Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri hari ini tidak akan meluluskan sebarang projek pemajuan rumah mewah yang dimohon oleh agensi Persekutuan seperti JKP Sdn. Bhd. (JKP) dan Lembaga Kemajian Wilayah Pulau Pinang (PERDA), jika membabitkan tanah yang diambil atas tujuan awam.
JAGDEEP Singh Deo |
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Pulau Pinang merangkap, Datuk Jahara Hamid.
“Melalui pengakuan mereka (pembangkang Pulau Pinang)sendiri, sekali lagi didapati bahawa daripada 15 projek yang dikemukakan, 11 akan dibina di atas tanah yang diperolehi melalui pengambilan tanah untuk tujuan awam.
“Undang-undang memperuntukan bahawa sekiranya tanah tersebut diperoleh melalui pengambilan balik, maka perumahan yang perlu dibina semestinya adalah perumahan awam, iaitu Kos Rendah (KR) dan Kos Sederhana Rendah (KSR),” tegas Jagdeep Singh Deo pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undang Negeri (DUN) Yang Ke-13 di sini baru-baru ini.
Sebelum itu, Jahara yang juga Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar menegaskan bahawa JKP dan PERDA sepatutnya dibenarkan membina rumah mewah demi menangguh subsidi-silang (cross-subsidise) memandangkan kedua-dua agensi persekutuan itu membina setiap unit KR berharga RM42,500, KSR (RM72,500 seunit) serta Rumah Mampu Milik (berharga RM200,000, RM300,000 dan RM400,000 seunit).
Jagdeep berkata, dalih subsidi silang itu adalah tidak dapat diterima kerana Rumah Mampu Milik di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sehingga hari ini masih belum dibina di negeri ini, walaupun beberapa kali dijanjikan oleh Kerajaan Pusat.
“Melalui perumahan mampu milik PR1MA oleh Kerajaan Pusat sendiri, yang malangnya belum sampai ke Pulau Pinang...di mana kesemua perumahan yang dibinanya (oleh Kerajaan Pusat) adalah di antara RM100,000 dan RM400,000, serta tiada elemen subsidi silang.
“Ini (dalih Jahara) adalah justifikasi yang tidak boleh diterima kerana permohonan JKP dan PERDA tersebut dikatakan mereka sendiri untuk (pembinaan) rumah mampu milik, namun, setelah disemak melalui pengakuan mereka sendiri, didapati bahawa kebanyakan unit rumah yang ingin dibina mereka adalah jenis yang jauh melebihi (harga) siling Rumah Mampu Milik,” tegas Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat.
Respons Jagdeep lagi, harga seunit rumah yang ingin dibina oleh agensi Persekutuan di atas tanah yang diambil untuk tujuan awam di bahagian Pulau dan Seberang Perai masing-masing didapati mencecah sehingga RM1,850,000 dan RM800,000.
Jagdeep berkata, kesemua 22,512 rumah atau 787 KR, 7,874 KSR dan 13,851 yang akan dibina di negeri ini adalah 100 peratus adalah perumahan awam, dengan harga tiap-tiap unit mengikut harga siling yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat sendiri.
No comments:
Post a Comment