Skip to main content

AL-DALALAH MENURUT JUMHUR MUTAKALLIMIN

Ad-Dalalah menurut Jumhur Mutakallimin secara umumnya berbeza dengan metodologi usul Ulama Hanafi.

Jumhur Mutakallimin membahagikan Ad-Dalalah kepada dua bahagian.

1. Mantuq 
2. Mafhum

1. Mantuq
Iaitu, hukum yang ditunjukkan oleh ucapan lafaz itu sendiri.

Mantuq terbahagi kepada 2 bahagian.

Mantuq Soreh
Iaitu, petunjuk lafaz kepada seluruh pengertian yang dikehendaki atau sebahagiannya sahaja.

Contoh:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksud:
"...padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba..."

[Surat Al-Baqarah: 275]

Ulasan:
Ayat di atas membawa petunjuk lafaz yang jelas serta dapat difahami, iaitu jual beli adalah halal dan perbuatan riba adalah haram.

Mantuq Ghayr Soreh
Iaitu, petunjuk lafaz atas sesuatu ketentuan hukum yang diperoleh dengan melihat hubungan dan kaitan yang tidak boleh dipisahkan dari Mantuq.

Contoh:
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksud:
"...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya..."

[Surat Al-Baqarah: 233]

Ulasan:
Daripada ayat di atas, difahami bahawa nasab dikaitkan kepada bapa, bukannya ibu. Atas sebab itu, nafkah anak adalah kewajipan bapa dan bukanlah ibu.

2. Mafhum
Hukum yang tidak ditunjukkan oleh ucapan lafaz itu sendiri, tetapi daripada pemahaman terhadap ucapan lafaz tersebut.

Seperti Mantuq, Mafhum jua terdiri oleh dia bahagian, iaitu Mafhum Muwafaqah dan Mafhum Mukhalafah.

Mafhum Mukhalafah itu sendiri ada dua bahagian, iaitu Fahwal Khitab dan Lahnul Khitab.

Manakala Mafhum Mukhalafah pula ada lima pecahan lain, iaitu Mafhum Al-Sifah, Mafhum Al-Syart, Mafhum Al-Ghayah, Mafhum Al-'Adad & Mafhum Al-Laqab / Al-Ism.

Terperinci, seperti di bawah:

1. Mafhum Muwafaqah
Iaitu, petunjuk lafaz nas ke atas penetapan sesuatu hukum bagi perkara yang disebutkan, di antara keduanya terdapat kesesuaian, sama ada dalam bentuk nafi atau isbat kerana terdapat persamaan 'illat.

Mafhum Muwafaqah ada dua bahagian:

Fahwal Khitab
Iaitu, apabila yang difahami itu lebih utama hukumnya daripada yang diucapkan.

Contohnya, haram memukul orang tua (iaitu ayah dan ibu) berdasarkan dalil:

فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ

Maksud:
"...janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'Ha'..."

[Surat Al-Isra' 23]

Ulasan:
Kalau kata 'uhhh' pun tak boleh, memukul lebih-lebih lagi lah tak boleh.

Satu lagi contoh, diharamkan memegang anjing.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لِيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ

Maksud:
“Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah saw, apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka alirkan air padanya kemudian basuhnya sebanyak tujuh kali basuh."

[Muslim, Bab hukum jilatan anjing, hadis no : 279]

Ulasan:
Bagi Ulama Mazhab Syafie yang mengambil Fahwal Khitab melihat haram memegang badan anjing seperti menyentuh lidah anjing yang basah itu.

Bagi mereka, jika air liur anjing pun sudah wajib dibasuh, sudah pasti kewajipan itu lebih lagi dilakukan jika terkena badan anjing (yang biasa dijilat-jilat oleh anjing itu sendiri.

Mazhab Maliki pula menganggap proses menyucikan najis itu sekadar menghilangkan tiga perkara, iaitu bau, rasa dan warna. Untuk menghilangkan tiga perkara ini, tidak semestinya dengan tujuh kali basuh, malahan dengan sekali atau dua kali basuh pun, kadangkala sudah tercapai maksud bersihkan najis. Makanya, mereka meletakkan tanggapan bahawa hukum membasuh itu sunat sahaja

Di luar Jumhur Mutakallimin, iaitu merujuk pada Mazhab Hanafi pula, mereka melihat kepada zahir hadis yang mempamerkan jilatan sahaja. Menandakan, kenajisan itu berlaku pada air liur sahaja, tidak pada badannya. Maka, menyentuh tubuh anjing (kecuali lidah dan kawasan basah yang dijilatnya) adalah harus.

Lahnul Khitab
Iaitu, apabila yang tidak diucapkan adalah sama hukumnya dengan yang diucapkan.

Contohnya, tindakan membakar harta anak yatim adalah haram berdasarkan dalil:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala."

[Surat An-Nisa' 10]

Hukum:
Membakar harta anak yatim termasuk maksud memakan harta anak yatim yang hukumnya haram, sungguhpun amalan membakar harta anak yatim itik tidak disebut dalam zahir nas.

2. Mafhum Mukhalafah
Iaitu, penetapan satu-satu hukum yang tidak disebut dalam nas dan berlawanan dengan yang disebut dalam nas.

Ada lima pecahannya:

(a) Mafhum Al-Sifah
Iaitu, petunjuk lafaz yang disifatkan dengan sesuatu sifat di mana hukumnya akan berlainan ketika atau apabila ketiadaan sifat tersebut.

Contoh: Kahwini hamba
(zaman moden sekarang sudah tiada sistem perhambaan)

وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ مِنْكُمْ طَوْلًا أَنْ يَنْكِحَ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ فَمِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ فَتَيَاتِكُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ۚ

Maksud:
"Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki..."

[Surat An-Nisa' 25]

Ulasan:
Ayat di atas menunjukkan keharusan mengahwini hamba sekiranya mereka beragama Islam. Secara Mafhum Al-Sifah, dapatlah difahami sifat Islam yang diletakkan pada mereka itu menjadikan haram berkahwin dengan hamba-hamba kafir.

(b) Mafhum Al-Syart
Iaitu, petunjuk lafaz yang bergantung padanya satu-satu hukum dengan suatu syarat di mana tiada hukum tanpa syarat tersebut.

Contoh: Tanggungjawab selepas talak isteri yang sedang mengandung

وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ

Maksud:
"...dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya..."

[Surat At-Talaq 6]

Ulasan:
Mengandung itu adalah salah satu syarat yang melayakkan seorang muslimah yang ditalakkan mendapat nafkah zahir daripada bekas suaminya. Maka, secara Mafhum Mukhalafahnya, perempuan itu tidak berhak untuk mendapat nafkah zahir jika tidak mempunyai syarat itu (mengandungi).

(c) Mafhum Al-Ghayah
Iaitu, petunjuk lafaz menunjukkan hukum sampai kepada ghayah (batas dan tujuan). Hukum yang terdapat sesudah perkataan yang menunjukkan adanya batas, akan berlainan dengan hukum sebelumnya.

Contoh: Waktu makan di bulan Ramadan

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ

Maksud:
"...dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)..."

[Surat Al-Baqarah: 187]

Ulasan:
Ayat ink menjelaskan harus makan dan minum sebelum masuk waktu Subuh. Secara Mafhum Mukhalafahnya ialah haram makan dan minum sehinggalah selepas sampai tujuan batas waktunya, iaitu apabila masuk Maghrib.

(d) Mafhum Al-'Adad
Iaitu, petunjuk lafaz yang mengaitkan padanya sesuatu hukum dengan sesuatu bilangan tertentu, di mana ia menafikan selain bilangan itu.

Contoh: Bilangan sebatan atas pasangan zina

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ

Maksud:
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat..."

[Surat An-Nur: 2]

Ulasan:
Secara Mafhum Mukhalafahnya, ayat ini menjelaskan bilangan sebatan selain daripada jumlah 100 kali itu adalah haram, sama ada melebihkan bilangan sebatan atau mengurangkannya.

(e) Mafhum Al-Laqab / Al-Ism
Iaitu, petunjuk lafaz yang mengaitkan padanya sesuatu hukum dengan sesuatu laqab atau ism jamid, di mana ia akan menafikan selain daripada laqab atau ism jamid itu.

Contoh: Hukum nikahi ibu

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُم

Maksud:
"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu..."

[Surat An-Nisa' 23]

Ulasan:
Secara Mafhum Mukhalafahnya, ayat ini menjelaskan bahawa selain daripada Al-Laqab atau Al-Ism yang disebutkan adalah tidak termasuk dalam hukum tersebut.

Dalam Mantuq ayat ini, haram hukumnya mengahwini ibu kandung yang melahirkan kita. Maka, Mafhum Al-Laqabnya itu ketentuan itu tidak berlaku bagi ibu-ibu yang lain selain ibu kandung (seperti ibu angkat atau bekas ibu tiri dll).


Zainulfaqar Yaacob 
Seberang Jaya 
28 Januari 2016 | 10.03 malam