25 October 2013

Hudud Brunei: Harmonisasi undang-undang sivil, syariah lebih mudah di P.Pinang, kata Ketua Hakim Mahkamah Syarie



 WACANA AMAL ISLAMi "Brunei dah laksana Hudud. Malaysia bila lagi?" Itu, mungkin menjadi cakap-cakap rakyat selepas Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di Brunei Darussalam bermula tahun depan.

Isu menarik ini sedikit banyaknya menggamit perhatian rakyat Pulau Pinang sendiri.

Umum mengetahui, Malaysia, termasuk Pulau Pinang dikatakan unik kerana mempunyai sistem dwi perundangan, iaitu sivil dan syariah, hingga kerap kali membawa pada konflik perundangan di antara kedua-duanya.

Sebagai contoh, proses mengadili pihak bukan Islam dalam mahkamah syariah.

Bapa Perundangan Malaysia, Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim, Tun Abdul Hamid Mohammad (bekas Ketua Hakim Negara) dan Tan Sri Harun Hashim (bekas Hakim Mahkmah Agung) adalah tokoh-tokoh penting yang mencadangkan percantuman beberapa bahagian khusus antara mahkamah syariah dan sivil.

Fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB sempat mengadakan wawancara dengan Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang yang baru, Y.A.A. Datuk Abdul Walid Abu Hassan, 50, mengenai hal berbangkit tersebut.

Ini, memandangkan Kerajaan Negeri belakangan ini dilihat giat memartabatkan Islam di Pulau Pinang, sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Walid berkata, perbezaan yang ada pada amalam perundangan Mahkmah sivil dan Mahkamah Syariah sepatutnya tidak ditajamkan.

Sebaliknya, beliau berkata, undang-undang sivil dan mahkmah itu perlu terus diharmonikan secara beransur-ansur dan cermat.

“Syeksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah bunuh umpamanya, semuanya tidak bertentangan dengan Islam, kecuali, dua perkara sahaja yang memerlukan penambahbaikan.

“Satu, bab pengampunan, perlu dimasukkan peranan ahli keluarga. Yang kedua, bab ganti rugi, kuasa perlu diberikan kepada keluarga untuk membenarkan ganti rugi.

“Ertinya, hukum bunuh balas pada Seksyen 302 ini mendekati maksud hukum qisas. Usaha memasukkan peranan ahli keluarga mangsa dalam bab pengampunan pula mendekati konsep diat yang ada dalam syariat Islam.

“Selagi tidak bertentangan (dengan syariat Islam), maknanya boleh dipakai. Yang bertentangan sahaja perlu diubah sekadar apa yang dimaksudkan bertentangan itu,” ujar belau di Kompleks Mahkamah Syarie Pulau Pinang dekat George Town.

Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Rosidi Hussain turut menyertai interbiu menarik kali ini. 

Personaliti & Pengalaman
Abdul Walid mempunyai enam cahaya mata hasil perkahwinannya dengan seorang bekerjaya guru, Shaterah Annujma Ismail, 45.

Abdul Walid pernah menjadi Penolong Pengarah Undang-Undang Syariah di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) selama dua tahun bermula pada tahun 1989.

Beliau pernah menjadi Kadi Daerah Bukit Mertajam dari tahun 1990 hingga 1995, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Butterworth dan Kepala Batas (1996 hingga 1997).

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang selama lima tahun.

Peranannya dalam mengkaji, meneroka serta mengharmonikan semangat syariah Islamiah dalam kerangka perundangan sivil melayakkan beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelidik Kanan kepada Ketua Pengarah atau Ketua Hakim Syarie Malaysia di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dari tahun 2002 hingga 2005.

Beliau dipanggil menyertai Jabatan Peguam Negara dari tahun 2005 hingga 2010 bagi mengetuai Unit Pembangunan Undang-Undang Keluarga Islam dan Sistem Kehakiman Syariah.

Abdul Walid sempat menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari tahun 2000 hingga 20012, sebelum dilantik ke jawatan sekarang. 

Hamonisasi Undang-Undang

“Undang-undang di Mahkamah Syariah hampir lengkap. Ada orang tanya, mengapa tidak dilaksanakan Hudud. Saya kata, itu antara sebahagian kecil yang tidak dilaksana.

“Ada juga dimomokkan, jika tidak melaksanakan Hudud, ertinya negara tidak Islam.

“Bagi saya, masih banyak ruang amal Islami yang perlu dilaksanakan seperti yang saya sebut tadi, (iaitu) usaha harmonisasi semangat syariah Islamiah ini dalam perundangan sivil,” ujar beliau.

Penjelasan Abdul Walid itu dilihat mendekati kaedah fiqh yang menyebut, al-hukmu yaduru ma ‘ala musamma la ‘ala Islami (maksud: kehukuman itu berlegar pada perkara yang diberikan nama, bukannya jenama).

“Proses melaksana syariah Islamiah sepatutnya dilakukan secara beransur-ansur, bersesuai dengan kondisi atau masa atau tempat ia dilaksanakan.

“Dalam konteks Pulau Pinang, umpamanya, pelaksanaan amar makruf (menyuruh kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) memang sedia dilakukan sendiri oleh sebuah kerajaan (melalui) mahkamah, polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Amal Islami yang seperti dakwah Islamiah, pendidikan Islam, kehakiman syariah, memerangi jenayah, kesemuanya boleh dilakukan dalam ruang lingkup undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada sekarang.

“Justeru, kita (umat Islam) perlu meneroka dinamika undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada, tidak perlu tunggu pun undang-undang Hudud dilaksanakan, baru kita nak mengiktiraf negara ini mengikut Islam.

Menurut beliau, undang-undang sivil kebanyakkannya mendekati syariah Islam, cuma tidak dipanggil syariat Islam sahaja.

“Berdasarkan kajian saya pada Kanun Keseksaan 302, (Seksyen) 304, Akta Kontrak, Akta Sewa Beli dan banyak lagi undang-undang sivil yang sedia ada, kebanyakkannya mendekati syariah Islam. 

“Apa yang terdapat dalam Kanun Jenayah Syariah, itu juga diambil dari Undang-Undang Sivil, cuma dibuang beberapa perkara melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil, seperti tahanan tanpa bicara tidak diamalkan dalam Mahkamah Syariah. 

"Sebab itu, perlu usaha harmonisasi undang-undang syariah dalam kerangka sivil,” ujar beliau lagi.

Tranformasi Syariah
Kesempatan dilantik menjadi Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang, Abdul Walid berkata, beliau sedang berusaha memudahkan proses perbicaraan di Mahkamah Syariah supaya khalayak melihat Islam agama mudah.

“Proses perbicaraan yang lazim adalah adversarial, iaitu perhujahan melibat kedua-dua belah pihak (plaintif dan defenden) di Mahkamah Syariah.

“Yang saya sedang usaha wujudkan adalah inquisitorial, iaitu iaitu Hakim sendiri yang memainkan peranan utama dengan turun padang siasat satu-satu kes.

“Contoh lain, cerai di luar Mahkamah, sepatutnya tidak memerlukan perhujahan sebab seorang Hakim Syarie sudah boleh membuat keputusan berdasarkan ikrar kedua-dua belah pihak di mahkamah. 

“Sudahlah kedua-dua pihak susah sebab konflik rumah tangga, ditambah pun susah sebab perlu cari sumber untuk bayar kos guaman, sedangkan Islam itu sebenarnya agama yang mudah,” ujar beliau.

Justeru, katanya, penerokaan pada tatacara Mahkamah Syariah diperlukan dengan menggabungkan dua proses perbicaraan tersebut, iaitu adversarial dan inquisitorial supaya kehakiman lebih mudah dan cepat.

Rasionalisasi Syariah
Abdul Walid berkata, hukuman rotan didepan khalayak atau public caning telah lama diamalkan di sekolah, hatta boleh diterima sebagai sesuatu yang rasional.

Beliau berkata, khalayak boleh menerima ketetapan Hakim Mahkamah Syeksyen Ampang pada September lepas yang mengarahkan tiga juvana masing-masing disebat dua kali oleh Pegawai Penjara Kajang atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan.

“Sebat juvana ini dilakukan dalam Mahkamah dengan disaksikan oleh waris ketiga-tiga juvana tersebut, bukan sebat untuk jenayah berat sampai luka tubuh...boleh jadi bebat juvana ini macam public caning atau mungkin mendekati sebat syariah juga.

“Penerokaan pada tatacara sebat syariah ini akan dilihat rasional macam public caning kerana pelaksanaan hukuman depan khalayak itu boleh membuatkan si pesalah malu dan insaf, serta menjadi teladan buat yang lain.

“Sebat syariah ini boleh diusahakan, cuma Hakim (Syariah) sahaja dilihat tidak berani meneroka pelaksanaan ini,” ujar beliau.

Semasa menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beliau berkata, beliau selalu meneroka proses pelaksanaan sebat syariah, malah, membenarkan permohonan khalayak untuk melihat sendiri proses sebatan di Penjara Kajang.

Harapan
Abdul Walid berkata, usaha harmonisasi perundangan sivil dan syariah wajar dimainkan secara beransur-ansur oleh semua pihak, bukan sekadar cakap-cakap politik sahaja.

“Harmonisasi dua perundangan ini juga merupakan antara amal Islami yang perlu diteroka, selagimana tidak bertentangan dengan undang-undang yang sedia ada,” ujar beliau. 

Itu, katanya, termasuk cadangan mewujudkan Mahkamah Tengah dan Majlis Rayuan Syariah dengan Hakim Syarie dilantik sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong.

“Di antara Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi, kita wujudkan Mahkamah Tengah Syariah, kita juga mewujudkan Majlis Rayuan Syariah supaya pada setiap peringkat ini masih ada peluang untuk proses rayuan dibuat.

“Ini pun antara usaha yang sedang dilakukan supaya peranan Mahkamah Syariah lebih besar dan kuat, ini pun satu lagi usaha harmonisasi perundangan dalam Mahkamah Syariah sendiri,” ujar Abdul Walid.

"PELAKSANAAN SYARAK DIMENSI PULAU PINANG ITU AMAL ISLAMI..." -BJ Zainulfaqar.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus