Skip to main content

PAS mahu berkawan semua jenis anak muda, kata Zolkifly Md Lazim

ZOLKIFLY Md. Lazim (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan papan karom kepada anak muda tempatan Bayan Lepas, semalam.
IFTAR Jama'e bersama-sama pemimpin PAS Cawangan Bayan Lepas serta anak muda tempatan disambut dengan penuh sederhana serta harmoni.

Misi dakwah PAS adalah menyebarkan kasih sayang dengan penuh kesabaran kepada umat sama ada Islam atau bukan Islam.

Ketua PAS Cawangan Bayan Lepas, Zolkifly Md. Lazim berkata demikian dalam majlis Iftar Jama'e dan Majlis Penyerahan Karom di perkarangan Pasar Ramadan dekat Jalan Mahkamah, Bayan Lepas semalam.

"Kasih sayang telah membawa Rasulullah S.A.W mendekati semua manusia tanpa mengira apa jua latar belakang mereka.

"Sabar dalam mendekati manusia menyebabkan anak muda (Sahabat R.A.hum) yang kasar pada zaman itu pun boleh ikut Rasulullah.

"Rasulullah S.A.W bawa masej kasih sayang untuk berkawan semua orang, bukan memutuskan persaudaraan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan dakwahnya.

Sebab itu, bagi saya, PAS mahu berkawan semua jenis anak muda semacam yang Rasulullah s.a.w buat dulu," ujar beliau di sini, semalam.

Zolkifly menyampaikan tazkirah sedemikian semasa menjelaskan mengenai pengajaran daripada sepotong hadith yang bermaksud:
"Akan datang satu zaman, pemuda dalam beragamanya bak menggenggam bara api."
Justeru, katanya, hadith tersebut sepatutnya mengajar ahli-ahli PAS supaya bersabar dalam menyampaikan masej kasih sayang kepada semua pihak, bukan bebal menyalahkan kumpulan sasaran dakwah yang tidak menerima kehadiran dakwah PAS.

Hampir 30 orang, rata-rata anak muda tempatan menyertai keraian sederhana tersebut anjuran PAS Cawangan Bayan Lepas.