EXCO Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng menyerah cek sumbangan RM1,000 kepada waris keluarga bekas tekong sepak takraw kebanggaan dan negeri, Fauzi Ghazali, 33.
Sumbangan itu diserah melalui pegawai khasnya Khairul Ishak dan diterima oleh balu arwah, Soleha Omar, 30.
"YB merakamkan ucapan takziah. Diharap keluarga arwah bersabar.
"Kita akan cuba menghubungi dan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan sumbangan lain untuk keluarga arwah," ujar Khairul semasa berkunjung ke rumah ibu arwah di Kampung Belah Dua dekat Permatang Pauh, petang semalam.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin turut hadir dalam majlis kunjungan kasih di kediaman arwah Fauzi.
Hadir bersama, Penasihat badan bukan kerajaan (NGO) Infak Kebajikan Ummat Takaful (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.
Mereka disambut oleh saudara kandung Fauzi, Khairul Anuar Ghazali, 40, Sarina Ghazali, 47, dan Sarimah Ghazali, 45.
Sebelum itu, Soleha melahirkan rasa sebak atas sumbangan langsung yang diterimanya.
"Sebelum meninggal, arwah ada sebut nak bina akademi takraw di sini (perkarangan rumah pusaka dekat Permatang Pauh) untuk mencari bakat baru...takraw ini macam jiwa dia.
"Saya bersyukur kerana saya senantiasa di sisi arwah sepanjang diuji dengan sakit ini, arwah meninggal di atas tangan saya," ujar Soleha yang juga suri rumah.
Difahamkan, Fauzi sejak hampir 10 bulan lepas dikesan mengidap barah jenis Non-Hodgkins Lymphoma sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang, George Town baru-baru ini.
Arwah meninggalkan lima anak kecil antara usia 10 bulan hingga tujuh tahun.
No comments:
Post a Comment