WONG Hon Wai (lima dari kiri) menyempurna majlis perasmian pembukaan Pameran Graduasi Akademi Seni Equator, di sini baru-baru ini. |
PELAJAR Akademi Seni Equator Pulau Pinang dinasihat supaya lebih berfikiran kreatif, kritis serta inovatif jika mahu berjaya dalam dunia kerjaya profesional kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata demikian semasa berucap pada majlis Pameran Graduasi Akademi Seni Equator, George Town.
“Pelajar seni dan reka bentuk mempunyai masa depan yang cerah kerana dunia kini bergerak menuju inovasi.
“Saya percaya (Akademi Seni) Equator sudah memberi asas yang kukuh untuk menempuh cabaran seterusnya dengan penuh keyakinan,” ujar beliau baru-baru ini.
Menurut beliau, golongan pelajar sekarang kian berminat untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan seni dan reka bentuk, berbanding era 1980-an yang secara umumnya menyaksikan mereka lebih berminat pada jurusan sains dan perakaunan serta bidang-bidang profesional lain.
Sebelum itu, pengetua akademi berkata, pihaknya senantiasa berusaha membentuk serta merangka program akademik khusus yang sesuai dengan keperluan industri pasaran masa kini.
Itu, katanya, termasuk pendedahan mengenai falsafah akademi yang menggabungkan latihan tradisional dan konsep kontemporari lengkap dengan aplikasi perisian komputer moden demi meningkatkan bakat pelajar-pelajar akademi sebelum menempuh alam kerjaya.
“Saya ingin menasihati generasi baru yang bakal memasuki alam pekerjaan, diharap dapat mempelajari dan memperoleh pengalaman kerja dan pengetahuan, bukan sahaja mengharapkan gaji yang tinggi," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment