Skip to main content

Air empangan tahan 100 hari, PBAPP harap mampu depani El Nino 'kuat' tanpa catuan

JASENI Maidinsa.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - El Nino 'kuat' yang turut melanda Pulau Pinang mungkin mampu didepani tanpa catuan air, jika keadaan kemarau pada kali ini adalah sama dengan fenomena yang pernah melanda negeri pada tahun 2014 dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Belakan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato' Ir. Jaseni Maidinsa bagaimanapun berkata, status amaran tetap diumumkan pada hari ini, supaya kepenggunaan bekalan air bersih lebih cermat.

"Empangan ini, kita (PBAPP) reka bentuk untuk menadah air selama 100 hari, jadi, sampai bulan April kita (Pulau Pinang) boleh bertahan.

"Selalunya hujan akan kembali turun pada hujung bulan Mac ini," jelas Jaseni pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini, petang tadi.

Hadir sama, Exco Perancagan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

(Dari kiri) JAGDEEP Singh Deo, Ketua Menteri dan Jaseni Maidinsa pada sidang media di sini, petang tadi.

Sehingga hari ini, Jaseni menjelaskan kapasiti air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang berada dalam keadaan 'sihat', dengan masing-masing pada tahap 87.6 peratus dan 83.2 peratus.

Ujarnya lagi, Empangan Mengkuang pula masih dalam proses pemajuan.

Katanya lagi, paras air di Sungai Muda yang direkodkan setinggi 2.53 meter pada hari ini membolehkan proses menimba air ke Empangan Mengkuang seperti biasa.

Difahamkan, fenomena El Nino 'kuat' mengakibatkan suhu melambung setinggi 40 darjah Celcius, sekarang.

Manakala, insiden terakhir hujang pada 29 Disember tahun lalu mencatatkan taburan 31.0 milimeter air di Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang (38 milimeter) dan Empangan Mengkuang (17 milimeter).

"Dua tahun lalu, semasa musim kemarau panjang pada bulan Januari, Februari dan Mac 2014 melanda negeri ini, jumlah taburan hujan hanya 83.0 milimeter di Empangan Air Itam, 70.0 milimeter di Empangan Teluk Bahang dan 115.0 meter di Empangan Mengkuang," jelas Jaseni.