Skip to main content

Kembalikan kapal mewah Star Cruises ke Pulau Pinang, Guan Eng desak Menteri Pengangkutan

KETUA Menteri menunjukkan kepada wartawan mengenai satu keratan akhbar yang melaporkan para pelabur mendesak agar kapal pelancongan mewah Star Cruises kembali berpoerasi di Pulau Pinang, di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut melahirkan rasa bimbang dengan berita penutupan operasi kapal Star Cruises di Pelabuhan Swettenham dalam lingkaran George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini baru-baru-baru ini.

Justeru, beliau menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil langkah yang lebih proaktif supaya operasi kapal mewah SuperStar Libra boleh kembali singgah ke negeri ini.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut berharap kementerian dapat memberi jaminan kepada para pelabur bahawa beberapa kapal pelancongan mewah lain tidak turut menutup operasi masing-masing di negeri ini pada masa depan, sebagaimana Star Cruises.

“Saya berharap pihak kementerian boleh mengambil langkah-langkah untuk mendapat balik kapal mewah Star Cruises ini, supaya dapat memberikan peluang perniagaan dalam industri pelancongan negeri.

“Sehingga sekarang, kita (Kerajaan Negeri) masih belum melihat apakah langkah-langkah yang akan dibuat oleh Menteri Pengangkutan untuk memulihkan keadaan dan menarik balik kapal sebesar Libra, dengan harapan Pulau Pinang tidak akan kehilangan kapal-kapal lain,” jelas Guan Eng Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kepada wartawan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak berupaya untuk bertindak ke atas pengendali kapal persiaran milik SuperStar Libra itu, memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

"Kami tidak berdaya dalam hal ini kerana membawa pelayaran tidak berada di bawah (bidang kuasa) kerajaan negeri, tetapi, Putrajaya boleh melakukan lebih banyak perkara untuk menarik semula kapal-kapal pelayaran ke negeri ini, melalui pemberian insentif untuk mengekalkan minat mereka ke negara ini," katanya.

Justeru, katanya, Kerajaan Pusat diharap tidak melakukan sesuatu yang boleh merugikan warganegeri ini, memandangkan industri pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi Pulau Pinang, selain sektor pembuatan dan pelaburan.

“GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) memang banyak menyusahkan rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) hanya boleh bergantung pada pelaburan dan pelancongan dan dalam sektor pembuatan,” jelas Guan Eng yang juga yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Difahamkan, pelayaran Star Cruises milik Superstar Libra ke Krabi dekat Thailand tidak lagi singgah ke Pulau Pinang sejak pertengahan bulan Julai lepas, dan memilih China sebagai destinasi perhentian terbarunya.

Pada satu-satu pelayaran ke negeri ini dahulu, kapal pelancongan mewah tersebut membawa sehingga 1,480 penumpang, termasuk 740 anak kapal.

Terdahulu, SuperStar Libra pada 13 Julai lepas mengumumkan bahwa Star Cruises akan memindahkan pelabuhannya ke Xiamen dekat China, selain melancarkan dua jadual perlayaran baru dari Xiamen ke Penghu dekat Taiwan serta ke Miyakojima dan Naha dekat Okinawa, Jepun.