Skip to main content

Dua lagi angkat sumpah Ahli Majlis MPPP

NUR Zarina Zakaria
ISTiADAT pelantikan dan mengangkat sumpah dua lagi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dilangsungkan di depan Yang di-Pertuanya, Ar. Patahiyah Ismail.

Mereka, Nur Zarina Zakaria mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Mohd. Foaz Hamid mewakili badan bukan kerajaan (NGO).

Nur Zarina, 32 mempunyai sarjana dalam jurusan Kejuruteraan Awam dan kini bertugas sebagai pegawai khas di Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Mohd. Foaz, 47, pula merupakan Presiden bagi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), mempunyai diploma dalam Pengurusan Perniagaan dan kini masih sebagai perunding dalam sektor korporat.

MOHD. Foaz Hamid
Mohd. Foaz semasa ditemui kemudian berkata, beliau berharap pengalamannya dapat memartabat lagi peranan yang dimainkan oleh MPPP kelak.

“Saya diletakkan dibahagian Jawatankuasa Perancangan Bandar dan bagi saya ini bukanlah satu masalah kerana saya juga telah biasa dalam bidang ini.

“Saya akan gunakan segala pengalaman yang saya ada bagi meningkatkan lagi martabat MPPP dan harapan saya selama berkhidmat untuk tidak menghampakan MPPP,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Nur Zarina.

“Sebagai seorang wanita,semestinya tugasan ini sungguh mencabar, tambahan pula wanita sememangnya mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjaga karier dan keluarga,” ujar ibu kepada empat orang anak ini.

Kedua-dua mereka dan Ahli Majlis MPPP lain dilantik dalam tempoh Julai hingga 31 Disember depan.