15 March 2012

'Betul' yang wajar diperbetulkan...

SANGAT malang sekiranya semua fikiran serta tindak-tanduk kita acap kali dilihat betul oleh teman-teman sekeliling kita.

Lebih malang, jika kita mendambakan segala pendapat atau pemikiran hatta amalan yang diluahkan oleh kita dianggap betul belaka oleh diri kita sendiri.

Sindrom 'saya betul' sebenarnya ada pada setiap manusia sama ada sang penguasa, agamawan, intelektual, buruh hatta orang kebanyakan.

Cuma, sindrom ini kronik atau tidak dalam diri kita masing-masing.

Pada era dakwah Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s, sindrom 'saya betul' ini dilihat ada pada peribadi Firaun.

Firaun dikatakan mulai menghadapi sindrom ini disebabkan Sang Diktator itu tidak pernah menghidapi sakit atau demam.

Tanpa sedar segala nikmat kesihatan atau ujian sakit itu semuanya datang daripada Allah, Sang Diktator itu mula menjadi alpa dibuai tidak kenal diri sendiri di depan Sang Pencipta.

Firaun menghadapi sindrom yang cukup kronik hatta mengaku dirinya sebagai Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai kaumku! Bukankah aku yang memerintah Mesir dan sungai-sungai ini mengalir di bawah kekuasaanku. Tidakkah kamu lihat?" az-Zukhruf : 51

Punca lahirnya sindrom 'saya betul' antara disebabkan rasa ego tidak dipelihara di dalam diri.

Rasa ego dalam hati kecil Firaun membawa dia menolak kebenaran agama Allah yang dibawa oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s.

Rasa ego membawa pada tidak senang dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Rasa ego membawa pada terpaksa menolak pendapat orang lain.

Rasa ego membawa seseorang pada stres, amarah, jiwa kacau yang akhirnya memangsa Sang Egoisme itu melampaui batas.

Demikianlah ego yang melampau-lampau sehingga menguasai Firaun untuk melampaui batas.

Lawan bagi api keegoan atau sindrom 'saya betul' hanya boleh dipadam dengan cabaran berterusan oleh mereka yang dekat dengan suluhan hidayah Tuhan.

Demikianlah firman Allah s.w.t kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s. supaya mencabar sindrom 'saya betul' atau ego yang berakar dalam jiwa Firaun.

Firman Allah yang bermaksud:

"Berikanlah kepadaku wahai hamba-hamba Allah (apa-apa yang menandakan kamu menerima kerasulanku) . Sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, yang diutuskan kepada kamu. Dan janganlah kamu berlaku sombong takabbur terhadap Allah. Sesungguhnya aku ada membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata." Ad-Dukhan: 18-19

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud:

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israel dari azab yang menghina dari penindasan Firaun. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takabbur lagi terbilang dari orang yang melampaui baatas (dalam keganasan dan kekejamannya) ." Ad-Dukhan: 30- 31

Yang betul sebenarnya bukan sindrom 'saya betul'. Yang betul adalah kita selalu bermuhasabah diri.

Jika keluarga menteri di bawah kabinet diserlahkah menyeleweng wang rakyat untuk membeli kondo, restoran mewah dan sebagainya; sudah tiba masanya untuk kita jauhi sindrom 'saya betul' kerana sindrom itu warisan Firaun.

Serahkan amanah kepemimpinan kepada mereka yang lebih adil.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu telah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." an-Nisa': 58

Bersihkanlah jiwa yang kotor bak benak Firaun itu dengan sifat rendah diri, berfikiran terbuka, berlapang dada serta senantiada berdiri teguh atas radar ilmu yang sejahtera.

Jika sumber hukum syarak yang disepakati sendiri terdiri oleh al-Quran, al-Hadir, ijmak dan al-Qiyas semata-mata, mengapa perlu memaksa orang lain melihat kita senantiasa betul walaupun dalam perkara yang bersalahan dengan syarak tersebut?

Kepada golongan agamawan yang selalu mahu dilihat sakeral juga wajar jauhi dari sindrom 'saya betul' kerana dibimbangi menutup kebenaran sebenar sebagaimana yang dilakukan oleh Firaun dan seangkatannya.

Yang jernih adalah kita menghargai dan bersetuju untuk berbeza pendapat. Paling baik adalah memegang pendapat yang rajih, ilmiah lagi rasional biarpun ia datang bukan dari cetusan idea ijtihad kita.

Ini kerana, pendapat yang betul itu lebih betul berbanding sindrom 'saya betul' yang memusnahkan kepemimpinan serta empayar Firaun.

Insaflah! Jika kita selalu dilihat betul atau mempunyai perasaan 'saya betul' dalam segala perkara, sudah sampai masanya kita koreksi diri dan kembali koreksi diri.

Justeru, 'Betul' yang wajar diperbetulkan! -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus