Skip to main content

Kolam takungan banjir diperdalamkan, Kon Yeow puji CSR pemaju

TANAH rizab berhampiran kolam takungan banjir di Taman Linear Bandar Tasek Mutiara turut dimajukan atas nama CSR, dengan mewujudkan taman rekreasi mini serta mula dibuka untuk manfaat komuniti setempat di sini baru-baru ini.

KAWASAN kolam takungan banjir Taman Linear Bandar Tasek Mutiara, selepas siap dinaik taraf di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Atas keprihatinan pemaju Tambun Indah Land Berhad, kolam takungan banjir di Taman Linear Bandar Tasek Mutiara siap diperdalamkan, selain mewujudkan taman rekreasi mini untuk manfaat komuniti setempat di sini baru-baru ini.

Sambil memuji keprihatinan pemaju, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tabatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap, projek penarafan itu mampu mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar kawasan tersebut.

"Kita (Kerajaan Negeri) mengucapkan terima kasih kepada Tambun Indah (Land) atas keprihatinan dan inisiatif ini, iaitu mengurangkan impak sekiranya berlaku banjir kilat di sekitar kawasan ini," jelas Kon Yeow pada Majlis Perasmian Projek CSR Taman Linear Bandar Tasik Selatan.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan banjir serta pembinaan semula sistem parit monsun di sini menelan belanja RM1.42 juta.

Difahamkan, kolam takungan banjir tersebut seluas 16,375 meter persegi, diperdalamkan sehingga 2 meter, serta mampu menampung isipadu air sebanyak 32,750 meter kubik pada satu-satu masa berlaku bencana banjir.

Manakala, kos menyediakan bangku rehat, jejak joging dan alat senam terbuka serta kerja-kerja lanskap di kawasan taman rekreasi mini tersebut menelan belanja RM480,000, disumbang oleh Pengerusi Tambun Indah Land Berhad, Teh Kiak Seng atas nama program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ujar Kon Yeow, kos keseluruhan projek penarafan dan CSR di Taman Linear itu adalah sebanyak RM1.9 juta.

CHOW Kon Yeow (tengah) menerima cenderamata daripada Teh Kiak Seng (empat dari kiri) selepas Majlis Perasmian Projek CSR Taman Linear Bandar Tasik Selatan, sambil disaksikan oleh Mansor Othman (kanan sekali), Maimunah Mohd. Sharif (dua dari kiri) dan Jason H'ng Mooi Lye (kiri sekali) di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengulas mengenai risiko banjir yang pernah dialami penduduk di Taman Puteri Gunung di sini.

"Saya masih menunggu satu lagi keputusan yang sedang dibuat, iaitu di (Taman) Puteri Gunung, di mana kawasan banjir yang perlu diperdalamkan, tetapi kita (Kerajaan Negeri) menghadapi pencerobohan tanah atas rizab yang perlu diambil tindakan oleh Pejabat Daerah (Dan Tanah, Seberang Perai Selatan).

"Saya berharap jurutera MPSP pun dapat memantau," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, Bandar Tasek Mutiara khususnya di Taman Linear pernah mengalami kejadian banjir kilat yang teruk pada 28 November 2013.

ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Dato' Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal) serta dua Ahli Majlis MPSP, Jason H'ng Mooi Lye dan Heng Yeh Shiaun antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis itu.

Masing-masing menyempurnakan acara penanaman pokok teduh, sebagai gimik pembukaan semula kawasan ini untuk manfaat komuniti setempat.