fee yang terus setia menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

“Sumbangan Agilent untuk ekonomi Pulau Pinang mesti dipuji, dan keberadaan syarikat itu sekaligus membuktikan sains hayat boleh berjaya menjana keuntungan lumayan serta menarik minta lebih ramai generasi muda Malaysia dan Pulau Pinang,” jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar InvestPenang, Loo Lee Lian dan Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang merupakan negeri perindustrian pertama di Malaysia, dengan kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang kira-kira 95 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2014, iaitu sebanyak RM67 bilion.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian pada sektor pembuatan yang menyumbang kira-kira 60 peratus pada KDNK Pulau Pinang. 

Tambah beliau, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) pula mendedahkan pelaburan ke negeri ini meningkat sebanyak 109 peratus menjadi RM8.2 bilion pada tahun 2014, berbanding 3.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Ini membuktikan pelaburan langsung asing (FDI) telah didorong oleh daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan,” jelas Guan Eng lagi.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk surplas atau lebihan kewangan yang berjaya direkodkan dalam kewangan negeri pada tiap-tiap tahun sejak 2008.

Difahamkan, lebihan kewangan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga 2013 adalah sejumlah RM453 juta, dengan rekod terbesar dalam sejarah Pulau Pinang yang dicapai sebanyak RM138.31 juta pada tahun 2011 sahaja.

Dalam tempoh 2008 hingga 2013 juga, lebihan bajet terkumpul negeri yang berjumlah RM453 juta itu melebihi surplas negeri selama 50 tahun dahulu sejak 2007, iaitu sebanyak RM373.6 juta sahaja.

“Kita akan meneruskan lagi rancangan Kerajaan Negeri untuk generasi masa depan, terutamanya membina projek berkembar (iaitu) membina perumahan mampu milik serta menangani masalah pengangkutan.

“Sebanyak RM500 juta diperuntukan di bawah Tabung Perumahan Awam Rakyat Pulau Pinang, dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang merangkumi tanah dan rangkaian laut yang dianggarkan memerlukan dana RM27 bilion, termasuk membina sistem MRT (transit laju massa) demi menghubungkan kawasan pulau dan tanah besar (Seberang Perai) di negeri ini,” jelas Guan Eng lagi.

Sebelum itu, Meng Fee memberitahu bahawa rancangan membina kilang baru di Pulau Pinang turut dijadikan sebagai hub instrumen dan peralatan perubahatan khusus untuk mengesan tisu kanser pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri pun ada mencadangkan suatu tapak baru yang berpotensi di Batu Kawan untuk fasiliti pengeluaran baru ini, dan kami sendiri akan mengoptimumkan proses pembuatan itu nanti sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Kami berminat untuk mengambil lebih ramai ahli kimia dan biologi, selain jurutera, yang kini bilangan pekerja kami di Pulau Pinang kira-kira 530 orang.

“Industri berasaskan sains hayat dengan reka bentuk peralatan kimia dan pembuatan kian berjaya sejak lima tahun lepas dan produk yang dihasilkan di sini (Pulau Pinang) nampaknya telah memberi impak global sejak masa itu lagi,” jelas Mee Fee. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus