Skip to main content

Lesen kuari diluluskan Kerajaan dulu, Guan Eng respons laporan NST

MUKA depan akhbar NST, 11 Ogos 2015.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - The New Straits Times (NST) sepatutnya mendapatkan maklum balas daripada Kerajaan Negeri terdahulu yang jelas-jelas meluluskan pembukaan kuari begitu banyak membabitkan kawasan bukit bukau negeri ini

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada laporan berita “Penang to check on quarrying” pada 11 Ogos lepas di muka depan akhbar arus perdana itu.

“Kelulusan kuari itu dilakukan oleh Kerajaan (Negeri Pulau Pinang) lepas.

“Jika kami membatalkan lesen (kuari itu), apa ayang akan berlaku kepada kami jika membatalkan kelulusan yang telahpun dilakukan oleh Kerajaan Negeri lalu (sebelum 2008).

“Kami perlu membayar papasan, adakah kami mempunyai begitu banyak wang untuk pampasan ini,” jelas Guan Eng pada sidang media di sini, petang tadi.

Menjawab soalan daripada seorang wartawan NST, Guan Eng menegaskan, akhbar arus perdana itu sepatutnya lebih adil dalam melaporkan latar belakang isu berbangkit tersebut.

“Lesen kuari ini diluluskan oleh Kerajaan terdahulu, kenapa akhbar kamu (NST) tidak memberikan laporan yang lebih adil kepada Kerajaan hari ini.

“Kita tidak meluluskan lesen kuari ini...maka, hentikanlah penipuan ini,” tegas Guan Eng lagi.

Terdahulu, NST mendedahkan operasi kuari berleluasa di Juru, Bukit Tambun, Kubang Semang dan Simpang Empat, sehingga menjejaskan alam semula jadi.

Operasi kuari di Juru umpamanya, turut menjejaskan pemandangan umum pengguna Jambatan Pertama Pulau Pinang dari George Town ke Seberang Perai Tengah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus dalam reaksi spontan dilaporkan mengaku bahawa pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai perkara berbangkit tersebut.

Manakala, Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi Pulau Pinang pula antara lain melaporkan Laporan Siasatan Tanah hendaklah disediakan dengan lebih lengkap dan terperinci supaya status tanah dapat ditentukan dengan lebih tepat bagi membantu pihak berkuasa negeri dalam membuat keputusan permohonan pemberimilikan, kata laporan itu. 

Laporan sama turut menyentuh mengenai kuari beroperasi tanpa permit di negeri ini, dan menyatakan bahawa terdapat empat pengusaha di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan menjalankan kerja-kerja pengeluaran dan pemindahan bahan batuan tanpa kelulusan atau permit daripada Pihak Berkuasa Negeri.

"Tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha kuari yang menjalankan aktiviti pengeluaran dan pemindahan bahan batuan tanpa permit adalah tidak memuaskan," kata laporan itu.

Laporan itu berkata, kelemahan seperti hasil royalti terkurang kutip, kelewatan menjelaskan royalti, kelulusan memperbaharui permit lewat dikeluarkan dan pencemaran udara dan bunyi harus diberi perhatian oleh pihak berkuasa.