29 September 2015

GEMS Education labur RM55 juta, buka sekolah antarabangsa di Seberang Perai Selatan

KETUA Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (tengah) merakamkan gambar, selepas murid-murid selesai acara persembahan pentas sempena Majlis Pembukaan GEMS International School of Pearl City di sini, semalam. | Gambar: Ahmad Adil Mohamad (Buletin Mutiara)

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merasmikan pembukaan Sekolah Antarabangsa GEMS Pulau Pinang di Bandar Tasek Mutiara dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini, semalam.

Guan Eng berkata, pelaburan RM55 juta oleh GEMS dalam pembangunan sekolah tersebut sekaligus adalah pelaburan untuk generasi masa depan di negeri ini.

“Untuk memenangi masa depan, anda perlu melabur dalam masa depan, terutamanya golongan muda.

“Kerajaan Pulau Pinang berpegang kuat dengan satu kepercayaan bahawa pelaburan dalam pendidikan bermakna melabur dalam masa depan,” jelas beliau pada majlis perasmian tersebut.

Turut berucap, Ketua Pengarah Eksekutif merangkap Ahli Lembaga GEMS Education, Tom Collin dan Dino Varkey (Pengarah Eksekutig Kumpulan merangkap Ahli Lembaga GEMS Education).

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya), Dato' Maktar Shapee (Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan).



KETUA Menteri (lapan dari kiri), P. Ramasamy (tujuh dari kiri) Tom Collin (10 dari kiri) dan Dino Varkey (sembilan dari kiri) serta tetamu kehormat lain pada acara gimik perasmian pembukaan GEMS International School of Pearl City, di sini.
Seperti GEMS Education, Guan Eng memberitahu, syarikat penjagaan kesihatan swasta antarabangsa terkenal, Hospital Columbia Asia dan gedung pasaraya IKEA pertama di Utara Semenanjung Malaysia turut melabur di kawasan 'bandar satelit' SPS, yang merangkumi lokasi segi tiga antara Batu Kawan, Cangkat dan Bukit Minyak, di sini.

“Di sini akan menjadi destinasi pelaburan yang penting untuk Pulau Pinang kerana itu pelabur seperti GEMS Education sendiripun memilih kawasan ini untuk pelaburan dalam bidang pendidikan mereka,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Manakala, Varkey dalam ucapannya memberitahu sekolah seumpama di di sini akan menyertai lebih 100 sekolah K12 di 19 negara, meliputi Timur Tengah, Amerika Utara, Eropah hingga ke Afrika dan Asia.

Rangkaian itu, katanya lagi, terdiri lebih 250,000 pelajar dari 151 negara, di bawah didikan lebih 20,000 tenaga pendidik profesional.

“Ini merupakan satu lembaran baru dalam sejarah Kumpulan GEMS Educational, khususnya sejarah GEMS Educational di Malaysia kerana sekolah ini adalah pertama daripada sebilangan sekolah rendah dan menengan atau K-12 yang ditubuhkan di pusat bandar dan pinggi bandar di seluruh negara pada dekad yang akan datang,” jelas beliau, sambil merakamkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri.

Manakala, Tom Collin pula dalam ucapannya berharap penubuhan sekolah antarabangsa itu mampu menyumbang pada tarikan lebih ramai pengunjung dan pelabur ke negeri ini, khususnya di daerah SPS.

Difahamkan, sekolah antarabangsa GEMS Education pertama negara ini telahpun menerima hampir 200 pelajar daripada pelajar tadika sehinggalah tahun 9 di bawah bimbingan 28 pendidik profesional.

Sekolah itu didirikan di atas tanah berkeluasan lapan ekar, berhampiran Pearl City Business Park dekat Bandar Tasir Mutiara, Simpang Empat di sini.

Pelbagai kelengkapan infrastruktur bertaraf antarabangsa di sekolah tersebut, antaranya, kemudahan ICT bersepadu, perpustakaan, teater kotak hitam, makmal sains, bilik muzik dan kesenian, studio tarian, dua dewan sukan, padang bola, gelanggang bola keranjang, gelanggang bola sepak lima sebelah dan dua kolam renang.

Selain itu, ruang pembelajaran dalaman dan luaran yang dirancang rapi di sekolah tersebut sekaligus membezakan kampus bertaraf antarabangsa itu dengan sekolah-sekolah lain di negeri ini.

Maklum balas lanjut mengenai GEMS International School of Pearl City, Pulau Pinang, layari laman www.gemsinternatinalschool-pearl.com.

RUANG pembelajaran dalaman.
RUANG perpustakaan.
PADANG bola sepak.
RUANG pembelajaran luaran untuk pelajar tadika.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus