Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BAGAN
JERMAL
– Putrajaya disyor membayar balik 90 peratus daripada kos keseluruhan pembaikan
bumbung Perumahan Taman Pinang kepada Kerajaan Negeri, memandangkan projek permohonan
sama turut diluluskan pelaksanaannya di bawah Tabung Perumahan 1Malaysia (TP1M)
bagi tahun 2014 baru-baru ini.
Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa
dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, permohonan Perbadanan Pengurusan Taman Pinang
yang diluluskan lebih awal sebelum ini sebenarnya selepas Kerajaan Negeri mengambil
kira kepentingan serta keselamatan penduduk rumah kos rendah swasta terbabit.
Jelasnya lagi, kelulusan tersebut atas
dasar 20:80, iaitu RM31,000 disumbangkan oleh Perbadanan Pengurusan Taman
Pinang dan baki RM124,000 lagi dibiayai oleh Kerajaan Negeri.
“Kalau ikhlas, Kerajaan Pusat mesti
bayar balik 90 peratus (dari keseluruhan kos RM155,000) seperti dijanjikan
dalam TP1M supaya Kerajaan Negeri turut boleh memulangkan semula RM31,000 yang
disumbangkan oleh badan pengurusan penduduk Taman Pinang terbabit sebelum ini,”
ujar Jagdeep pagi tadi, selepas majlis penyerahan balik kunci rumah pasca baikpulih rumah kos rendah Blok 5 Mak Mandin 1 di sini.
Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, syornya itu turut dipanjangkan oleh Penolong
Pegawai Kewangan Negeri, Hashimah Mohamed Hashim dalam satu surat rasmi kepada
Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Pulau Pinang pada 9 Jun lepas.
Tambah Jagdeep, pihaknya tidak wajar
dipersalahkan berhubung perkara berbangkit tersebut, memandangkan Kerajaan
Negeri sendiritidak pernah dijemput berunding dalam proses pemilihan projek
bantuan di bawah TP1M yang diperkenalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak, sejak bulan Januari 2010 lagi.
Di bawah TP1M, difahamkan, Kerajaan
Pusat menanggung 90 hingga 70 peratus, manakala, 10 peratus hingga 30 peratus baki
ditanggung oleh badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk (PP).
Pentadbiran Ketua Menteri, YAB Tuan Lim
Guan Eng dalam reaksi spontan turut mengumumkan pelancaran HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang demi memudahkan
rakyat di negeri ini mendapat manfaat daripada peruntutan RM500 juta yang baru diumumkan
Kerajaan Pusat tersebut.
Guan Eng dalam satu kenyataan mengumumkan,
Kerajaan Negeri bersetuju membiayai 10 hingga 30 peratus yang sepatutnya
ditanggung oleh JMB atau PP, dengan syarat permohonan TP1M berwajib terlebih
dahulu diluluskan oleh Putrajaya.
Sehingga kini, direkodkan sebanyak 116
permohonan TP1M telahpun lengkap dihantar dari Pulau Pinang, manakala, hanya
tiga projek diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dekat Putrajaya,
iaitu Taman Sungai Batu, Taman Haji Mohd. Amin, dan terbaru Perumahan Sungai
Pinang.
Bagaimanapun, ICU JPM dalam satu suratnya
bertarikh 9 April lepas memberitahu bahawa 40 permohonan dari Pulau Pinang sedang
dipertimbangkan untuk diluluskan.
“Senarai 40 permohonan tersebut sedang
dipertimbang untuk diluluskan, dan belum diluluskan lagi sebenarnya. Kerajaan
Negeri sendiri tidak dirundingi dalam pemilihan projek perumahan yang layak
dipertimbang bantuan TP1M ini sebenarnya,” jelas Jagdeep lagi, sambil berharap
Putrajaya tidak terus menganaktirikan kepentingan rakyat di negeri ini.
No comments:
Post a Comment