Skip to main content

P.Pinang tubuh 'badan bertindak' bantu 6,000 staf MAS hilang kerja, umum Guan Eng

P. Ramasamy (kiri) akan mengetuai Badan Bertindak Kerajaan Negeri Pulau Pinang Terhadap Staf MAS Yang Diberhentikan Kerja, umum Lim Guan Eng kepada wartawan di sini tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menubuhkan badan bertindak demi membantu kira-kira 6,000 kakitangan yang baru menerima surat pemberhentian kerja daripada Penerbangan Malaysia (MAS) mendapatkan pekerjaan yang baru di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, badan bertindak yang ditubuhkan di bawah Career Asistance and Telant Centre (Penang CAT) turut menawarkan khidmat nasihat guaman secara sukarela kepada mereka yang berhasrat untuk mendapatkan pembelaan sebagai pekerja di mahkamah.

"Ini, sama ada untuk memastikan hak mereka terus terjamin atau untuk mencari pekerjaan yang lain di negeri ini supaya mereka boleh terus menyara keluarga mereka.

"Tentulah pekerja-pekerja ini adalah yang terbaikan, sebab itu diambil bekerja dengan MAS, dan tak perlulah saya sebut apa masalah pengurusan (majikan).

"Kerajaan Negeri ingin melahirkan solidariti dan rasa simpati kepada mereka...dan ini adalah sumbangan Kerajaan Negeri untuk Malaysia," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan, di sini tengah hari tadi.

Menurut Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi, Prof. P. Ramasamy yang baru dilantik sebagai pengerusi badan bertindak tersebut melalui mesyuarat rasmi Kerajaan Negeri pada pagi tadi.

Ramasamy, tambahnya lagi, akan mengumumkan pasukan petugas sukarelawannya untuk kerja-kerja kebajikan tersebut pada hari Jumaat ini di sini, jam 11.00 pagi.

"Ia (badan bertindak) ini akan melibatkan peguam dan sukarelawan lain, dan pada masanya yang sama Kerajaan Negeri tentulah akan mengeluarkan sedikit berbelanjaan untuk membiayai badan bertindak ini

"Badan bertindak ini secara rasmi ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri, bukan sahaja untuk menyokong pekerja-pekerja (MAS) dari negeri ini, malah sumbangan kita untuk Malaysia juga," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

ADUN Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Lim Hock Seng (ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) turut menyertai sidang media tersebut.

Beberapa hari kemudian, Ramasamy mengumumkan 18 individu yang menggotai Badan Bertindak Kerajaan Negeri Pulau Pinang Terhadap Staf MAS Yang Diberhentikan Kerja.
Mereka, antaranya peguam merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Sumber Manusia Negeri Pulau Pinang, Dato' Ajit Singh Jessy, Khoo Boon Lim (Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang), Noor Azam Mohd. Nor (perunding sumber manusia bagi Pengerusi Syarikat Perusahaan Bebas, FREPENCA), Dato' Khoo Cheok Sin (Pengerusi Persekutuan Pengusaha-Pengusaha Industri Malaysia Pulau Pinang, FMM), "Encik Mazlan" (Pengurus Cawangan FMM Kedah), Low Sook Jen (Penolong Perangarah Jabatan Buruh), K. Veeriah (Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, MTUC), Eunice Cheng (Pengurus Penang CAT) dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar InvestPenang) serta Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer, Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Ong Chin Wen (ADUN Bukit Tengah), Yeoh Soon Hin (ADUN Paya Terubong), Ram Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Suhaily Razlan (Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri, Dr. Afif Bahardin) turut menganggotai jawatankuasa itu.

"Saya berharap mereka yang terbabit boleh mendaftarkan diri dengan Penang CAT, kita (Kerajaan Negeri) pun memerlukan maklumat daripada pekerja-pekerja terbabit untuk melakukan carian pekerjaan yang sesuai, selain memberikan khidmat (nasihat) perundangan kepada mereka jika diminta," jelas Ramasamy pada sidang media berasingan.
Terdahulu, terdahulu MAS menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya, sebagai langkah penstrukturan dan pemulihan semula syarikat penerbangan negara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS baru, Christoph Mueller.

Daripada jumlah itu, katanya, 6,000 pekerja ditamatkan kontrak serta merta, manakala, baki 14,000 ditawarkan pekerjaan dengan syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd. Group (MAS Bhd.).

Dilaporkan, Christoph Mueller mengaku bahawa unsur penyalahgunaan kuasaserta pembaziran wujud dalam MAS, sehingga memaksa beliau mengambil langkah drastik menstruktur semula syarikat tersebut.

Ekoran itu, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menggesa Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) memanggil lembaga pengarah MAS supaya menjawab tuduhan pembaziran yang didakwa Christoph Mueller.

Malah, Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin turut mendakwa pengurusan MAS bertindak kejam dengan memberhentikan anak kapal wanita yang sedang cuti bersalin, serta mereka yang daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan pasangan suami isteri yang bekerja dengan syarikat penerbangan tersebut.

Manakala, Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) yang lantang membela nasib bekerja juga turut disebut-sebut akan dibubarkan, selepas penstrukturan semula MAS dimuktamadkan.

Khazanah Nasional Berhad sebagai pemilik kepentingan MAS dalam reaksi spontan menjelaskan bahawa "pakej pemberhentian" membabitkan 6,000 kakitangan terbabit berdasarkan formula yang sama seperti perjanjian bersama (CA) sedia ada mereka yang berkenaan.