24 June 2015

Inovasi mampu jadikan JKSNPP 'jabatan pintar' contoh – TKM1

(Dari kiri) ABDUL Malik Abul Kassim, Mohd. Rashid Hasnon, Abdul Walid Abu Hassan dan Sazali Hussien bersama-sama menyempurnakan gimik pelancaran E-SIAP dan beberapa projek inovasi lain pada majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata, inovasi berterusan dalam meningkatkan mutu pelanggan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) sekaligus mampu menjadi 'jabatan pintar' untuk dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengeai kejayaan JKSNPP menawarkan E-SIAP atau E-Shariah Instant Access Procedure yang berjaya meraih Anugerah Emas dalam pertandingan Mini Konvensyen Team Excerllence Wilayah Wilayah Utara pada 1 April lalu.

“Dengan kewujudan E-SIAP ini, kes-kes persetujuan bersama di Mahkamah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari bermula dari proses penyediaan pliding, pendaftaran kes sehinggalah pengeluaran Perintah Mahkamah, sesuai dengan motonya 'Hari Ini Setuju, Hari Ini Selesai',” kata Mohd. Rashid pada Majlis Pelancaran Sistem Elektronik JKSNPP di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Ketua Hakim Mahkamah Syarie di JKSNPP, Y.A.A. Dato' Abdul Walid Abu Hassan turut berucap pada majlis yang dilangsungkan di Mahkamah Rendah Shariah Daerah Seberang Perai Utara itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Dato' Sazali Hussien.

Justeru, beliau berharap, inovasi JKSNPP itu turut berjaya pada pertandingan dalam konvensyen peringkat wilayah yang akan dilangsungkan di Sabah pada bulan Ogos ini.

“Institusi agama dan Mahkamah Syariah harus terkehadapan dalam pengurusan, pentadbiran dan proses khidmat pelanggan kerana semua aspek itu akan menjadi syiar atau lambang keunggulan Islam.

“Kalau berjaya lagi, diharap inovasi JKSM ini boleh mendapat jemputan khas sebagai pemerhati pada saingan peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Gyeongnam, Korea Selatan pada penghujung tahun ini,” jelas Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Sebelum itu, Abdul Malik memberitahu, Kerajaan Negeri senantias komited dalam memartabatkan Islam di negeri ini, termasuk bersama-sama JKSNPP dalam menangkis pandangan serong masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah di negeri ini.

“Tanggapan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah ini kononya pengurusan terlalu lambat, tempat ikrar penceraian, institusi yang terlalu menyebelah kepentingan kaum lelaki mampu diubah sekiranya usaha memartabat Islam yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri, turut digerakkan JKSNPP melalui beberapa projek inovasi berwajib,” jelas Abdul Malik yang juga ADUN Batu Maung.

Abdul Walid pula menjelaskan, JKSNPP turut menyediakan beberapa projek inovasi berimpak tinggi yang lain, seperti E-DOD, E-STEP, E-CLAIM, E-PBSK, E-PAYMENT, HELPDESK dan sebagainya.

“Paling menarik adalah E-SIAP, iaitu sistem berimpak tinggi yang menggabungkan sistem sedia ada yang dibangunkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), iaitu E-Syariah, E-Sulh, E-Bicara, dengan inovasi sistem baru yang dibangunkan oleh JKSNPP, iaitu E-Pliding dan E-Judgement.

“Inovasi yang dilakukan JKSNPP Ini bukan sahaja untuk memastikan JKSM dilihat sebagai smart department, malah ini sebagai persediaan untuk penarafan institusi mahkamah syariah negeri tidak lama lagi (daripada tiga lapisan kepada lima lapisan),” jelas Abdul Walid.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus