04 February 2015

1.3 juta rai Thaipusam di P.Pinang, KN sumbang RM200,000

JALAN utama ke Kuil Arulmigu Thandayuthapani di sini pada sambutan Hari Thaipusam kelihatan dibanjiri manusia baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

LIM Guan Eng (tengah) menyaksikan P. Ramasamy dikalungkan selendang sutera atau 'ponnadai' oleh R. Subramaniam (kanan sekali) sendiri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGAH - Kira-kira 1.3 juta pengunjung meraikan sambutan Thaipusam Peringkat Antarabangsa Kali Ke-229 di di Kuil Arulmigu Thandayuthapani dekat Air Terjun Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri pula menyumbang RM200,000 sebagai komitmen menghargai pengunjung, termasuk pelancong asing sempena perayaan penganut Hindu itu.

“Kerajaan Negeri memang memberi sokongan penuh pada perkembangan semua agama mengikut keperluan masing-masing, dan sumbangan RM200,000 ini tanda sokongan Kerajaan Negeri atas sambutan Thaipusam di Hilltop Temple ini.

“Sekarang, Pulau Pinang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan di rantau ini, dan Hilltop Temple merupakan salah satu ikon tarikan pelancongan ke negeri ini, terutama pada musim perayaan,” kata Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam pada keraian tersebut di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga turut menyeru rakyat berbilang kaum di negeri ini supaya bersatu padu dalam mendepani rancangan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang dijadual berkuatkuasa pada 1 April depan.

“Tahun ini akan menjadi cabaran kepada semua rakyat tanpa mengira warna kulit atau agama kerana masing-masing akan dibebankan dengan GST, tetapi, Kerajaan Negeri berharap semua teguh bersatu membantah (pelaksanaan GST) oleh Kerajaan Pusat biar sampai berjaya,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut memuji para ahli Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang atas tadbir urus yang baik berhubung hal ehwal agama dan penganut Hindu di negeri ini.

(Dari kiri) A. Thanasekharan, P. Ramasamy, Lim Guan Eng, R. Subramaniam di pentas utama majlis keraian Thaipusam Peringkat Dunia Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy berucap pada majlis sama berkata, pihaknya mensyor pemajuan sebuah keretapi kabel ke puncak Kuil Arulmigu Thandayuthapani di sini, sebagaimana didapati di kawasan pelancongan Bukit Bendera suatu hari nanti.

“Pembinaan kenderaan ini dianggarkan memerlukan peruntukan kira-kira RM6.2 juta, yang akan membolehkan pengunjung lebih mudah naik ke puncak kuil ini suatu hari nanti,” ujar Ramasamy yang juga ADUN Perai.

Nada yang sama turut diucapkan oleh Pengerusi Kuil Arulmigu Thandayuthapani, R. Subramaniam.

“Ini (Kuil Arulmigu Thandayuthapani) bukan sekadar kawasan keagamaan Hindu sahaja, bahkan, telahpun menjadi salah satu ikon pelancongan antarabangsa yang menarik di negeri ini,” ujar Subramaniam, sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan RM200,000 daripada Kerajaan Negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat telekomunikasi DIGI atas sumbangan RM160,000 khusus untuk aktiviti komuniti kuil di sini.

Exco Pembangunan Pelancongan merangkap ADUN Batu Lancang, Law Heng Kiang, Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera), T. Jayabalan (ADUN Batu Uban) dan A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) turut menyertai majlis keraian tersebut.

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia, bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Pada hari tersebut, penganut agama Hindu ada yang mengambil peluang untuk menunaikan nazar dan menebus dosa, atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus