05 August 2013

Exco harap majikan tubuh pusat jaga kanak-kanak

CHONG Eng (lima dari kiri) bersama pemimpin wanita PWDC lain sedang meneliti Pelan Tindakan Dasar Penjagaan Kanak-Kanak Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas sidang media di Komtar, George Town di sini baru-baru ini.

PENUBUHAN Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Taska D'Komtar di sini diharap dapat mendorong majikan berwajib untuk mewujudkan inisiatif sama di tempat kerja masing-masing.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, inisiatif itu adalah kesinambungan pada pelancaran Pelan Tindakan Dasar Penjagaan Kanak-Kanak yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada bulan Mac lepas.

Beliau berkata, cadangan pemajuan pusat tersebut di atas keluasan lantai 1,680 kaki persegi dan mampu menampung sekitar 30 kanak-kanak pada fasa permulaan nanti.

"Kerja-kerja pengubahsuaian dijangka siap pada penghujung tahun ini...PWDC (Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang) akan bertindak kepada pelan pelaksana tersebut selama setahun. 

"Selepas itu, satu badan Hak Asasi Kanak-kanak dan Unit Penjagaan Kanak-kanak akan ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengambil alih tanggungjawab ini dengan bantuan semua pihak berkepentingan," ujar beliau pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Ketua Pengarah Eksekutif PWDC, Sri Husnaini Sofjan dan Wan Rosnah Wan Othman (Pegawai Perundangan dan Advokasi Jabatan Kemajuan Masyarakat PWDC) turut hadir pada majlis pengumuman penubuhan Pusat Penjagaan Kanak-kanak Taska D'Komtar khusus untuk manfaat kakitangan awam di sini.

Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, Unit Penjagaan Kanak-Kanak tersebut mempunyai bajet dan programnya sendiri, sekaligus menjadi yang pertama seumpamanya di peringkat negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Eng turut malahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga Cyndy Koay Xin Lin yang meninggal dunia di pusat jagaan kanak-kanak dekat Bukit Mertajam baru-baru ini akibat tersedak susu.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus