KETUA Menteri memberi respons kepada ADUN UMNO bagi Kawasan Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, pada sesi perbahasan DUN Pulau Pinang di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Rancangan masa depan untuk projek tebus guna tanah laut seluas 607 hektar di Sungai Pinang yang dikenali sebagai “middle bank” masih belum diputuskan secara muktamat oleh Kerajaan Negeri, sungguhpun menggamit kebimbangan para pencinta alam di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri hanya mengadakan Surat Pernyataan Hasrat (RFP) bagi mereka yang berminat dengan projek tersebut, selain masih menunggu maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar (DEIA).
“Kami hanya adakan satu RFP di mana kami nak tengok sama ada ia boleh berjalan atau tidak.
“Kalau laporan (JAS dan DEIA) nyatakan tidak boleh jalan, maka, kami tak akan buat. Sekarang belum ada keputusan dibuat,” jelas Guan Eng kepada wartawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menegaskan bahawa rancangan tambakan yang dianggap menjejaskan ekosistem laut itu sebenarnya diluluskan oleh Kerajaan Negeri era Barisan Nasional, dahulu.
"Saya berasa terkejut bila BN (Barisan Nasional) tak mahu ambil tanggungjawab bahawa ini semua termasuk dalam rancangan struktur negeri Pulau Pinang yang diluluskan mereka pada 2007.
“Kami (Kerajaan Negeri hari ini) kena ikut rancangan struktur negeri, itu undang-undang. Tapi, kami pun tahu ia mesti berdasarkan kelulusan JAS dan DEIA.
"(Justeru,) jangan cakap kami luluskan bila masih di peringkat penilaian," tegas Guan Eng lagi sebagai menjawab beberapa persoalan berbangkit daripada ADUN pembangkang Pulau Pinang.
Terdahulu, beberapa wakil rakyat BN pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-13 menggesa Kerajaan Negeri supaya melihat semula rancangan tebus guna tanah tersebut, yang dikatakan bakal memusnahkan kawasan penangkapan ikan.
ADUN Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah mendakwa projek tebus guna tanah tersebut dikatakan demi memberi laluan pada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang itu dijangka akan turut memusnahkan tapak pembiakan di kawasan pantai.
Ditanya berapa lama peringkat penilaian itu akan berlangsung, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri hari ini sendiri masing menunggu maklum balas JAS serta DEIA, sebelum membuat pertimbangan selanjutnya berhubung projek yang diluluskan sejak sebelum tahun 2008 itu.
No comments:
Post a Comment