Skip to main content

RM200,000 projek 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal' di Batu Feringghi siap, umum Mohd. Rashid



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

TANJUNG BUNGAH - Kerja-kerja penarafan dan baik pulih dewan kayu berusia hampir 30 tahun di Batu Feringghi menjadi gelanggang futsal tertutup dengan kos kira-kira RM200,000 mengambil masa hampir dua bulan dan siap sepenuhnya pada Januari lepas lagi.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini melaksanakan projek-projek seumpama itu meliputi semua kelima-lima daerah, di bawah program 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal'.

"Kerajaan Negeri memang nak mewujudkan 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal dan ini satu lagi kejayaan projek naik taraf infrastruktur awam untuk manfaat penduduk daerah ini," jelas Mohd. Rashid pada Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna Dan Gelanggang Futsal Tertutup JKKK Batu Feringghi di sini pada awal pagi ini.

Serentak dengan majlis perasmian itu, Mohd. Rashid yang juga Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat turut merasmikan Kejohanan Liga Futsal Piala Timbalan Ketua Menteri I Peringkat Daerah Timur Laut, melibatkan saingan 10 pasukan.


Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Syerleena Abd. Rashid yang mewakili Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Feringghi, Ahmad Jasin.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rashid memuji pentadbiran Pejabat Daerah Barat Daya kerana memberi kepercayaan serta menyerahkan tanggungjawab mengurus gelanggang futsal di sini kepada pihak JKKK setempat.

"Seperti gelanggang futsal awam (bagi Daerah Barat Daya) di Sungai Nibong itu ketika ini masih diuruskan oleh MBPP, memang ada permohonan daripada JKKK Sungai Nibong Pantai untuk menguruskan gelanggang futsal itu seperti di Batu Feringghi ini.

"Sekarang, tempahan gelanggang di sana (Sungai Nibong) secara atas talian mesti dibuat tiga hari lebih awal, bayaran RM80 untuk dua jam (kos sewa gelanggang) pun dibuat secara online langsung kepada MBPP.

"Setakat permohonan (ambil alih pengurusan gelanggang) yang JKKK (Sungai Nibong Pantai) ini hantar telahpun ditolak, saya harap pengurusan gelanggang futsal di sana pun dipermudahkan di bawah JKKK jua, seperti di Batu Feringghi ini," jelas Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.


Ahmad pada sidang media sama memberitahu yuran RM80 sejam kerana gelanggang futsal di sini adalah secara tertutup serta menggunakan lebih tenaga elektrik, berbanding gelanggang futsal terbuka di Sungai Nibong.

"Hasil sewaan gelanggang futsal JKKK Batu Feringghi ini akan dipulangkan kepada komuniti setempat dalam bentuk bantuan dan sumbangan kebajikan seperti membeli lampin pakai buang atau barang-barang keperluan dapur kepada golongan terpilih di sini juga," respons Ahmad kepada pemberita.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Rashid memberitahu Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 16 April lalu mengumumkan kelulusan peruntukan RM2.3 juta untuk membaikpulih dewan orang ramai Taman Guar Perahu, Penanti serta projek pembinaan dua gelanggang futsal awam untuk komuniti penduduk daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Katanya, inisiatif program 'Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal' sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri hari ini cakna dengan gaya hidup sihat yang diimpian rata-rata anak muda di Pulau Pinang.